“Bagaimana nak redha dengan gerak kerja yang semakin menuntut tahap tadhiyah (pengorbanan) yang cukup tinggi?
Semakin hari keadaan taklifan (tanggungjawab) terhadap amanah yang dipikul dah sampai tahap zero, kosong tetapi terpaksa teruskan demi keberlangsungan gerak kerja.
Adakah keberkatan dalam adab berkerja bersama itu dah hilang? Letih sebab terlalu menjaga perasaan diri sendiri yang sampai tahap redha pada taklifan itu sudah tiada…”
Usai Daurah Kitab ‘50 Akhlak Salafussoleh’ menitikkan noktahnya, secebis kertas kajang itu dia hulurkan pada saya.
“Harap Kak Wanis dapat jawab dan tulis dalam blog ye.”
Saya ambil dan senyum kepadanya, sambil mengatakan Insha Allah, saya akan cuba membalas surat tersebut.
Surat itu saya lipat lalu selitkan dalam buku nota saya.
Kemudian, saya pandang dan tenung wajahnya seketika.
Jelas, terpancar riak wajahnya yang penat.
Saya tahu dia sangat letih.
Bukan setakat fizikalnya, tetapi mental dan rohaninya turut ‘letih’.
Sungguh, saya sangat simpati dengan adik usrah saya seorang nie.
Dia memang terlalu sibuk, terlalu banyak taklifan dan amanah yang harus dia tunaikan. Masa yang dia ada terlalu padat dengan pelbagai gerak kerja yang harus dilaksanakan.
Jika mahu saya sebutkan semua tugasnya, rasanya tak tertulis di kanvas ini.
Namun, dalam diam saya mengagumi kemampuannya yang bagi saya luar biasa, bukan calang-calang orang yang mampu memikul tanggungjawab yang berat sepertimana yang dia pikul.
Tahniah dik, akak bangga sebenarnya dengan adik.
Walaupun seperti adik rasa tidak mampu lagi untuk memikulnya, sebenarnya adik adalah insan pilihan Allah yang hebat.
Subhanallah, sungguh kemampuan dan kelebihan adik miliki sangat istimewa, akak sendiri tidak punyai kekuatan dan kelebihan seperti adik.
Walaupun adik rasa adik dah tak kuat, dah tak mampu nak pikul, rasa lemah, letih dan tak berdaya, akak tak nafikan adik berhak rasa seperti itu.
Sebab kita ini namanya manusia.
Sudah pasti sifat kekurangan itu menjadi milik kita juga.
Oleh itu, ku tulis coretan ini untukmu dan untuk diriku jua.
Duhai serikandi pejuang Allah,
Jika adik rasa lemah, carilah kekuatan dari yang Maha Gagah.
Jika adik rasa sudah buntu, pening dan keliru, pintalah dari yang Maha Hadi, yang memberikan petunjuk dan jalan keluar bagi hambaNya yang beriman.
Mari, duduk dan tenangkan diri adik di sini. Cuba bermonolg sendiri dengan hati kita secara jujur dan telus.
Mari imbau kembali, dari mana kita? Dan ke mana akhirnya hidup kita ini?
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan Jin dan Manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (Az-Zaariyat : 56)
Hidup ini, semua pekerjaan, amal dan tugas yang kita lakukan tidak kira apapun perbuatan kita semuanya harus dilorongkan pada lorong ibadah kepada Allah.
Harus pastikan semuanya berada di dalam zon yang betul.
Zon ibadah lillah.
Tanggungjawab dan amanah yang kita laksanakan itu juga adalah ibadah.Dan, Allah tidak akan memberikan taklifan itu bagi hamba yang tidak mampu, bagi hamba yang doif.
Kerana Allah Maha Bijaksana dalam menilai kemampuan setiap hambaNya.
Cuma sahaja, kita kadang-kadang jadi tak tersedar kan bahawa seluruh hidup kita ini adalah ibadah semata-mata kepada Allah.
