Pages

Showing posts with label Redha Dengan Takdir Allah. Show all posts
Showing posts with label Redha Dengan Takdir Allah. Show all posts

Saat Allah Berbicara







“Saat Allah berbicara,

Ku jadi terpempan seketika.

Saat Allah sedang berbicara,

Seluruh jiwa rasa tergoncang.

Saat Allah lagi berbicara,

Terasa bisikan-Nya teramat dekat.

Terlalu dekat,

Buat hati-hati yang ingin mendengari bicaraNya..


Ini bukan bicara dongeng

Ini bukan bicara ahli falsafah

Ini bukan bicara sang penyihir

Tetapi ini adalah bicara Sang Maha Agung

Tiada tara.

Mahukah kalian mendengari-Nya?”


Bismillahirrahmanirrahim..

“Mahasuci Allah yang menguasai (segala) kerajaan, Dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun.” (Al-Mulk:1-2)






Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

Ucapan hamdalah ini ingin sentiasa ku tuturi.

Sentiasa.

Setiap saat dan waktu.

Setiap tika yang bergulir.

Dalam keadaan apapun.

Dalam situasi apapun.

Apapun?

Ya, dalam apapun.

Andai sedih, adakah mungkin untuk dituturkan hamdalah?

Tidak mungkin!

Kenapa tidak?

Adakah cuma tika mendapat nikmat semata-mata baru diri ingin bersyukur?

Tidak.

Jika itu yang dalam hitungan, maka hitungan itu silap.

Perkiraan itu tersasar.

Lumrah manusia, saat diuji mengeluh, kecewa, hampa.

Jarang sekali mahu melafazkan hamdalah.

Mahu bersyukur saat diuji?

Ah, mana bisa!

Itulah ungkapan hati, yang sukar untuk bersabar, apatah lagi untuk mengucapkan syukur saat diuji.

Selagi mana hati dan bibir berkeluh kesah, tidak mungkin kita akan menjadi orang yang bersyukur.


"Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir."  (Surah Al-Maarij:19)


Andai begitu, benarlah sekali akan alunan kalam-Nya, kebanyakan dari kita memang sedikit sekali untuk bersyukur.


“Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.” (Surah Yusuf:38)






Justeru itu, bagaimana untuk menjadi manusia yang bersyukur saat diuji?

Teruslah memuji dan memuja-Nya, teruslah meminta lautan kekuatan dan kesabaran dari Allah tatkala diuji. 

Pintalah semoga dengan ujian itu akan membuatkan kita menjadi manusia yang semakin dekat dengan Allah, semakin dinaikkan 'darjat' dan 'martabat' di sisi-Nya.

Teruslah istiqamah dengan kebaikan, teruslah berbuat amal meskipun musibah melanda. 

Kerana ramai orang berbuat kesilapan yang cukup besar apabila diuji, mereka langsung lemah dan menjauh dari Allah. 

Mereka semakin tidak berbuat amal dan langsung meninggalkannya. Bukankah itu tanda hamba-Nya yang tidak bersyukur? 

Hanya seronok tika mendapat nikmat, tetapi tidak suka dengan ujian yang Allah berikan kepada dirinya.

Aduhai diri.! Jangan begitu...Alunkan zikrullah kepada DIA yang Maha Mendengar, hatimu menjadi tenang damai dan pasti akan diberikan ganjaran pahala yang berganda-ganda. 

Dengan demikian, insya Allah kita akan memperoleh tambahan nikmat dari-Nya. 


Al-Qur’an menerangkan,"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah nikmat kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku),maka pasti azab-Ku sangat berat.”(QS.ibrahim [14]: 7)





“Orang yang memandang masalah sebagai masalah,maka dia akan sentiasa hidup bermasalah. 
Akan tetapi, orang yang memandang masalah sebagai ujian hidup, 
maka dia akan sentiasa mencari jalan untuk menyelesaikan masalah.”



Hidup bukan namanya ‘hidup’ andai kehidupan ini tidak dikelilingi oleh masalah.

Semua orang pasti akan berhadapan dengan masalah, sekecil mana dan sebesar apapun.

Kerana sudah menjadi lumrah, kerana sudah menjadi adatnya hidup di dunia.

Kita harus sedar akan hakikat itu, kita bukan hidup di syurga kerana di sini cuma tempat persinggahan yang sementara untuk menuju ke alam abadi kelak.

