Bismillahirrahmanirrahim..
Dengan menyebut nama Agung-Mu Tuhan yang Maha Pemurah, Maha Penyayang..
“Sakit wanis penawar,
penawar bagi malaikat-malaikat dan makhluk-makhluk Allah yang lain mendoakan.
Insha allah, semoga kita sentiasa dekat dengan Allah bila diuji ye adikku…” (K.Danie)
“Salam wanis. Syafakillah…
Semoga ujian yang Allah anugerahkan, terhapus dosa-dosa kecil dan bertambah rahmat pada kehidupanmu sahabat..
Kuatkan semangat, tabahkan hati, semoga diberi kesembuhan untuk terus berbakti kepada Islam. Salam sayang dari kami semua…” (Farhana Imtiyaz)
Mesej yang masuk dalam inbox tatkala ku berada dalam bas, dalam perjalanan pulang ke kampung halaman untuk berubat.
Sakit yang dirasakan semakin berdenyut.
Tatkala membaca mesej ringkas, tapi sangat mengesankan hati.
Air mataku jadi murah.
Sebak dan terharu.
Banyak lagi mesej pesanan dari semua sahabat-sahabat yang lain turut mendoakan, tidak termampu ku catat
di sini semuanya. Tapi ku amat-amat hargai dan bersyukur.
Kerana mereka kirimkan ‘hadiah’ yang paling mahal buatku.
Hadiah doa.
Itulah hadiah yang termahal, buat seorang patient sepertiku saat itu.
Tika tirai Masihi pula yang menguak, ku berjalan masuk ke tahun 2013 dengan ‘hidangan’ ujian dari-Nya.
Hidangan ujian yang berat.
Diuji dan terus diuji.
Itulah suatu perkara yang harus ku syukuri.
Bila ujian dan dugaan datang bertamu, dulu ku didik hati dengan kalimat ‘SABAR’. Tapi kini, kalimat ‘SYUKUR’ pula yang ingin ku semai dan baja. Biar ia ranum di puncak iman.
Kali ini diuji lagi dengan ujian ‘sakit’, yang tidak henti mendampingi diri.
Tidak sekali-kali ku nafikan kesakitan yang ditanggung.
Terlalu perit untuk dilalui pada hari-hari yang berlalu dengan kehadiran ‘sakit’. Membuatkan badanku terlalu longlai dan lemah. Hampir saja ia membunuh semangatku dalam diam.
Namun, bersyukur kerana hati masih berfungsi.
Hati itu masih ingin bertasbih memanggil nama-Nya tanpa henti.
Sehinggakan masa badan tidak mampu berdiri lagi, terdengar bisikan halus di telinga yang datang berpesan,
“Bacalah doa nabi Yunus a.s, insha Allah sakitmu akan hilang” (sohabati)
“Kak, banyakkan baca selawat tafriwjiah ya..” (aina)
Allahu Allah.. Bersyukur namaNya tidak pudar dalam hati…
Apakah tidak boleh mengeluh?
Tidak.
Tidak sesekali ku ingin berkeluh-kesah dengan apa yang telah Allah tetapkan untukku.
Tetapi biarlah yang keluar di bibir cuma mengadu.
‘Mengadu’ dan ‘mengeluh’, dua perkara yang sangat berbeza.
Mengadu, bukan beerti ia sesal.
Mengadu, bukan beerti tidak syukur dan tidak sabar.
Tetapi mengadu, adalah bukti sifat kekerdilan seorang hamba yang hina, yang cuma ingin mengadu dan mengadu pada DIA Yang Maha Esa.
Air mata mengalir, pedih dan perit namun hati tidak jemu diadukan pada DIA yang Maha Mendengar.
DIA Maha Tahu akan rasa sakit itu.
Kerana DIA yang memberikannya, dan DIA juga yang akan menyembuhkan.
Juga hati menyakini dan percaya, Allah tidak pernah bosan mendengar rintihan hamba-Nya malah DIA tersangat rindu untuk mendengarnya.
Sentiasa ada untuk mendengar rintihan hamba-hambaNya.
Malah, Allah lebih suka kita mengadu padaNya berbanding diadukan pada manusia.
"Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian; dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum diuji mereka; kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan redha, maka dia akan beroleh keredhaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan dari Allah."
(Hadis riwayat at-Tarmizi dan Ibn Majah)
(Hadis riwayat at-Tarmizi dan Ibn Majah)
Sakit.
Sentiasa setia menemaniku.
