Pages

Showing posts with label sakit. Show all posts
Showing posts with label sakit. Show all posts

Iman Sakit





Sakit.
Jasad sakit masih bisa bertahan.
Namun, jika iman yang sakit?
Terasa rapuh segala amalan.
Allah.


“Perbaharuilah imanmu.” Para sahabat bertanya: “Apa yang mesti kami katakan, wahai Rasulullah?”
Rasulullah SAW bersabda: “Perbanyakkanlah mengucapkan ‘La Ilaha Illallah.” 
(Ahmad, no 8493).




Ketika satu saat diri hilang arah dan tujuan,
Ketika satu saat diri harus kehilangan insan yang tersayang,
Allahurabbi...
Jangan ditinggalkan hamba sendirian
Kerana hamba tidak kuat ya Allah…
Pandulah hati ini kembali kepadaMu…

Jika hamba telah tersesat, tunjukkanlah hamba jalan pulang
Jika hamba telah buta, suluhlah bagi hamba cahaya
Kerana dengan rahmatMu yang dapat menyelamatkan hamba
Agar tidak tersasar jauh bila diuji
Agar tidak rapuh iman bila diduga
Agar tidak bergoyang tatkala digoncang...

Sungguh!
Saksikanlah kedoifan diri ini ya rabbi
Lemah dan tersangat lemah
Maka ku pinta cebisan kekuatan dariMu
Untukku terus meniti hari-hari hidupku
Agar tidak tempang menuju kepadaMu…


“Jagalah Allah, maka Allah akan menjagaMu. Kenalilah Allah di waktu senang, nescaya Dia akan mengenalmu di waktu musibah. Ketahuilah apa yang luput darimu, tidaklah akan menimpamu. Dan apa yang telah ditetapkan akan menimpamu, tidak akan luput darimu. Ketahuilah kemenangan itu bersama kesabaran, dan kemudahan itu bersama kesulitan, dan bersama kesulitan itu ada kemudahan.”


: hikmatul islam
: 23 ramadhan 1434H
: 1230 am

reade more... Résuméabuiyad

Biar Jadi Penawar...




Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan menyebut nama Agung-Mu Tuhan yang Maha Pemurah, Maha Penyayang..




“Sakit wanis penawar,
penawar bagi malaikat-malaikat dan makhluk-makhluk Allah yang lain mendoakan.
Insha allah, semoga kita sentiasa dekat dengan Allah bila diuji ye adikku…” (K.Danie)

“Salam wanis. Syafakillah…
Semoga ujian yang Allah anugerahkan, terhapus dosa-dosa kecil dan bertambah rahmat pada kehidupanmu sahabat..
Kuatkan semangat, tabahkan hati, semoga diberi kesembuhan untuk terus berbakti kepada Islam. Salam sayang dari kami semua…” (Farhana Imtiyaz)


Mesej yang masuk dalam inbox tatkala ku berada dalam bas, dalam perjalanan pulang ke kampung halaman untuk berubat.

Sakit yang dirasakan semakin berdenyut.

Tatkala membaca mesej ringkas, tapi sangat mengesankan hati.

Air mataku jadi murah.

Sebak dan terharu.

Banyak lagi mesej pesanan dari semua sahabat-sahabat yang lain turut mendoakan, tidak termampu ku catat 
di sini semuanya. Tapi ku amat-amat hargai dan bersyukur.

Kerana mereka kirimkan ‘hadiah’ yang paling mahal buatku.

Hadiah doa.

Itulah hadiah yang termahal, buat seorang patient sepertiku saat itu.




Tika tirai Masihi pula yang menguak, ku berjalan masuk ke tahun 2013 dengan ‘hidangan’ ujian dari-Nya.

Hidangan ujian yang berat.

Diuji dan terus diuji.

Itulah suatu perkara yang harus ku syukuri.

Bila ujian dan dugaan datang bertamu, dulu ku didik hati dengan kalimat ‘SABAR’. Tapi kini, kalimat ‘SYUKUR’ pula yang ingin ku semai dan baja. Biar ia ranum di puncak iman.

Kali ini diuji lagi dengan ujian ‘sakit’, yang tidak henti mendampingi diri.

Tidak sekali-kali ku nafikan kesakitan yang ditanggung.