Kerana di sini namanya dunia, maka ia adalah suatu medan ujian yang menuntut seribu macam pengorbanan, keikhlasan dalam perjalanan panjang menuju Tuhan.


“Mahasuci Allah yang menguasai (segala) kerajaan, Dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun.” (Al-Mulk:1-2)


Dengarilah ini, bicara Yang Maha Esa kepada manusia.

Tidak perlu kepada bicara yang panjang, tetapi cukuplah dengan cuma dua ayat agung-Nya.

Bila Allah lagi berbicara, telitilah dan amatilah sehingga ia terkesan di sanubari.

Sesungguhnya, pada setiap ujian yang ditimpakan sebenarnya Allah ingin melihat pada setiap amalan hambanya berada pada tahap yang mana?

Adakah kita...

Sabar, tetapi masih mengeluh?

Sabar, tetapi sukar untuk bersyukur menerima ujian itu seadanya?

Sabar, tetapi jiwa masih ragu-ragu akan nusrah Allah?

Semuanya terpulang pada kita.

Hanya kita yang mampu menilai tahap ukuran hati kita sendiri, dan Allah Maha tahu apa yang tersirat di balik setiap hati hambaNya.


"Bahawa besarnya sesuatu balasan itumenurut besarnya sesuatu bencana ujian;
dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum lalu diuji mereka; kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan redha, maka dia akan beroleh keredhaan Allah,
dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan dari Allah."
(Hadis riwayat at-Tarmizi dan Ibn Majah)






Bila saat diri bersedih, biasanya orang akan pujuk dan kata,

"La tahzan, pasti ada hikmahNya."

Tetapi, ada yang ragu-ragu dan bertanya,

"Mana hikmah-Nya, mana hikmah-Nya?"



Duhai insan...

Hikmah Allah itu tersembunyi.

Tatkala diri diuji, kita memang tidak akan nampak hikmahNya.


Masa itu kita cuma nampak 'kulit luaran' yang keras, yang buruk.


Dan, 'isian dalaman' yang cantik, yang indah di dalamnya itu memang kita tidak akan nampak secara zahir kerana Allah sembunyikan.

"Jadi, macam mana nak nampak hikmah di balik ujianNya?"


Jawapannya, bukan sekarang.

Kelak, selepas kita bersabar dan terus bergantung pada tali Allah, maka nanti akan Allah singkapkan HIKMAH TERINDAH itu.

Ya, sekarang mungkin Allah hanya tunjukkan 1 hikmah dibalik ujian tersebut, tetapi 99 hikmah lagi tersembunyi dalam khazanah rahsia-Nya.

Tersembunyi di sana, di sisi Dia Yang Maha Bijaksana.

Jika tidak disingkapkan hikmah itu di dunia, pasti di syurga.

Tinggal sahaja antara iman ingin menyakininya atau tidak?


“Bila Allah cepat memakbulkan doamu, maka Dia menyayangimu..

 Bila Dia lambat memakbulkan doamu..maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu..

Oleh itu sentiasalah bersangka baik pada Allah dalam apa jua keadaan kerana kasih sayang Allah mendahului kemurkaanNya..”







Bilamana diri mengungkapkan cinta kepada Pencipta, benar-benarkah diri mencintaiNya?

Cinta kepadaNya, bukan seperti kita cintakan manusia.

Ia suatu dimensi yang sangat berbeza.

Harus fahami dan mengerti.

Manusia, bila dia sayangkan seseorang, dia akan berusaha memberikan yang terbaik buat kekasih hatinya.

Akan berusaha membuatkan orang tersayang tersenyum, bahagia. Tidak akan sesekali ingin membuatnya sedih mahupun berduka.

Tetapi, cinta Allah berbeza.

Allah tidak mengungkapkan sedemikian pada manusia.

Tatkala seseorang hamba itu sudah menjadi ‘istimewa’ di mata Allah, Allah menyayangi dirinya lalu ingin diangkat darjatnya menjadi tinggi di sisi Ilahi. 

Maka, DIA terkadang memberikan kesusahan, kesakitan dan keperitan.

Kenapa sedemikian rupa?

Kerana cinta Allah terlalu halus, terlalu berseni untuk ditafsirkan dengan kalam dan perkataan.

Allah memberikan sakit, untuk menjadikannya kuat dan tabah.

