Pages

LAYAKKAH BERGELAR 'SOLEHAH'??





Bisikan-bisikan kaum Hawa….


“Come on la, frenz. Tak payahlah nak tunjuk alim dan solehah sangat... Life is short, make it sweet!”

“Saya jahil tentang ilmu agama, mana mungkinlah saya bisa menjadi sang solehah?”

“Nak suruh saya jadi solehah? Saya bukanlah baik sangat. Banyak dosa dan kesilapan yang telah saya buat dalam sedar atau tidak…saya ni biasa-biasa je. Jauh sangat title solehah tu untuk diri saya...”

“Sukarnya untuk mencari wanita dan calon isteri yang solehah lebih-lebih lagi di akhir zaman nie… Ramai yang terlibat dengan masalah sosial yang kian parah. Nak mencari perempuan yang benar-benar berpegang pada agama dan syariat, memang payah...”






Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca.


Alhamdulillah, segala puji dan puja kita panjatkan kepada Yang Maha Esa kerana dengan limpahan kurnia, hidayah, nikmat Iman dan Islam yang masih dititipkan kepada diri kita sehingga ke saat ini, maka marilah kita menjadi hamba-Nya yang bersyukur dan senantiasa bersyukur…


Pilihan artikel penulis kali ini ingin berkongsi ilmu, idea, pendapat dan pandangan mengenai tajuk yang dipaparkan di atas. Mungkin jika ada para pembaca yang mempunyai pendapat dan pandangan yang berbeza daripada penulis, maka penulis sangat mengalu-alukan segala kritikan dan komentar daripada pembaca. Tafaddal.! Silakan, tidak perlu segan-segan ya... (^^,)


Baiklah. Keluhan dan kalam yang penulis ungkapkan pada ayat pertama di atas bukanlah 
sekadar omongan kosong. Tetapi begitulah hakikatnya. Penulis sendiri tidak nafikan, memang sukar untuk mendapat gelaran terhormat, “Wanita solehah”. Terasa diri masih lagi sangat jauh untuk menggapai title tersebut…


Namun, ia bukanlah ALASAN semata-mata untuk kita tidak berusaha menggapainya kan.? Jom kaum Hawa! Mari kita duduk, renung dan muhasabahkan diri. Meskipun ilmu yang ada di dada penulis masih sangat cetek, namun marilah kita sama-sama berkongsi apa adanya agar dapat mengubah kehidupan kita menjadi lebih baik, luar biasa, bertambah berkat dan bahagia di sisi-Nya. Insya Allah…



Maksud  ‘Wanita Solehah’



Bila mana seorang teman saya dengan tegas menyatakan prinsip hidupnya.;

“Saya cuma nak jadi biasa-biasa je. Tidaklah  terlalu rock dan tak mahu pula terlalu warak. Just be a simple girl!”


Saya tersenyum. Dalam diam, ketawakan diri sendiri. Kerana dulu prinsip saya juga sama dengannya. Tidak jelas dan sangat kabur. Sehinggalah saya menerima tarbiyah demi tarbiyah dari-Nya barulah saya sedari, syurga bukan untuk orang yang mempunyai prinsip rapuh seperti itu. 


Sedarilah. Syurga bukan tempat untuk orang yang inginkan ‘hidup biasa-biasa di dunia sementara ini’.  Syurga hanyalah tempat untuk orang-orang mukmin, solehin dan muttaqin. Maka itulah maksud yang ingin penulis sampaikan dalam entry kali ini.


Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

“Dia memasukkan orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya dan Dia menghapus kesalahan-kesalahan mereka. Dan demikian itu menurut Allah suatu keuntungan yang besar.” (Al-Fath:5)


‘Perempuan mukminah’ itulah yang digelar ‘wanita solehah.’


Terlalu banyak definisi dan erti bagi wanita solehah. Bagi penulis, cukuplah ia dieertikan dalam satu ungkapan yang ringkas, tetapi mempunyai makna yang cukup besar dan mendalam iaitu ;

‘Patuh dan taat kepada semua perintah-Nya serta meninggalkan semua larangan-Nya.’


Ciri-ciri wanita solehah terlalu banyak untuk dikaji. Sesuai dengan firman Allah Ta`ala menyatakan perempuan yang solihat dalam surah An-Nisa: 34, mafhumnya;

“…Maka perempuan-perempuan solehah itu ialah perempuan yang taat kepada ALLAH dan menjaga diri daripada sifat keji ketika (suaminya) tidak ada kerana Allah telah menjaga mereka…”


Selain itu, ciri lain yang disebut dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Sungguh, laki-laki dan perempuan muslim, laki-laki dan perempuan mukmin, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyuk, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut nama ALLAH, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.” ( Al-ahzab:35.)