Ibadah yang pada masyarakat umumnya mereka memandang pada ibadah secara zahir sahaja, solat di masjid, berzikir, baca al-Quran dan sebagainya.
Sedangkan apapun yang kita buat, belajar, tolong orang, tengok tv, dengar muzik juga termasuk ibadah jika semuanya disandarkan kepada Allah, jika niatnya adalah semata kerana Allah.
Apatah lagi amanah yang kita pikul.
Tidak kira apapun jawatan yang kita semua pegang, jadi Ketua, Timbalan, Setiausaha, Guru hatta pekerjaan sebagai penyapu sampah sekalipun jika kita dapat sentiasa ‘sedar’ bahawa ia adalah ibadah kepada Allah, maka pastinya kita akan sentiasa ingin mengerjakan ia dengan sebaiknya.
Sepertimana kita solat untuk dapatkan redha Allah, maka begitu jugalah dengan tugas dan amanah itu.
Sepertimana ikhlas dan khusyuknya dalam solat menjadi syarat diterima ibadah, maka begitu jugalah kita harus sentiasa pastikan tulusnya niat dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan taklifan yang kita pikul.
“Hidup ini jika kerana manusia dan dunia semata-mata, maka hati kita akan menjadi resah dan gelisah.
Hidup terasa sangat letih dan sempit. Ibarat pengejar bayang-bayang yang tiada kesudahannya.
Namun, jika hidup ini kita sandarkan cuma kerana Allah swt, maka hati kita akan menjadi tenang dan lapang.
Tiada apa yang mampu menggusarkan hati kita kerana dalam hati kita cuma punyai Allah yang paling utama.” (Pak Long Zainal Asri)
Duhai mujahidahku,
Kembalikan semua pekerjaan yang adik lakukan itu KERANA ALLAH SEMATA-MATA.
Jika kita sandarkan ia kerana persatuan, kerana arahan Ketua, kerana ingin menjaga keberlangsungan gerak kerja, kerana kasihan, kerana simpati, kerana manusia, maka kita memang akan terasa sangat-sangat letih.
“Ketahuilah jika kamu merasakan letih dalam berbuat kebaikan, sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan itu akan kekal di sisiNya”
(Saiyyidina Umar Al-Khattab)
Sedangkan istilah ’pengorbanan’ itu hanya untuk perjuangan mencari redha Allah, bukan redha manusia.
Jika kita sebut sahaja istilah ‘berkorban kerana Allah’, maka yang sakit, yang susah, yang perit harus kita lalui. Kerana ianya menuntut pengorbanan dari semua sudut, harta, mental, fizikal, emosi, perasaan bahkan nyawa sekalipun.
Bagaimana untuk kita miliki sebuah hati yang redha?
Sifir mudahnya seperti ini.
“Jika kita mahu Allah redha kepada kita, maka banyak mana hati kita meredhai setiap ujian dan dugaan dariNya?”
Banyak mana hati kita dapat kuat dan bertahan dalam bersabar mengerjakan ibadat kepadaNya?
Banyak mana hati kita dapat kuat dan bersabar menerima segala ujian dan mehnah yang bertimpa-timpa?
Sebanyak mana hati kita mahukan redha Allah, sebanyak itulah juga hati kita mesti redha dengan semua pengorbanan yang sebagai ‘mahar hantaran’ kepada Tuhan.
Sudah menjadi sunnatullah, jiwa setiap hamba pasti tidak akan terlepas dari namanya ujian.
Berbeza diri seseorang, berbeza pula ujian yang dihadapinya.
Dan, harus sentiasa diingatkan dan dipesankan pada diri.
“Besar mana iman kita kepada Allah, maka besar itu jugalah ujian Allah kepada kita”
Kerana apa? Kerana, Allah ingin menilai BUKTI ketulusan dan keikhlasan kita padaNya...
Benar adikku, bercakap memang mudah, bahasa dan tinta bisa dilakar dan dicoretkan dengan sepantas jari menaip di keyboard, tetapi yang membezakan adalah bagaimana iman kita dalam menghadapinya.