Allah memberikan duka, untuk hamba itu terus meminta hanya kepada yang Esa.

Allah berikan air mata, untuk hamba itu menangis dan merintih cuma 
kepada Pencinta yang Setia.

Kerana kasih sayang dan cinta Allah itu sangat luas, sangat besar nilaiannya untuk ditukar dengan mahar syurga...



"Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasul-Nya. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar." (Surah Al-Hadid; 21)







Tinta kalam ini tidak ingin hamba akhiri di sini, masih ada banyak lagi yang ingin hamba kongsikan bicara-Mu Tuhan kepada semua insan.

Insha-allah, akan ku tinta lagi di masa hadapan.

Harapanku, dengan cebisan bicara ini semoga akan ada jiwa yang Engkau ‘sentuh’ hatinya untuk kembali bermuhasabah dan meneliti semula mutaba’ah amalnya.

Semoga, diri sendiri yang terutama memperingati dan mengamalkannya.

Semoga, kalian dapat mendengari bicara Tuhan yang amat dekat...terlalu dekat...buat sekeping hati ‘hamba’ yang mencintai Tuhannya...


Mendekatlah.

Kerana Allah tidak pernah menjauh darimu.

Andai sedih, dekatilah DIA.

Andai duka, rapatilah DIA.

Andai hiba, beritahulah kepadaNya.

Insha Allah.

Pasti akan datang 'nusrah' Allah.

Cepat atau lambat,

bukan itu persoalannya.

Akan tetapi,

sedaya mana kita merapati dan meminta padaNya...

~Keep close to Him, everyday, everysecond~ :')





: hikmatul islam         
: 06022013
: 1110 pm 

reade more... Résuméabuiyad

Diari Hikmatul: "Kerana Itu Takdir-Nya..."





Kedinginan pagi membaluti tubuh. Sedingin rasa yang membaluti hati dan jiwa.


Saat ini…pilu menggayuti tangkai hati apabila teringat-ingat segala peristiwa yang berlaku.


Disulami pula oleh kehadiran bait-bait kenangan. Datang satu persatu. Seakan sebuah episode yang menayangkan satu persatu cerita.


Cerita suka dan duka antara aku dan dia. Kemudian cerita itu pun berakhir. Menjadi sebuah kisah yang lengkap.


Seperti cerita filem dan drama. Beratus-rastu episode pun, ia mesti berakhir. Samada pengakhirannya hepy ending o sad story, tetap akan berakhir.


Dan pengakhiran ceritaku dengannya berakhir dengan sebuah cerita syahdu…


Dalam sendu dan tawa. Dalam gembira dan air mata. Allah telah melengkapkan cerita ini. Kisah aku dan dia. Abadi menjadi lipatan sejarah hidup.


Cerita yang Allah titipkan di pertengahan perjalanan dalam musafir yang panjang.


Cerita menjadi takdir. Sebuah takdir yang DIA mereka ciptakan cerita, kemudian melengkapkan untuk kami.



“Setiap permulaan pastinya ada pengakhiran. Setiap pertemuan pastinya akan ada perpisahan. Itu sudah lumrah. Jika tidak mahu mengimaninya, terserah. Jika tidak dapat menerima hakikatnya, jangan sampai iman itu menjadi parah.”



Kata-kata itu bukan untuk sesiapa, tetapi ia untukku. Biar diri lama termenung, berfikir dan bermuhasabah panjang.


Kenangan datang lagi. Terbayang-bayang di mata. Sungguh… ia sangat sukar untuk dihapuskan.


Tidak. Ku tidak berhajat untuk memadamkannya. Biarkan kenangan itu terus bergulir kerana kini ku hanya punyai kenangan itu. Sekurang-kurangnya, ku masih ada kenangan itu bersamanya.


Biarpun kini jasadnya sudah terpisah dengan jasadku, jauh dan kian jauh. Sepi dan kian sepi. Namun kenangan tidak mungkin akan terpisah dari diari hidup kami.


Terkenang-kenang lagi. Saat indah bersamanya, mana mungkin akan ia luput? Berteman. Siapa yang tidak ingin berteman dengan sejati? Kekal abadi hingga jannah Ilahi.


Tuhan…mana mungkin layak untuk ke syurgaMu, dengan keadaan diri yang penuh hina dan dosa. Namun, apabila teringatkan janjiMu, orang yang saling berkasih sayang kerana-Mu antara golongan yang akan duduk di bawah arasy-Mu kelak. Siapa yang tidak mahu?