Terlalu perit untuk dilalui pada hari-hari yang berlalu dengan kehadiran ‘sakit’. Membuatkan badanku terlalu longlai dan lemah. Hampir saja ia membunuh semangatku dalam diam.

Namun, bersyukur kerana hati masih berfungsi.

Hati itu masih ingin bertasbih memanggil nama-Nya tanpa henti.

Sehinggakan masa badan tidak mampu berdiri lagi, terdengar bisikan halus di telinga yang datang berpesan,

“Bacalah doa nabi Yunus a.s, insha Allah sakitmu akan hilang” (sohabati)

“Kak, banyakkan baca selawat tafriwjiah ya..” (aina)


Allahu Allah.. Bersyukur namaNya tidak pudar dalam hati…





Apakah tidak boleh mengeluh?

Tidak.

Tidak sesekali ku ingin berkeluh-kesah dengan apa yang telah Allah tetapkan untukku.

Tetapi biarlah yang keluar di bibir cuma mengadu.

‘Mengadu’ dan ‘mengeluh’, dua perkara yang sangat berbeza.

Mengadu, bukan beerti ia sesal.

Mengadu, bukan beerti tidak syukur dan tidak sabar.

Tetapi mengadu, adalah bukti sifat kekerdilan seorang hamba yang hina, yang cuma ingin mengadu dan mengadu pada DIA Yang Maha Esa.

Air mata mengalir, pedih dan perit namun hati tidak jemu diadukan pada DIA yang Maha Mendengar.

DIA Maha Tahu akan rasa sakit itu.

Kerana DIA yang memberikannya, dan DIA juga yang akan menyembuhkan.

Juga hati menyakini dan percaya, Allah tidak pernah bosan mendengar rintihan hamba-Nya malah  DIA tersangat rindu untuk mendengarnya.

Sentiasa ada untuk mendengar rintihan hamba-hambaNya.

Malah, Allah lebih suka kita mengadu padaNya berbanding diadukan pada manusia.


"Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian; dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum diuji mereka; kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan redha, maka dia akan beroleh keredhaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan dari Allah."
(Hadis riwayat at-Tarmizi dan Ibn Majah)




Sakit.

Sentiasa setia menemaniku.

Tatkala tubuh terkaku, mulut seakan bisu, namun hati masih ingin sentiasa bersyukur padaMu Rabbi.

Teringat kembali ungkapan yang pernah ku bisikkan pada diri;

“Ku lebih rela Allah menduga dengan kesakitan daripada kelalaian.!”

Benar, DIA menguji kembali dengan apa yang ku bisikkan.

Diuji dengan sakit daripada lalai, ternyata ‘lalai’ lebih sakit dan derita daripada ujian yang bernama sakit.

Kenapa?

Kerana apabila diuji dengan sakit, kita akan cepat kembali ingat kepadaNya.

Kerana apabila diuji dengan sakit, kita akan menangisi kesakitan lantas air mata yang mengalir akan menjadi kaffarah semua dosa-dosa silam. Pemadam maraknya api neraka.

Kerana apabila diuji dengan sakit, kita akan mudah mengingati kematian daripada kenikmatan.

Kerana apabila diuji dengan sakit, barulah kita sedari bahawa kita hamba yang penuh dengan kelemahan, hanya DIA yang Maha memiliki kekuatan dan kekuasaan yang mutlak.

Kerana apabila diuji dengan sakit, Allah sebenarnya telah memilih insan pilihan yang DIA sayang, ingin mengangkat martabat seorang hamba menjadi manusia yang mulia di sisiNya andai sabar dan syukur dapat ditawan.

Kerana apabila diuji dengan sakit, maka jiwa akan segera mencari Tuhan. 

Akan segera bertaqarrub serapat yang mungkin dengan Ar-Rahman.


Subhanallah.!

Terlalu banyak hikmah ‘sakit’ yang Allah anugerahkan, buat hamba pilihan-Nya.

Itulah kata-kata yang iman bisikkan dan teguhkan, tatkala syaitan datang menggoyahkan iman.




Tak sekali-kali ku nafikan, daku insan yang lemah. Rasa memang tidak kuat untuk bertahan.

Tatkala diuji, rasa iman tersangat ‘less’. Andai ia seperti bateri, tercari-cari daku pengecas untuk memenuhkan semula bateri iman.

