“Alangkah indahnya…
Andai kita saling berbaik sangka
Andai kita saling menjaga
Adab dan akhlak diri kita
Bukan saling berburuk sangka
Sehingga menimbulkan fitnah dan nista…”
Post entry pilihan penulis kali ini berkisarkan kepada pandangan kita dan pandangan manusia. Kenapa? Kerana kebiasaanya apa yang kita lihat itulah yang akan kita nilai...
Bukan semudah kata untuk berbaik sangka
‘Husnu Zan’ atau bersangka baik hakikatnya sukar. Sememangnya payah bagi sesetengah orang untuk berhusnu zan nie.
Mungkin ada dari kita yang lebih suka berfikiran negatif dahulu daripada positif. Kenapa ya??
Benar... Bukan semudah kata untuk berbaik sangka. Saya akui diri saya juga kadang-kadang mudah bersangka-sangka, dan cepat pula membuat kesimpulan atas sangkaan itu.
Sesungguhnya artikel ini bukan ditulis untuk ditujukan kepada sesiapa,, sekadar perkongsian ilmu dan muhasabah diri tetapi lebih memberi peringatan kepada diri saya sendiri dan kalian jua…
Hakikatnya memang begitu. Manusia lebih suka bersangka-sangka, dari memilih berbaik sangka.
Lantas Allah menegur manusia yang kebanyakan mempunyai sifat begini dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa” (Surah Al-Hujurat:ayat 12)
Berburuk sangka lama-lama akan melahirkan buah fitnah
Apa perasaan kamu andai ada orang yang suka berburuk sangka kepada kamu, atau suka memikirkan hal-hal yang buruk daripada yang baik tentang diri kamu?
Pastinya kita akan merasa sedih bukan, jika sangkaan buruk itu lama-lama menjadi fitnah kepada diri. Lebih-lebih lagi jika kita yang berniat melakukan amal kebaikan, tetapi lain pula yang dipandang oleh manusia.
Mereka merasakan kebaikan yang kita dilakukan itu hanyalah untuk bermuka-muka, kerana inginkan pujian, pangkat, harta dan seumpamanya lantaran sangkaan-sangkaan mereka yang buruk itu akhirnya membawa kepada fitnah. Kesannya amatlah buruk dan boleh membawa kepada pergaduhan dan perpecahan kepada umat Islam. Tafsiran dari Surah Al-Hujurat:ayat 6 menyebut:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
Sesungguhnya, orang yang suka su’u zan sebenarnnya mereka merasakan diri mereka lebih baik dari orang lain. Kerana itu, mereka ‘lebih nampak’ kesalahan orang lain berbanding dari kesilapan diri sendiri.
Bagi golongan ini, mereka yang suka berburuk sangka dan sentiasa mengintai-intai kesalahan orang lain, maka sedarilah bahawa siapa kita hendak menilai amal yang dilakukan oleh seseorang manusia itu sedangkan Allah jualah yang selayaknya menilai amal tersebut. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud :
“Sedang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad).” (Surah An-Najm:ayat 28)
Mari kita sama-sama muhasabah diri kembali,, apakah kita termasuk dalam kelompok orang yang berburuk sangka ini?? Nilailah diri kita dahulu sebelum kita menilai diri insan yang lain…
Sikap husnu zan penting bagi daie yang ingin berdakwah
Sikap husnu zan sangat penting bagi seseorang daie yang ingin berdakwah. Masakan tidak, jika para daie mereka sendiri telah meletakkan satu tanggapan negatif dan buruk terhadap mad’u, maka apakah ia pantas dan layak untuk menjadi seorang pendakwah yang baik?
Pastinya dia akan menyampaikan seruan itu dengan cara yang tidak berhikmah lantaran dia sendiri telah mencipta satu penghadang antara orang yang ingin diseru itu.
Mungkin sahaja dia berkata dalam hatinya;
‘Orang sebegini kalau diberitahu sekali pun tidak akan meninggalkan kesan apa-apa lantaran Allah telah menutup pintu hatinya untuk menerima hidayah dan kebenaran’
Apakah kita pantas dan layak untuk berfikiran seperti itu?
Apakah kita tahu selamanya dia tidak akan memperoleh hidayah?
Dan apakah kita yang berada dalam hidayah ini akan terus kekal dalam hidayah Allah buat selama-lamanya?
Bermuhasabahlah kembali…
Hidayah milik Allah, Dia yang selayaknya menentukan untuk siapa hidayah itu akan kekal kepada seseorang manusia sehingga hujung nyawanya.
Boleh jadi hari ini kita jauh dari melakukan perkara keji lantaran hidayah yang Allah kurniakan, dan orang itu jauh tersasar dan sesat dalam kemaksiatan tetapi kemungkinan suatu hari nanti dia akan diberi petunjuk dan berubah lebih baik dari kita, siapa yang sangka?
Kita sebagai hamba tiada jaminan untuk menetapkannya, melainkan kita hanya mampu berusaha dan berdoa agar sentiasa kekal dalam rahmat petunjuk Sang Khalik.