Dan itulah yang didamba. Berukhuwah hingga ke syurga. Namun, ia bukan semudah yang dikata. Sekali lagi ku baca dan renung sepatah ayat ini dalam-dalam.



“Berukhuwah hingga ke syurga”



Saat membaca kembali entry-entry lama yang ku postkan mengenai ukhuwah. Ya, coretan-coretan kata yang aku abadikan selama berukuhwah dengannya. Semua bait-bait yang terlakar itu sebenarnya kisah antara aku dan dia.

Air mata merembes kian deras di saat ku buka kembali artikel yang bertajuk; “Sahabat, ku ingin masuk syurga bersamamu.!”


Allahu…benar-benar  ku tulis tulisan itu dengan hatiku begitu kuat melekat padanya. Benar-benar inginku masuk syurga bersamanya. Bukan sekadar omongan kosong. Tetapi itulah yang lahir tulus dari hatiku, dan mungkin hatinya jua.


Teringat satu lagi impian yang ku ukir janji dengannya. Janji kami bersama. Terpatri semasa bulan yang mulia, ramadhan yang lalu menjadi saksinya.


Hari pertama berpuasa. Ku luahkan impian hatiku yang tersulam sekian lama.


“Ukhti, adik mahu kita pergi umrah bersama-sama. Suatu hari nanti, sebelum adik menutup mata. Ingin sekali pergi untuk kita sujud di sana, di hadapanNya sebagai tanda syukur kepadaNya di atas anugerah ukhuwah yang DIA berikan ini. ”


Kemudian, kenangan itu terhenti tiba-tiba. Kembali tersedar.

Kini impian itu cuma tinggal kenangan. Dan mungkin akan berkubur sepanjang zaman.


Tidak semua mampu membawa ukhuwah hingga ke syurgaNya. Kerana pastilah ada seribu hadangan yang perlu dilalui. Cerita kami juga, punya ujianNya.


2 tahun kami menyulam ukhuwah ini. Ku akui, sememangnya tidak pernah sepi dari dugaan melanda.

Insaf. Ujian itu tanda kasihNya. Penguat sebuah hubungan. Selama ini kami meniti, menitinya bersama dengan hati-hati.


Namun, di akhir cerita, kami tidak mampu lagi. Dan akulah yang menjadi paling lemah. Terduduk diam sepi tanpa dapat berkata-kata lagi...


Sakitnya sebuah hakikat kebenaran, tidak terperi sakitnya jika dibandingkan dengan sakit jasmaniku. Mengoyak-goyak rasa hati.


Menangis-nangis mengenangkan semuanya. Sakit di dada kian berdenyut-denyut, tapi tidak lagi diendahkan. Saat itu cuma ingin menangis semahunya.


Terasa hampa dan kecewa. Saat itu, terlalu kecewa, mungkin.


Tidak sangka. Sungguh ku tidak pernah menyangka. Tidak pernah terfikir di benak fikiran apatah lagi terlintas di hati apabila mengetahui semua ini. Ku jadi terpana seketika.


Allahu allah… dalam hati cuma mampu menyebut asma-Nya kemudian beristighfar panjang…


“Kenapa sanggup buat seperti ini? Kenapa?? kenapa harus seperti ini?”

Saat itu juga terasa kejujuran dikhianati. Keikhlasan terasa hilang berlari pergi.


“Di balik kebaikan-kebaikan yang tersusun selama ini, apakah punya niat tersembunyi? Inikah yang dimaksudkan dengan kasih sayang, terlalu sayang sehingga mengambil kesempatan?”


Kta-kata itu bukan ditujukan buatmu. Tidak tahu buat siapa sebenarnya...


Sungguh, hati tidak mampu menjawab semua pertanyaan itu. Cuma akal terus-terusan ingin melontarkan perosalan-persoalan tersebut meskipn akal tahu hati tidak mampu memberikan sebuah jawapan.


Hati menangis hiba. Berlagu kian pilu.


Kini sudah hampir sebulan kami terpisah. Tiada lagi mesej bertanyakan khabar tiap-tipa hari seperti dulu. Tiada lagi call yang dapat ku dengar gemersik suaranya yang merdu.


Sepi. Kian menyepi. Dan akulah yang menyepikan diri. Mungkin lebih baik begini.