Bila sakit, ku jadi malu dengan diri sendiri apabila teringatkan kisah Nabi Ayub a.s. Baginda kuat, tabah dan sangat sabar dengan apa yang Allah timpakan kepadanya.

Dugaan yang sangat berat, kehilangan harta benda, anak pinak, saudara mara dan penyakit yang terlalu derita namun masih bersyukur dengan apa yang Allah berikan.

Sedar, diriku bukan nabi. Tetapi Allah datangkan ujian yang berat kepada para Rasul untuk mengingatkan ummat bahawa ujian yang Allah berikan pada ummat sangat kecil berbanding mereka.


Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayub) seorang yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhannya)." (QS. Shad: 44)


(Ya Allah...kurniakan padaku juga kesabaran dan ketabahan yang tiada tara...amin)




Semuanya dengan izin Allah.

Dengan izin-Nya, perlahan-lahan daku mulai sembuh.

Juga berkat solat hajat 3 hari berturut-turut dari family dan semua sahabat-sahabat yang mendoakanku dari jauh.

Alhamdulillah. Bersyukur, sangat bersyukur.

Terima kasih Allah kerana mengurniakanku kesembuhan.
Terima kasih Allah kerana masih memberiku nafas.
Terima kasih Allah kerana masih memberiku cahaya dan petunjukMu.
Terima kasih kerana terlalu menyayangi hamba…

Sungguh, daku ingin sembuh. Sembuh sepenuhnya. 

Ingin cepat kembali ke kuliyyah seperti biasa.

Ingin teruskan semula kerja-kerja Islam yang tertangguh.

Ingin terus menggalas amanah dan tanggungjawab yang terpikul di pundak dengan sebaiknya.

Insha Allah, semoga DIA izin…amin.

p/s: “Mungkin ada yang tertanya, apa sakit yang ku derita? Jawabnya, cukuplah Allah yang Maha Mengetahui perihal keadaan hamba yang doif ini… Inna lillahi wainna ilaihi rajiun….”

~masih punyai semangat untuk menulis kerana dengan menulis ku kumpulkan kembali kekuatan yang hilang...juga takut andai tiada lagi kesempatan lain yang diberi kerana mungkin masaku terlalu suntuk.? ALLAH, semoga Engkau redhai~




: hikmatul islam         
: 13012013
: 0230 am

reade more... Résuméabuiyad

Muhasabah Cintaku









 “Breast cancer. Tapi, masih pada peringkat awal. Kamu perlu belajar bertenang. Jangan mudah stress. Nanti sakit kamu akan semakin serius dan parah.”



Pesanan itu tenggelam timbul dan sayup-sayup kedengaran. Pandangan terasa berpinar-pinar. Jalan terasa semakin kelam. Dunia terasa kian gelap. Ku tahan, tidak ingin air mata ini menitis di hadapan manusia. Lalu ku masih cuba ukirkan senyuman. Meskipun senyuman itu semakin ternampak kelat dan kian pahit…


“Sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan yang Maha Penyayang di antara semua penyayang” (Al-Anbiya’:83)



Lagu ‘muhasabah cintaku’ oleh Edcoustic terbunyi-bunyi kembali. Baru semalam rasanya ku mendengar lagu tersebut. Bila sekali lagi ku pasang, liriknya seakan-akan ditujukan buat diriku. Terasa cukup syahdu…



Wahai pemilik nyawaku
Betapa lemahnya diriku in
beratnya ujianMu ini
ku pasrahkan semuanya padaMu

Tuhan…baru ku sedar
Indah nikmat sihat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini ku harapkan cintaMu

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalir berzikir di kidung doaku
Sakit yang ku rasa biar jadi penawar dosaku

Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini Ya Ilahi
Muhasabah cintaku

Tuhan…kuatkan aku
Lindungi aku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku denganMu…




“Ukhti..ana tidak mampu hadapi semua nie...”


Dengan rembesan air mata, lalu ku ceritakan satu persatu kepada ukhti yang pernah belajar di bumi mesir itu. Kami pernah duduk serumah dan dialah kakak yg paling rapat dan banyak memberi nasihat kepadaku.


Dia beristighfar panjang. Terkejut barangkali. Sama sepertiku, yang masih juga terkaku dengan semua ini. Lantas dia terus memperingatkan ku dengan janji-Nya.