Sabarlah dalam mengerjakan ketaatan.
Sabarlah dalam beriman kepada Tuhan.
Kerana jika seseorang itu sabar dalam ketaatan, maka sudah pasti dia akan berada di peringkat tertinggi kesabaran.
Jika ingin menjadi hamba yang taat, seorang pejuang yang berjuang atas jalanNya, seorang mujahid yang berperang fisabilillah, maka kesabaran amat-amat diperlukan.
Jadi, harus bagaimana untuk jadi sabar?
Allah swt telah memberikan garis panduan kepada kita. Firman-Nya:
“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan perintah Tuhan) dengan bersabar dan mengerjakan sembahyang, kerana sesungguhnya Allah menolong orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah: 153)
Sekali lagi, jika kita merasai buntu dan keliru, serta mengalami pelbagai kesukaran di atas jalan perjuangan ini, maka kembalikan semula semuanya pada Allah.
“Orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata : “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatnya, dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahnya. (Al-Baqarah: 156-157)
Begitu juga untuk kita senantiasa pastikan diri kita istiqamah dan kuat. Harus sentiasa ‘update’ selalu hati kita.
Hubungan dan komunikasi kita dengan Allah. Pergantungan dan keyakinan kita pada nusrah Allah.
Semua itu penting untuk pastikan diri kita sentiasa mampu bertenang dan menenangkan emosi perasaan hati yang bergolakdengan pelbagai situasi yang menekan.
“Sesungguhnya hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang” (Ar-Ra’du: 28)
Akhir rumusannya, dari kacamata dan ilmu akak yang masih sangat dangkal, hidup ini akan menjadi sangat indah jika segalanya kita buat kerana Allah.
Maka kita akan sentiasa rasa bersemangat, rasa berlumba-lumba untuk kebaikan, dan rasa sentiasa ingin mencari peluang untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.
Jadikan amanah itu adalah mahar hantaran untuk kita tukar dengan jannahNya.
Kerana kita menyedari, kembali akhirnya nanti kita di sisi Ilahi.
Semoga kembali kita adalah pemergiaan yang terindah.
Yang Allah swt bangga, alu-alukan kedatangan ke syurgaNya berkat kerana segala amal dibuat semata kerana ingin meraih redha Allah.
Insha allah, allahumma amin ya Rabbana...
“Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, sungguh mereka akan kami tempatkan pada tempat-tempat yang tinggi (di dalam syurga), yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, nmereka kekal di dalamnya. Itulah sebaik-baik balasan bagi orang berbuat kebajikan, iaitu orang-orang yang bersabar dan bertawakal kepada Tuhannya” (Al-Ankabut:58-59)
Doaku untukmu...
Semoga,
Apa yang meletihkanmu akan Allah gantikan,
Dengan kerehatan yang berpanjangan di syurga.
Semoga,
Apa yang telah engkau cuba sedaya upaya,
Untuk melaksanakan ketaatan kepadaNya,
Akan dikira dengan teliti walau sebutir zarah,
tetapi sangat tinggi nilaiannya di sisi Allah.
Semoga,
Dengan kita meredhai semua amanah yang diberikanNya,
Moga Allah lebih-lebih lagi meredhai seluruh hidup kita.
Semoga,
Istiqamah tidak pernah luntur dalam kamus perjuangan,
Tetap thabat dalam perjuangan mencari redha Tuhan.
Semoga,
Allah kurniakan bagimu kekuatan luar biasa,
Untuk terus engkau sumbangkan bakti dan jasa,
Untuk dakwah dan ummah seluruhnya.
Semoga,
Tintaku yang secebis ini mampu membuahkan kembali
sebuah hamasah dan tarbiah
untuk sentiasa dekat dengan Allah...
~Untuk semua, adik-adik usrah, adik-adik di fb, teman serta sahabat seperjuangan. Semoga kita semua tetap thabat dan teguh berada di atas jalanNYA sehingga hujung nafas...amin~
: hikmatul islam
: 30032013
: 9030 am