Sebulan ku bermuhasabah. Sebulan jua ku ambil masa untuk membaluti segala rasa hati. Ku renungi semula setiap cerita. Ku amatinya kembali.


Tuhan…Dia tidak salah. Meskipun telah ternampak kesalahan tersebut, namun dia tidak salah. Kerana dia cuma manusia biasa. Sama seperti aku, yang juga punya banyak kesalahan. Mungkin lebih banyak lagi kesalahanku di hadapanMu berbanding dengan dirinya.

Tiada siapa yang bersalah. Ku ingin imani, semuanya telah Engkau takdirkan begini. Kerana kami pun tidak pernah minta seperti ini.


Walaupun setiap hari kami berdoa untuk dikekalkan ukhuwah ini. Namun, kerana Engkau telah menghendaki kami berpisah, tetap akan berpisah jua...


Ku akur. Ku ingin pasrah di atas segalanya. Ku ingin maafkan dia seikhlas hatiku, semampu ku. Maafkan hamba kerana hamba juga cuma insan biasa. Yang punyai rasa kecewa dan hampa. Tetapi ku tidak ingin terus larut dan hanyut dalam perasaan itu.


Walau apapun yang telah berlaku, walau apapun yang telah terjadi antara kami, walau apapun Tuhan, ku ingin sentiasa memaafkannya. Sebesar apapun kesalahannya, walau bagaimana besar pun luka yang ditoreh, ku ingin memaafkannya dengan sepenuh hatiku. Seikhlas mungkin.


“Tuhan. Jika Engkau lagi Maha Pemaaf, pinjamkanlah daku sedikit kemaafaan itu. Agar dengan memaafkannya, bisa terampun segala dosa-dosaku. Kerana dia juga manusia yang tidak sempurna. Aku juga sama. Tiada yang sempurna melainkan Engkau Ya Khalik.


Ku ingin ikhlas. Ku ingin redha dengan segala yang berlaku. Berikanlah daku keikhlasan dan keredhaan itu Rabbi. Agar dengannya, dapat pula ku raih redha dan cintaMu.


Ku tidak sesekali ingin membencinya setelah apa yang terjadi, jauh pula ingin bermusuhan. Tidak. Tidak pernah hadir pun perasaan itu walaupun sedikit.


Kerana…jauh di sudut hatiku teman…ketahuilah,, ku amat menyayangimu kerana ALLAH. Hanya Cuma kerana ALLAH.


Oleh kerana rasa itu ku sandarkan sejak dari dulu lagi keranaNya, maka ku akan tetap menyayangimu. Dahulu, kini dan selamanya. Ku letakkan ia senyap-senyap jauh di sudut hatiku.


Biarpun ungkapan itu tidak lagi dapat terungkap dengan lisan seperti dahulu, tetapi kini ku abadikan ungkapan itu dalam sujud doaku pada Tuhan.









Sesungguhnya…

Ku menyulam dan mengulang cerita ini bukan untuk diminta simpati, jauh sekali untuk mencaci-caci dan bukan pula sekadar luahan dan keluhan rasa hati yang menjadi bebanan pula kepada orang yang mendengarnya.


Tetapi, niatku cuma satu. Ingin semua yang setelah tamat membaca cebisan kisah ini, mengambilnya sebagai satu iktibar dan renungan.


Benarlah, memaafkan bukan suatu perkara yang mudah. Sangat menyulitkan jika tidak dilandasi dengan keimanan.


Tetapi didiklah hati. Didiklah iman, didiklah ia menjadi bunga-bunga takwa, sehingga merimbun menjadi rimbunan redha.


Memaafkan dengan ikhlas. Tak semua orang mampu buat. Tak semua orang benar-benar dapat memaafkan dengan seeikhlas dan setulus-tulus hati.


Kerana ada yang memaafkan cuma dengan bibir mulut, bukan dengan hati. Selepas memaafkan, masih terus menyebut.


Subhanallah…sukar…sangat sukar…terkadang, ku juga sama… kerana rasa tidak tertahan rasa pedih dan kecewa, diluahkan juga kepada manusia. Diadukan juga pada makhluk-Nya.


Namun, kemudian kembali tersedar, DIA yang mentakdirkan segala-galanya. DIA yang membuatkan cerita kami menjadi sedemikian rupa.