Sesungguhnya adikku… Ketahuilah…Tidaklah Allah memberikan kita suatu ujian melainkan DIA tahu kita mampu memikulnya…Bersabarlah…jadikan solat dan sabar sebagai penolongmu.!’


Menitis semakin lebat air mataku di saat membaca pesanan ringkas tersebut. Sebak.


Jika dia ada di hadapanku, sudah tentu akan ku peluk dia erat-erat. Menangis sepuas-puasnya di bahunya. Namun sayang, dia berada jauh dariku. Tinggalku sendiri di sini.



Dan malam itu, kasihan ukhti, dia juga sama tidak dapat tidur dan menangis mengenangkan khabaran dariku. Dan aku lebih-lebih lagi, mana mungkin bisa melelapkan mata. Terasa nafas kian semput. Rasa sakit di dada semakin berdenyut-denyut.


Terbayang-bayang wajah kematian di mata. Saat ini terasa maut semakin mendekat. Seakan-akan DIA telah memanggil-manggil namaku untuk dijemput pulang. Seakan-akan sayup kedengaran namaku yang dipilih untuk bertemu Tuhan. Semuanya seakan-akan ternampak-nampak di mata. Terasa masa yang ku punya sudah terlalu sedikit dan suntuk.



“Allahu allah…berikanku lagi kesempatan masa untuk bertaubat dan menyucikan diri. Ku ingin bertemu denganMu dengan keadaan Engkau redha kepadaku…” Hati berbisik-bisik sendirian.



Tanpa berlengah lagi, ku terus bangkit dan berwuduk. Ingin meluahkan segala-galanya pada DIA. Ingin bermohon semuanya pada yang Esa.



Kerana DIA yang menitipkan sakit ini padaku. DIA yang memberiku rasa perit ini.



Teringat kata-kata ucapan yang diungkapkan oleh Nabi Ya’kub a.s apabila membaca sirahnya. Baginda berkata dengan tenang sewaktu Allah menimpakan penyakit yang berpanjangan kepada dirinya.



“Aku sakit dan Engkau jualah yang menyembuhkan. Jika Engkau melihat bahawa aku sudah saatnya untuk sembuh maka sembuhkanlah aku ya Tuhan. Sakit yang paling aku senangi adalah sakit yang Engkau senang bila ia ada padaku.”



Subhanallah…! Iman seorang nabi yang cukup ampuh dan kental sekali. Apakah aku mampu menghadapi penyakitku ini sepertimana baginda hadapi??


Tidak akan mampu. Kerana dia seorang nabi,sedangkan aku cuma hambaMu yang lemah lagi hina. Namun begitu, ku tidak ingin sesekali berputus asa dari rahmatMu Ya Muhaimin.


Lama ku bersujud. Seusai memberi salam, bersimpuh lemah di hadapanNya.


Dan di saat menadah tangan di hadapanNya, ku hamburkan segala tangisan dan jeritan ini. Menangis semahu-mahunya. Allahu..menangis lagi…


Biarlah. Tangisan ini tidak hina di mata-Nya.



Mungkin jika menangis di hadapan manusia bisa mencebik dan bosan untuk mendengar tangisan dan jeritan ini, tetapi ku yakini Tuhanku tidak seperti itu. Malah DIA sentiasa ada untukku. Dan untuk semua makhlukNya.



DIA setia mendengar keluh kesah setiap jiwa. Dia setia mendengar rintihan dan rayuan hamba-hambaNya. Dia sentiasa setia berada di sisi setiap hamba. Meskipun setiap jiwa belum tentu dapat setia kepada-Nya.



“Sesungguhnya hanya kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku” (Yusuf:86)




 “Tuhan, lihatlah hambaMu ini. Pandanglah wajah hamba ini. Yang lemah, longlai. Tidak punya apa-apa, tidak miliki apapun. Semuanya Engkau yang punya.


Tuhan…Jika sakit ini lebih Kau sukai ia berada bersamaku, maka Kau tenangkanlah rasa hati yang gundah dan gelisah ini.


Jika sakit ini merupakan suatu yang bisa menggugurkan dosa-dosa, jadikanlah daku bersyukur dengan ujian ini kerana Engkau hendak membersihkan sgala dosa noda, semoga dibersihkan segala dosaku dengan sebersih-bersihnya.