Tatkala tubuh terkaku, mulut seakan bisu, namun hati masih ingin sentiasa bersyukur padaMu Rabbi.
Teringat kembali ungkapan yang pernah ku bisikkan pada diri;
“Ku lebih rela Allah menduga dengan kesakitan daripada kelalaian.!”
Benar, DIA menguji kembali dengan apa yang ku bisikkan.
Diuji dengan sakit daripada lalai, ternyata ‘lalai’ lebih sakit dan derita daripada ujian yang bernama sakit.
Kenapa?
Kerana apabila diuji dengan sakit, kita akan cepat kembali ingat kepadaNya.
Kerana apabila diuji dengan sakit, kita akan menangisi kesakitan lantas air mata yang mengalir akan menjadi kaffarah semua dosa-dosa silam. Pemadam maraknya api neraka.
Kerana apabila diuji dengan sakit, kita akan mudah mengingati kematian daripada kenikmatan.
Kerana apabila diuji dengan sakit, barulah kita sedari bahawa kita hamba yang penuh dengan kelemahan, hanya DIA yang Maha memiliki kekuatan dan kekuasaan yang mutlak.
Kerana apabila diuji dengan sakit, Allah sebenarnya telah memilih insan pilihan yang DIA sayang, ingin mengangkat martabat seorang hamba menjadi manusia yang mulia di sisiNya andai sabar dan syukur dapat ditawan.
Kerana apabila diuji dengan sakit, maka jiwa akan segera mencari Tuhan.
Akan segera bertaqarrub serapat yang mungkin dengan Ar-Rahman.
Subhanallah.!
Terlalu banyak hikmah ‘sakit’ yang Allah anugerahkan, buat hamba pilihan-Nya.
Itulah kata-kata yang iman bisikkan dan teguhkan, tatkala syaitan datang menggoyahkan iman.
Tak sekali-kali ku nafikan, daku insan yang lemah. Rasa memang tidak kuat untuk bertahan.
Tatkala diuji, rasa iman tersangat ‘less’. Andai ia seperti bateri, tercari-cari daku pengecas untuk memenuhkan semula bateri iman.
Bila sakit, ku jadi malu dengan diri sendiri apabila teringatkan kisah Nabi Ayub a.s. Baginda kuat, tabah dan sangat sabar dengan apa yang Allah timpakan kepadanya.
Dugaan yang sangat berat, kehilangan harta benda, anak pinak, saudara mara dan penyakit yang terlalu derita namun masih bersyukur dengan apa yang Allah berikan.
Sedar, diriku bukan nabi. Tetapi Allah datangkan ujian yang berat kepada para Rasul untuk mengingatkan ummat bahawa ujian yang Allah berikan pada ummat sangat kecil berbanding mereka.
Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayub) seorang yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhannya)." (QS. Shad: 44)
(Ya Allah...kurniakan padaku juga kesabaran dan ketabahan yang tiada tara...amin)
Semuanya dengan izin Allah.
Dengan izin-Nya, perlahan-lahan daku mulai sembuh.
Juga berkat solat hajat 3 hari berturut-turut dari family dan semua sahabat-sahabat yang mendoakanku dari jauh.
Alhamdulillah. Bersyukur, sangat bersyukur.
Terima kasih Allah kerana mengurniakanku kesembuhan.
Terima kasih Allah kerana masih memberiku nafas.
Terima kasih Allah kerana masih memberiku cahaya dan petunjukMu.
Terima kasih kerana terlalu menyayangi hamba…
Sungguh, daku ingin sembuh. Sembuh sepenuhnya.
Ingin cepat kembali ke kuliyyah seperti biasa.
Ingin teruskan semula kerja-kerja Islam yang tertangguh.
Ingin terus menggalas amanah dan tanggungjawab yang terpikul di pundak dengan sebaiknya.
Insha Allah, semoga DIA izin…amin.
p/s: “Mungkin ada yang tertanya, apa sakit yang ku derita? Jawabnya, cukuplah Allah yang Maha Mengetahui perihal keadaan hamba yang doif ini… Inna lillahi wainna ilaihi rajiun….”
~masih punyai semangat untuk menulis kerana dengan menulis ku kumpulkan kembali kekuatan yang hilang...juga takut andai tiada lagi kesempatan lain yang diberi kerana mungkin masaku terlalu suntuk.? ALLAH, semoga Engkau redhai~
: hikmatul islam
: 13012013
: 0230 am
No comments:
Post a Comment