Jika Nabi bisa memaafkan, kenapa tidak kita? Yang Cuma insan hina yang juga banyak khilaf dan dosa. Lihatlah Nabi. Tetap tersenyum bila dicaci. Tetap memaafi meskipun disakiti. Semuanya dimaafkan dengan seikhlas hati.


Dan jika ini kisah saya dan dia, mestilah setiap dari kita punya cerita yang berbeza-beza bila berteman.


Saya akui, untuk bertemu dengan sahabat sejati amat sukar sekali. Bukan mudah. Tidak semua orang bisa memiliki sahabat sejati. Tetapi, sekurang-kurangnya saya sudah pernah memilikinya. Pernah berteman sejati dengannya.


Alhamdulillah, saya bersyukur sebenarnya. Kerana dia pernah membahagiakan saya. Pernah membuatkan saya berasa menjadi orang yang cukup bertuah punyai teman yang sangat menyayangi diri ini. Masa itu. Suatu ketika dahulu.


Kak! Gelaran adik kecik tetap akan bersemi sehingga hujung nafas ini…


Bersyukur dan amat bersyukur sebenarnya di atas semua yang terjadi ini. Kerana sebenarnya Tuhan ingin mentarbiyah diri.


Bermuhasabah kembali. Mungkin ada kelalaian dan kealpaan kami semasa berukhuwah sehingga ALLAH menjadi cemburu.


Ya, mungkin ALLAH cemburu. Kerana kasih sayang seperti apapun di antara makhluk, jangan sesekali kita terlupa bahawa kasih sayang kepada Sang Pencipta harus sentiasa diletakkan yang paling utama. Paling teratas di antara apapun.


Dan mungkin selama ini kami telah terlebih kasih sehingga diuji dengan perpisahan ini. Mungkin juga pernah menjadi terlalai seketika dariNya. Semuanya mungkin.


Tuhan, Ku ingin mengerti. Tidaklah Engkau menjadikan sesuatu perkara itu sia-sia, melainkan pasti ada hikmah di sisiMu.


Apa hikmahnya?? Meskipun hati tidak mampu menjawab, tetapi ku tahu suatu hari nanti Kau pasti akan singkapkan semuanya.


Pasti ada kebaikan. Meskipun ternampak buruk. Pasti ada kebaikan, meskipun di mata manusia ternampak cela. Kerana rahsia itu, hanya Engkau yang Maha Tahu, ku cuma hamba yang sangat terbatas pengetahuan tentangnya.


Tuhan.. kerana takdirMu kami berpisah. Dan ku pohon, moga dengan takdirMu jua kami bertemu dan bersama kembali. Bukan lagi di sini. Bukan lagi di dunia yang penuh kepura-puraan ini. Tetapi di sana. Di sana. Di syurga sana.


Moga di sana nanti, tiada lagi rasa hampa dan kecewa, tiada lagi duka dan nestapa, tiada lagi luka dan air mata, yang ada bahagia cuma.


Semoga…semoga..dan semoga…ku cuma ingin doakan yang baik-baik sahaja kepadanya. Lantas ku aminkan ia dalam raup doaku di keheningan pagi ini.



Dengan apa yang terjadi, lama mata terpejam bermuhasabah panjang… subhanallah…lama kelamaan, semakin terasa agungnya kuasaMu Tuhan…



Berakhir kisah kami dengan sebaik-baik jalinan cerita dari-Nya. Meskipun mungkin ia boleh dikatakan ‘sad ending’…

Dan buat yang terakhirnya;


“Maafkan daku teman. Kerana kita tidak mungkin lagi dapat bersama seperti dahulu. Maafkan daku.

Bukan ku tidak ingin memberimu peluang itu, tetapi sudah tiada lagi peluang itu buat kita.

Selama ini, DIA telah bagi kita banyak peluang sebenarnya. Dan ku telah bersyukur di atas peluang-peluang yang diberikan itu.

Tapi kini, kita sememangnya harus berpisah. Jangan disoal lagi kenapa.?

Jawapanku,, Kerana itu takdir-Nya…” :’(



Kadang-kadang...
Allah sengaja mentakdirkan kita berpisah setelah DIA menemukan kita...
kerana di sebalik perpisahan itu ada erti kesabaran dan semakin bertambahnya simpulan kasih sayang dalam diam...
meskipun tidak terzahir dengan mata, tetapi DIA Maha Mengetahui segalanya.Belajarlah untuk pasrah kepadaNya. Kerana jika iman menyakini, pasti akan ada yang terbaik masa depan nanti yang disediakan buat kita sebagai hambaNya...yakinilah...


