Pages

Showing posts with label hikmah. Show all posts
Showing posts with label hikmah. Show all posts

~Segala Yang Terahsia~




Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Selesai sudah pengajian ijazahku.

Menuntut ilmu Usuluddin selama 3 tahun di bumi Insaniah, Allah mengajariku banyak ilmu dan tarbiyahNya tidak pernah lengang menemani.

Termenung sendiri.

Mencari makna di balik semua ‘pentarbiyahan’ ujian yang DIA beri.

Sungguh, untuk mentafsirkan sesuatu hal yang bernama ‘hikmah’, ianya sangat sulit.

Sangat halus, dan sangat sukar untuk dimengertikan dengan kalam.

Bahasa tubuh tidak akan pernah sama dengan bahasa jiwa.

Bahasa tubuh mungkin bisa menipu, bibir tersenyum pahit, tetapi hati jujur menangis pilu.





“Merenung sendiri.
Pada setiap kisah duka yang mengiringi.
Untuk semua hajat yang tidak kesampaian.
Untuk semua doa yang masih belum dimakbulkan.
Untuk semua rasa yang terpendam.
Untuk semua hal yang hilang.

Allah.                                                        
Terasa longlai langkah kaki.
Terasa berat untuk terus melangkah.
Terasa dunia ini sangat duka untukku.
Terasa dunia ini sangat sunyi untukku.
Terasa gelap seketika.

Lalu,
Terduduk bersimpuh di hadapanMu.
Sehingga jiwa hilang di sisi manusia.
Mungkin sahaja ia ‘terbang’ ke sana.
Terbang dengan segala khayalan dan keasyikan syurga.
Membuatkan diri tersenyum duka.

Melihat orang lain mengecapi bahagia,
Sesekali tertanya, adakah bahagia itu untukku?
Atau sahaja ia terus tersimpan dalam rahsiaMu?

Allah.
Bahagiaku ada dalam dakapanMu.
Dakaplah erat-erat hatiku,
Agar ku tidak pernah merasa kehilanganMu…”






Sekarang Allah berikan cuti yang panjang. Bagiku, ia bukan sekadar cuti. 

Tetapi cuti inilah yang akan ku gunakan sebaik mungkin untuk bermuhasabah diri.

Masa luang yang panjang inilah akanku sinarkan hati yang mungkin ada tersirna.

Mencari kekuatan dalam kelemahan.

Mencari kekuatan iman, dalam kedaifan perasaan.

Merenungi di balik semua kejadian, bukan dengan emosi semata yang dibisikkan oleh syaitan, tetapi biarlah bisikan ketenangan yang diilhamkan oleh Tuhan.


“Perjalanan mencari cinta Ilahi pastinya banyak ujian yang akan terus diuji, kerana pada ujian itulah bukti cinta sejati seorang hamba kepada 
Yang Maha Abadi”


Diri harus sentiasa ‘sedar’ akan kenyataan itu.

Ya, kenyataan yang seringkali ku pesankan pada diri.

Bila Allah tidak memberi apa yang kita mahukan, apakah ia tanda Allah benci?

Tidak sesekali duhai jiwa yang beriman pada Tuhan yang Maha Penyayang.

Malah, itulah ‘manifestasi’ dan ‘ungkapan’ kasih sayang Allah pada seseorang insan yang DIA sayang.

DIA senang untuk mendengar luahan jiwa yang sentiasa berkomunikasi denganNya.

DIA senang untuk sentiasa mendengar luahan syahdu dan air mata yang gugur dalam sujud kepadaNya.

DIA senang sekali kita seperti itu.

Kenapa?

Kerana tika itulah jiwa akan ‘dibersihkan’ dengan sinaran iman yang sangat bercahaya.

Kerana tika itulah para malaikat akan senantiasa memayungi insan itu dengan jutaan rahmat.

Dan yang paling agung, kerana tika itulah Allah akan memandang hamba itu dengan pandangan kasih sayang dan penuh keredhaan.

Tidakkah kita mahukan seperti itu?

Allahu Ya Rahman…






Sungguh, daku tidak mungkin sesekali dapat menipu diri sendiri dan kalian.

Betapa rasa hampa dan kecewa kerana di saat akhirnya diri ini tidak dapat jejakkan kaki ke tanah suci Mekah.