Sesungguhnya Allah sahaja yang Maha Mengetahui keadaan makhluknya. Dia yang lebih mengetahui hati-hati
yang ikhlas dan tulus untukNya, bukan manusia yang berhak mengukur semua itu...
yang ikhlas dan tulus untukNya, bukan manusia yang berhak mengukur semua itu...
Jangan pesimis!
Jangan terlalu pesimis. Berfikiran buruk dan negatif. Ubahlah perspektif anda. Hakikatnya, setiap orang tidak ada yang sempurna. Lebih-lebih lagi para sang daie perlu bersikap terbuka, jangan kerana kekurangannya kita menghina dia.
Dan jangan pula kerana satu sikap yang buruk yang kita lihat padanya itu, kita terus menghukum dan menilai pada keseluruhan dirinya dengan suatu tanggapan yang dia sememangnya tergolong dalam golongan orang yang tidak baik dan jahat.
Jika terbukti pula dia sememangnya melakukan perkara buruk tersebut, maka pilihlah untuk kita menghukum atau menegur dan menyeru supaya dia kembali lagi kepada-Nya?
Pilihlah untuk menghina dia atau berdoa kepada Allah agar membuka hatinya dalam menerima cahaya petunjuk dari Ilahi.
Pilihan berada di tangan kita
Semua ‘pilihan sangkaan itu berada di tangan kita’. Tidak rugi sedikit pun orang yang berbaik sangka, melainkan Allah menambahkan pahala dan membuatkan orang juga berbaik sangka kepada diri kita. Sesungguhnya segala sangkaan buruk itu adalah sangkaan yang sangat dusta lantaran kita tidak mempunyai pengetahuan dan nilaian yang sebenar terhadap sangkaan tersebut.
Sabda Rasulullah s.a.w:
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Jauhilah prasangka itu, sebab prasangka itu perbicaraan yang paling dusta." (Hadis Riwayat Muttafaqun alaihi)
Oleh itu, alangkah eloknya jika kita saling berhusnu zan. Lihatlah kebaikan-kebaikan yang ada pada diri manusia dengan pandangan yang tulus, dan tegurlah kekurangan-kekurangan tersebut dengan cara yang lebih berhikmah.
Dan sebaik-baik sangkaan adalah husnu zan kepada Sang Pencipta yang mencipta makhluknya dengan pelbagai sifat dan ragam. Maha Suci Allah yang lebih bersangka baik kepada hamba-hambaNya dengan sentiasa memberi peluang kita kembali dan bertaubat kepadaNya…
Di sini saya ingin berkongsi sebuah kisah. Semasa saya ingin menunaikan solat zohor di sebuah shopping kompleks, datang seorang wanita dengan pakaian yang sendat dan ketat, berseluar jeans dan baju T-shirt yang menampakkan seluruh bentuk badannya.
Rambut pula diwarnakan dengan warna keemasan. Melihatkan wajahnya dihiasi dengan penyinar pipi, gincu dan alis keningnya yang halus, pandangan saya terpana kepadanya seketika. Dia kemudian masuk ke dalam ruangan sempit yang dijadikan musolla itu seraya mengambil wuduk untuk solat.
Dalam hati telah berbisik: ‘Subhanallah,,pakai macam nie pun masih ingin solat?’
Terselit sebuah perasaan aneh dan pelik. Mungkin juga saya yang aneh kerana tidak pernah melihat keadaan seumpama itu. Sememangnya saya ‘menyangka’ dari perwatakan dan pakaian luarnya yang sedemikian dia tentu jauh dari solat tetapi ternyata sangkaan saya yang buruk itu meleset. Dia masih lagi Allah berikan petunjuk untuk menyucikan diri menghadap wajah kepadaNya.
Saya termenung sejenak. Cuba memperbetulkan kembali anggapan awal saya padanya. Mungkin sahaja solatnya lebih khusyuk dan sempurna, dari orang yang sempurna pakaian luarnya tetapi jika hatinya lalai dari mengingati Allah semasa mengerjakan sembahyang. Jadi, siapakah yang lebih baik dalam soal ini?
Akhirnya satu lafaz dilantunkan dalam diam; “ Ya Allah, dengan sifatMu yang Maha Pengasih..moga dengan solat yang dia masih ingin kerjakan keranaMu, maka Engkau berilah hidayah kepadanya untuk menutup aurat dengan sempurna selepas ini..amin”
Saidina Umar Al-Khattab ada berkata: “Janganlah kamu menyangka dengan satu kata pun yang keluar dari saudaramu yang mukmin kecuali dengan kebaikan selagi kamu masih ada cara untuk meletakkannya di tempat yang baik”.
Kesimpulannya, berhusnu zan lah, sungguh hidup ini akan menjadi indah dengan sangkaan-sangkaan yang indah juga! =)
(p/s: Ya Allah..lindungiku dari sebarang fitnah,, samada fitnah dunia mahupun fitnah di akhirat… sesungguhnya daku tidak mampu menahan sangkaan-sangkaan negatif insan terhadap diri ini, cukuplah Engkau sebaik-baik pelindung..amin!)
No comments:
Post a Comment