“Katakanlah, ‘Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh ALLAH bagi kami. DIA lah pelindung kami dan hanya kepada ALLAH orang-orang beriman harus bertawakkal’.” (At-Taubah: 51)




Diari Catatan:

~Cuma ingin redhaMu Rabbi~

: Hikmatul Islam
: 22112011
: 0500 a.m
reade more... Résuméabuiyad

“REDHALAH, MAKA ALLAH JUGA AKAN REDHA KEPADAMU!”



“Sedihnya... Kenapa Allah tidak memakbulkan jua permintaan kita, padahal hati kita telah tulus berhijrah ke sana semata-mata untuk berjihad menuntut ilmu agama-Nya..?” Pandangan terasa semakin kelam. Hati semakin merintih-rintih dan bertanya, ‘Kenapa Ya Allah…?? Tidak bisa mengabulkan permintaan ini??’


Luahan Hati

Ini antara luahan hati kami yang tidak dapat berhijrah ke bumi anbiya’. Begitu lama hasrat di hati tersimpan kukuh untuk menjejakkan kaki ke sana, mendamba ilmu agama yang cukup hebat dan masyhur di mata dunia. 

Namun bukan itu yang kami cari, tetapi sebuah jihad untuk menuntut ilmu-Nya dengan lebih mendalam, di bumi  Mesir, Jordan, Syria dan lain-lain lagi yang sememangnya menjadi impian bagi setiap pelajar seperti kami, yang mengambil aliran dalam bidang agama. Itu hanyalah cebisan sebuah kisah kami. Sebuah impian yang tidak tertunai dan kesampaian.

Setiap orang mempunyai impian mereka yang tersendiri. Ada pelajar yang telah belajar bersungguh-sungguh, tetapi kenapa keputusan peperiksaannya masih juga tidak cemerlang? Ada orang yang bercita-cita ingin menjadi doktor misalnya tetapi kenapa akhirnya menjadi ustaz? Ada orang yang telah lama menyimpan harapan untuk berkahwin dengan si dia, tetapi kenapa akhir jodohnya Allah datangkan orang yang tidak seperti kehendak di hati?

Perasaan Yang Sama

Saya yakin dan percaya semua orang pernah merasakan perasaan yang sama. Perasaan sedih.  Kecewa. Berduka. Sebuah perasaan yang tidak dapat  diungkapkan dengan kata-kata apabila kita tidak dapat menggapai sesuatu yang selama ini kita impi-impikan. Setelah berhempas pulas kita berusaha namun Allah tidak mengizinkan jua. Sebuah harapan yang mekar tersimpan di dalam hati, namun di saat akhirnya hancur. Lebur. Semangat juga seakan-akan hilang ditiup angin putus asa.

Apakah ia tanda Allah tidak menyayangi? Tidak!
Apakah ia tanda Allah membenci? Tentu sekali tidak!
Apakah Allah tidak mengendahkan doa-doa kita panjatkan? Mustahil!

Lantas, kenapa Allah masih tidak ingin memberi apa kita mahukan itu??

Apa Sebabnya?

Inilah jawapannya. Allah s.w.t berfirman kepada sang hamba:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)

Subhanallah! Ringkas jawapan-Nya, hanyalah 1 ayat. Tetapi sangat mendalam maknanya untuk kita renungi dan hayati.

Indahnya kalam Tuhan. Hati semakin terpujuk. Jiwa yang rawan semakin tenang...

Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Mendengar

Duhai teman!

Bukan kita tidak berusaha. Berhempas pulas sedaya upaya untuk mencapai apa yang kita idam-idamkan. Bukan pula kita tidak berdoa, siang malam kita menadahkan tangan dan Allah sememangnya Maha Mendengar permintaan hati kita. Bukan jua niat kita tidak murni, telah tulus suci kita matlamatkan harapan dan impian itu semata-mata kerana-Nya.

Bukan Dia tidak tahu betapa mengharapnya kita agar impian kita terlaksana. Bukan Dia tidak tahu mengalirnya air mata sedih dan kecewa di saat kita tidak dapat meraih apa yang kita mahukan. Bukan Dia tidak tahu pedihnya hati dan jiwa kita untuk menerima hakikat itu. Dan Maha Suci Allah jauh sekali dari sifat zalim terhadap hamba-hamba-Nya.