Sedih, sehingga mengalirkan air mata.

Kerana jiwa ini juga cuma jiwa insan biasa.

Yang jiwanya terkadang rapuh dan lemah.

Yang jiwanya terkadang buntuh pada air mata.

Kerana air mata yang seringkali menemani, tidak pernah sunyi.

Sehingga diri menjadi ‘pencinta air mata abadi’.

Biarlah air mata ini akan menjadi sumber kekuatan, teman yang menguatkan tika kejatuhan.

Kenapa tidak dapat ke sana?

Panjang cerita andai ingin dihuraikan susur galur ceritanya.

Biarlah jadi rahsia.

Allah masih belum izinkan.

Belum masaku. Belum masaku untuk diundang ke sana.

Malah, ku tidak ingin pergi jika Allah masih tidak ingin menerima kedatanganku.

Sedangkan ku ingin pergi dengan sepenuh hati dan jiwa yang Allah redhai.

Ya. Dalam keadaan DIA teramat senang dan redha menerima kedatanganku.

Itu yang ku damba. Itu yang ku inginkan.

Mungkin, cintaku padaNya belum cukup cinta.

Mungkin, cintaku pada Rasulullah saw belum cukup buktinya.

Mungkin sahaja, imanku yang banyak compang sana sini, yang masih perlu banyak dibaiki dan dibaiki.

Mungkin sahaja aku insan jutaan dosa.

Oh, duhai hati, bersabarlah…




“Hasbunallahu wa nikmal wakil”

(Cukuplah Allah untuk penolong kami dan Dia sebaik-baik pengurus yang terserah kepadaNya segala urusan kami)


Sehingga sahaja di sini.

Sehingga diri bertemu kembali segala kekuatan diri.

Doakanku, teramat hajat doa tulus kalian.

Wassalam wbr.




“Allahurabbi Yang Maha Agung.

Siapa hamba tanpaMu Tuhanku?
Siapalah hamba pada pandanganMu?
Siapalah hamba untuk mentafsirkan semua aturanMu?

Sungguh,

Hamba ingin berjalan mengikut takdirMu yang Maha Halus.
TakdiranMu yang Maha Hebat susunannya daripada susunanku.
Kerana Engkau Maha tahu apa yang terbaik untuk tiap hambaMu.

Untuk setiap hamba,
yang beriman dan berpegang padaMu.

Mana mungkin untuk Engkau mensia-siakan sebegitu sahaja?
Tanpa Engkau mengira semua usaha dan air mata.
Kerana Engkau lagi Maha Teliti dalam pengiraanMu.
Tidak akan pernah sesekali Engkau tersalah dalam aturanMu.




Allahurabbi Ya Karim.

UntukMU segala kemuliaan, segala kekuasaan, segala kesempurnaan.
Untukku segala kehinaan, segala kelemahan, segala kekurangan.
Kerana rahmatMu daku hidup,
Kerana rahmatMu daku pulang kepadaMu.
Maka ku kembalikan segalanya padaMu.

Yang Maha Mengetahui apa yang tersembunyi.
Yang Maha memegang segala khazanah kerahsiaan.
Jika ia tetap rahsia,
Maka rahsiakan ia dari pandanganku.
Jika rahsia itu lebih baik untukku.

Jika ia bisa disingkap, maka singkapkan untukku.
Di satu masa kelak.
Agar semakin bertambah keyakinanku pada janjiMu.
Agar semakin bertambah kecintaanku padaMu.
Agar Engkau sentiasa meredhai kehidupanku…”


:hikmatul islam
:25 Mei 2013
:bersamaan 15 Rejab 1435H

:0120pm


reade more... Résuméabuiyad

Bahagia Dalam Tenang







Tenang.


Tidak semua insan dapat merasakan ketenangan yang hakiki.


Ketenangan yang bersemi datang bertandang di dalam hati. Menyejukkan sebuah naluri dan perasaan yang gundah dan gelisah.


Betapa setiap hari, hidup kita tidak pernah sunyi dari namanya ‘ujian’. Mustahil sahaja andai ada yang berbicara, ‘Saya tidak punya masalah.!’