Jika sakit ini merupakan suatu pengujian tingkat martabat iman di sisiMu, maka pilihlah daku untuk termasuk di kalangan orang-orang yang bersabar menerima semua ini. Dengan lirih hati, dengan rendah diri terimalah hambaMu hina ini…Allahumma amin…”


Diaminkan doa itu bersama raupan tangisan air jernih yang tidak henti-henti mengalir.


Pasrah. Perkataan itu yang dapat dirasai setelah memberitahu segala-galanya pada DIA.


Ku ambil kitab-Nya, belek semula ayat yang ukhti pesan tadi. Berkali-kali ku istighfar, berzikir dan akhirnya membaca ayat terakhir surah al-Baqarah itu, cuba mencari kekuatan di balik sepotong ayat tersebut.



“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa) ‘Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa dan tersalah. Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, jangalah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami, Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir’.”  (AL-Baqarah:286)



Allahurabbi…



Tuhan..Mendengar ayat-ayatMu, terasa sejuknya menyirami tangkai hati. Seakan seperti titis embun selepas hujan yang dingin menitis ke bumi. Seakan-akan Engkau sedang bercakap dengan hati. Seakan-akan Engkau sedang berkomunikasi dengan jiwa ini. Seakan-akan Engkau sedang menyampaikan pesan kepada diri.



Membaca ayat-ayatMu, memberikan suatu ketenangan yang tidak dapat ditafsir dengan kata-kata, tiap bait patah kalam-Mu yang terukir, tidak akan mampu dan terbanding dengan bahasa apapun, dengan kalam apapun yang manusia ingin ciptakan. Tidak mungkin akan sama. Tidak mungkin akan tertanding. Subhanallah…



Ya. DIA-lah ILLAH segala Illah. DIA-lah Tuhan segala tuhan. Pemilik jiwa dan rasa. Maha Agung, Maha Suci lagi Maha Tinggi. Allahuakbar…



Ku yakini, setiap penyakit pasti ada penawarnya. Ku tidak ingin berputus asa dari rahmatMu Tuhan. Ku akan terus berusaha dan berusaha untuk sembuh dan pulih seperti biasa. Juga tidak akan jemu untuk bersujud meminta. Terus berdoa dan berdoa memohon belas kasihMu.


Ya Allah! Aku milikmu…jiwaku, tubuhku, hatiku, semuanya Engkau yang punya.. Engkau yang berhak ke atasku.. samaada untuk memuliakan, ataupn menghina, samada ingin menghidupkan atau mematikan…



Tuhan, Aku milikmu, padaMu jua ku kembali… Semoga kembaliku kepadaMu dengan qalbun salim, dan Engkau redha kepadaku…”




“Orang-orang sabar iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah mereka mengatakan “innalillahi wa inna ilaihi rajiun” (Al-Baqarah:156)



p/s: Buat insan-insan yang sedang sakit menderita di luar sana…jangan sesekali berputus asa dari rahmatNya. Jangan terus larut dalam air mata duka. Hiburkan jiwamu dengan janji-janji Yang Esa. Pasrahkan jiwamu dengan munajat kepadaNya. Meskipun sakit itu kian ternampak parah dan kritikal, tetapi yakinlah pasti akan ada pertolongan dan rahmat dari-Nya…Sesungguhnya TuhanMu adalah yang Maha Pengasih di antara yang maha pengasih…



“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka. Maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia maha mengetahui orang-orang yang dusta” (Al-ankabut:2-3)



“Allah tidak menimpakan musibah ke atas orang mukmin melainkan kerana salah satu daripada dua perkara: mungkin dia mempunyai dosa yang tidak dapat diampunkan kecuali dengan cubaan itu. Kedua, dengan ujian itu darjatnya di sisi Allah dinaikkan…”




*Diadaptasi dari sebuah kisah benar...apa yg baik jadikanlah ia sbg mnfaat dn hikmah kpd diri...stsalah bemuhasabah mskipun Tuhan belum mengujimu dgn ujian kesakitan...smoga stsa mnjdi hmbaNya yg bersabar dan bersyukur..!*


 
Diari Nukilan:


: Hikmatul Islam
: 11112011
: 1100pm


~Cuma Ingin RedhaMu Rabbi~


reade more... Résuméabuiyad