Itu Yang Terbaik

Hakikat yang pasti;

‘Sesungguhnya, Allah Maha Tahu apa yang TERBAIK untuk hamba-hambaNya.’

Jika kita merasakan hal yang kita inginkan itu sememangnya sudah baik dan bagus untuk kita, tetapi ALLAH LEBIH TAHU batasan ‘baik’ dan ‘bagus’ itu sekadar mana untuk diri kita. Jika kita merasakan perkara itulah yang terbaik untuk kita, tetapi ALLAH LEBIH TAHU kadar had ‘terbaik’ itu untuk diri kita.

Sesungguhnya pengetahuan kita sebagai hamba cukup terbatas kerana dimensi pengetahuan tersebut hanyalah secara zahir yang kita boleh nampak, tetapi kuasa Agung Pengetahuan-Nya meliputi langit dan bumi, yang zahir mahupun tersembunyi.

Justeru itu, berhentilah berduka, berhentilah merasa kecewa sedang ALLAH telah merencanakan untuk setiap hamba-Nya ‘TAKDIR YANG JAUH LEBIH BAIK DARI YANG KITA SANGKAKAN.’

Terimalah hakikat tersebut walaupun pahit untuk ditelan dengan hati yang terbuka. Lapangkan dada dan jiwa kita. Tiada gunanya terus-terusan kita meratapi perkara itu, ianya akan membuatkan kita semakin rasa terhimpit dengan asakan emosi dan perasaan  yang semakin menyesakkan dada. Pemikiran kita juga akan menjadi sempit, jiwa akan terus berkeluh kesah, bimbangilah jika ia berterusan, kemungkinan besar akan merosakkan iman kita tanpa disedari.

“Allah memberi apa yang kita PERLU, bukan memberi apa yang kita MAHU”

Bimbinglah Hati Melihat Hikmah Ilahi

Duduk dan bertenanglah. Jernihkan fikiran dengan zikrullah. Renung dan muhasabahkan diri. Jangan terlalu difikirkan sebab mengapa kita tidak memperolehnya, tetapi fikirkanlah HIKMAH yang Allah sembunyikan dari kita. Mungkin tika ini kita sememangnya ‘buta’ untuk melihat hikmah tersebut, tetapi yakinlah suatu saat Allah akan ungkapkan jua hikmah itu kepada kita. 

Mungkin suatu hari nanti kita akan bersyukur pula kerana tidak mendapat apa yang kita mahukan itu tetapi Allah telah menggantikan ia dengan yang lain, yang jauh lebih baik dari yang kita sangkakan.

Akhir Kalam, Yakinlah!

Keyakinan pada Allah harus mantap, jangan sesekali goyah berpegang dengan-Nya. Sesungguhnya Allah menguji kesabaran diri. Allah juga menguji keyakinan dan keteguhan iman di hati. Teruslah menyakini tanpa ragu-ragu, nescaya Allah pasti tidak akan mensia-siakan diri kita malah akan semakin meneguhkan kedudukan kita sebagai hamba-Nya yang soleh. 

Dengan rasa pasrah menerima takdiran dari-Nya, percayalah Dia akan memberi cahaya kebahagiaan, disirami dengan rasa ketenangan di dalam jiwa, yang tidak mungkin kita miliki kecuali dengan curahan kasih sayang dari Ilahi di atas sifat redha kita terhadap-Nya...

 “REDHALAH DENGAN KETETAPAN DARI ILAHI, MAKA DIA JUGA AKAN REDHA KEPADAMU...!”

p/s: Hujah dalam artikel ini bukan beerti kita tidak perlu berusaha menggapai impian dengan beralasan takdir Allah lebih baik dari yang kita rancangkan, jangan disalah-fahamkan pemikiran anda. Tetapi penjelasan penulis adalah ingin menerangkan kenapa dan mengapa kita tidak memperoleh apa yang telah kita usahakan itu. Semoga sama-sama kita membuka minda merenungi hikmah yang terselindung dan memujuk hati dalam menerima segala takdiran dari Ilahi…!

~Carilah Hikmah Dalam Setiap Ketentuan Tuhan, Agar Timbul Rasa Kesyukuran dan Keredhaan~





reade more... Résuméabuiyad