Masalah itu akan sentiasa setia menjenguk, mengetuk pintu harian kita. Pasti akan ada, selagi mana kita bernafas di atas bumiNya. Selagi mana kita bergelar hambaNya.


Kerana ujian itu mesti, kerana ujian itu perlu. Cuma sahaja, tinggal kita yang mahu menghadapi ujian yang datang itu dengan cara yang bagaimana?


Mahu menangis? Menangislah, ia tidak salah.

Mahu menjerit? Jeritlah, ia tidak salah.


Setiap dari kita punyai cara berbeza dalam berhadapan pada situasi saat diuji. Andai menangis itu bisa menenangkan hati, maka menangislah sepuas hati.


Tetapi, berpadalah. Bukan tangisan yang berpanjangan. Bukan tangisan yang semakin melemahkan iman. Bukan tangisan yang akan mematahkan keyakinan kepada Tuhan.


Tetapi menangislah dalam sujud kepadaNya.

Dalam ratap syahdu memohon maghfirah dan kekuatan dariNya.

Dalam doa penuh pengharapan kepadaNya.






Saat diuji, sungguh kita sukar untuk menenangkan sekeping hati.
Betapa ia bergocak gelisah, resah dan diri kita terdampar di satu sudut yang cukup lemah.


Tidak dinafikan kita terasa kecewa, hampa melilit tangkai sanubari. Tika diuji dan datang pula ujian yang bertimpa-timpa, kita terduduk, kita mengeluh.


Kerana itulah sifat kekurangan yang ada pada setiap hamba. Yang diciptakan tidak sempurna. Yang sempurna itu cuma milik yang Esa.



“Orang yang paling menderita di dunia ini, adalah orang yang hilang ketenangan jiwanya”



Lalu, bagaimana mahu rasa tenang hati?


Bagaimana mahu menenangkan hati yang gundah itu?


Sungguh cukup sukar.


Ketenangan itu tak semua orang berjaya memiliki.

Ketenangan itu tak semua orang dapat merasai.

Kerana ketenangan itu tersembunyi, perlu berusaha mencari.


Maka, ingatlah dalam-dalam sebaris kalamNya yang mengusap jiwa,



“Hanya dengan mengingati Allah, jiwa akan kembali tenang.” (Ar-Rad:28).







Qalbun salim.


Hati yang sejahtera adalah hati yang tenang dalam ingatannya kepada Tuhan.


Hati yang suci itu ada pada kembalinya kita pada Allah.


Ketenangan itu perlu dan disemai dan dibaja. Jika tidak kering kontanglah hati, tanduslah jiwa dari  ‘sejuknya rasa kedamaian’.


Subhanallah…allahuakbar…alhamdulilah…


Zikrullah.


Itulah yang paling tepat untuk kita raih ketenangan hakiki.


Pada fikir itu perlu disulami dengan zikir.


Pada zikiritu akan mengarahkan pemikiran kita menjadi lebih jernih, lebih tenang dalam merenung dan menghayati hikmah di balik setiap ujian yang datang.


Saat diuji, maka cepat-cepatlah kita mencari ubatnya.


Meskipun lukanya terlalu parah, meski diri sudah terlalu lemah namun jangan sekali-kali mengalah.


Jangan mengalah dalam meminta. Jangan berputus asa dalam berdoa.


Bukankah ujian itu datang dariNya?


Pandanglah ia sebagai satu anugerah yang tiada tara, sebagai satu ‘hadiah’ penghapus dosa.


Sebagai satu platform untuk kita meraih cinta dan redhaNya.


Sebagai satu wasilah untuk kita terpilih untuk menjadi salah seorang hamba yang diangkat martabat di sisiNya.


Tidak mahukah kalian?





“Orang beriman selalu punya cara tersendiri untuk menjaga hatinya, meskipun ia berlawanan dengan apa yang dia terima dalam kehidupan.
Saat mendapat musibah, air matanya menitis tetapi hatinya terilham untuk menyakini bahawa apa yang Allah berikan padanya pasti yang terbaik untuknya.
Fizikalnya mungkin lelah, fikirannya mungkin penat, tetapi tidak dengan hatinya yang terus yakin apabila dia diuji oleh Allah itu tanda bahawa Allah sangat kasih dan sayang padanya…”



Didiklah hati dengan dua kalimah hikmat, “SABAR & SYUKUR”.


Tidak semua orang berhasil menemukan sabar. Kerana sabar itu payah, tetapi sangat indah andai kita berjaya meraihnya.


Saat diuji, bersabarlah. Allah SWT mahu memberikan kita pahala yang berganda-ganda di atas kesabaran kita menghadapainya.


Tidak membentak, tidak terus-terus mengeluh, serta yang paling penting tetap istiqamah dalam melakukan ketaatan dan kebaikan, meski saat itu hati kita begitu rapuh dan lemah.


Tetapi kita  tidak sekali-kali meninggalkan Allah SWT. Pastinya, DIA akan menyediakan yang terbaik buat kita.


Yakini dan percayalah, maka ‘buah ketenangan’ akan kita rasai tatkala hati kita terdidik dengan sifat sabar.


“Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah: 153)




(credit luv untuk dear, Ainaasyahira: Syukran na bagi akak "hadiah" termahal nie...
sangat mengesankan hati..! :-)



Juga bersyukur saat dugaan demi dugaan menerjah.


Bagaimana mahu bersyukur?


Ternyata, kebanyakan orang dapat bersabar semasa diduga, tetapi tidak semua mampu untuk bersyukur. Kerana kebanyakan kita hanya bersyukur tika mendapat nikmat semata-mata.


Bersyukur tika ujian melanda, maka itulah suatu sifat yang paling agung untuk dididik dalam sekeping hati hamba.


Seorang ulama’ salaf pernah ditanya, “Apakah erti syukur itu?”


Dia menjawab, “Ertinya: bahawa mata bersyukur dengan menangis kerana takut kepada 
Allah, bukan kerana yang lain.”


Hamba yang bersyukur, pastinya akan berterima kasih kepada Tuhannya, meski apa yang diterima berbalik dari kehendaknya.


Dia masih setia untuk bersyukur, maka itulah bukti seorang hamba yang sangat mencintai Tuhannya kerana dia redha dengan apa yang diberikan oleh kekasih hatinya.



“Dan barangsiapa bersyukur kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah bersyukur untuk dirinya…”(Luqman:12)



Apabila hati berjaya dididik dengan hikmah sabar dan syukur, zikir dan fikir hanya untuk meraih redhaNya, dengan sebenar-benar redha pada setiap ujian yang menimpa maka kita benar-benar akan menjadi insan yang paling tenang dan bahagia.


Marilah kita sama-sama cuba untuk terus mengalirkan aliran ketenangan dalam jiwa, agar sentiasa kekal bersemi mendiami di hati kita.


Agar kembalinya nanti kita kepadaNya, Allah berbangga dengan kesabaran kita, Allah cinta, Allah redha.



"Hai jiwa yang tenang tenteram (muthmainah)! kembalilah kepada Tuhanmu dengan redha dan diredhai! Masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurgaKu..." (Al-Fajr: 27-30)



Insha Allah. Allahumma amin…



“Dengan kemampuan memerangi hawa nafsu menyekat syahwat, mengatasi segala macam kekurangan dan kerendahan jiwa, maka dapatlah jiwa itu dihantarkan kepada kebenaran, kebaikan, keindahan dan kesempurnaan.

Orang yang demikian itu telah mencapai tingkat kebijaksanaan dan memperolehi mutiara ketenangan jiwa. Orang itulah yang diundang dan dipersilakan Allah swt untuk menikmati kebahagiaan hakiki dan abadi” (Mutiara Hikmah)






Tuhan,
sentuh aku dengan cahayaMu,
sirami rinduku dengan kasihMu
berlari ku mengejari cintaMu
berlari daku mencari ketenangan di sisiMu
moga dikurniai
ketenangan abadi..


Meski,
terkadang langkah kaki terpasung
dalam fatamorgana dunia
ampuni bila hamba terleka
berlutut memohon Engkau maafi sang jiwa
dalam mengharungi hidup dunia penuh pencaroba
di dalam kehidupan yang sementara..

Di dalam bisik
di dalam jaga
setia berharap kepadaMu Ilahi
kerna hanya denganMu
aku tenang…


: hikmatul islam         
: 241212
: 0830am

reade more... Résuméabuiyad