Penting Sangat Ke Gelaran ‘Wanita Solehah’?



Yelah kan. Penting sangat ke? Pasti ramai yang tertanya-tanya, buat ape la susah-susah nak rebut title nie?


Bagi penulis, penting atau tidak, terpulanglah pada pembaca yang menilainya. Gelaran dan istilah dalam kamus memang banyak, apakah semestinya perlu juga gelaran ‘wanita solehah’?


Baiklah. Mari kita cuba bandingkan. Ambil satu contoh. Jika kita melihat seorang wanita yang sopan santun, menghormati orang tua, berbudi bahasa, bertolak ansur, peramah dan mesra. Tetapi auratnya terbuka, lunak suaranya ketika berbicara, ‘dating’ sini sana, pergaulannya bebas tidak terjaga. Jadi nak kategorikan wanita nie dalam istilah ape?


Bagi penulis, mungkin masih termasuk kategori ‘wanita yang baik’ tapi tidak termasuk kategori ‘wanita solehah.’


Kenapa pula begitu?


Seperti yang penulis bilang, sekali lagi penulis ulang.


Wanita yang solehah itu ‘Patuh dan taat pada perintah-NYA serta meninggalkan segala larangan-Nya’.


Apa mungkinlah bisa menjadi solehah jika hanya setengah perkara yang ditaati dan dituruti tetapi sesetengah perkara lagi melakukan juga larangan-NYA??


Terlalu banyak lagi contoh lain jika mahu disebut satu persatu. Tetapi cukuplah satu contoh itu untuk direnungi dan muhasabahkan diri… (muhasabah ini dilemparkan kepada penulis terutamanya…)


Dan title ‘Wanita mukminat-wanita beriman dan solehah’ ini jugalah yang membezakan wanita Islam dengan wanita kafir. Kenapa? Kerana wanita mukminat itu berpegang teguh dengan akidah yang benar, akidah yang satu iaitu beriman dengan sebenar-benar iman kepada Tuhan Yang MAHA ESA.


Berbeza dengan wanita kafir. Baik macam mana sekalipun peribadi yang mereka tonjolkan, namun tetap tiada nilaian sedikit pun di sisi-Nya lantaran kekufuran mereka kepada ALLAH SWT…


“Duhai muslimat.! Hati-hatilah menjaga iman, 
jangan sampai mensyirikkan Tuhan. 
Jadikan al-Quran dan Sunnah sebagai pegangan, 
pasti jalanmu lurus dibimbing Ar-Rahman…”



Nak Jadi ‘Solehah’ Untuk Siapa?



Cuba berfikir sejenak, kita mahu kejar title terhormat itu untuk apa sebenarnya?

Untuk kemasyhuran dunia?

Untuk kemuliaan di mata manusia?

Atau untuk menjadi wanita setia di mata suami tercinta?


Bukan. Bukan. Bukan.


Semuanya bukan. Jika itu diniatkan untuk bergelar solehah, maka hentikanlah usaha untuk meraih title sang solehah. Sia-sia dan tiada gunanya.


Perbetulkan dan tuluskan niat di hati. Mengejar title ‘wanita solehah’ adalah bermakna kita mengejar REDHA ALLAH. Kerana dalam title tersebut terselit banyak erti dan maksudnya. Menjadi wanita solehah bermakna kita ingin menjadi hamba-NYA yang TERBAIK.


Kita bukan ingin menjadi solehah semata-mata di mata keluarga, suami mahupun masyarakat yang memandang tetapi kita ingin menjadi SOLEHAH di DI HADAPAN ALLAH. Hanya untuk mendambakan kasih, cinta dan redha-Nya yang abadi…




Wanita solehah itu
Di hatinya tersimpan sekeping hati yang gerun kepada azab Allah
Di jiwanya tersembunyi rasa kasih dan cinta yang menggunung kepada Ilahi
Melebihi cintanya kepada sang makhluk dan dirinya sendiri
Dia memahami hakikat diri cuma hamba abdi
Lantas dipautkan seluruh perjalanan hidup mencari REDHA Ya Rabbi…






Contohi Perwatakan Wanita-Wanita Solehah



Saudariku yang dimuliakan Allah sekalian...

Pasti pernah menonton sinetron ‘SOLEHA’ di TV9 kan?

Bagi yang memang setia mengikuti rancangan popular Indonesia itu hingga ke akhir episod, pastilah dapat melihat wajah comel Marshanda yang melakonkan watak Solehah.


Persoalannya, sudah cukup ‘solehah’ kah perwatakan yang ditonjolkan oleh pelakon tersebut?


Saya tinggalkan persoalan itu, terpulang pada pembaca untuk menilai dan memberi jawapannya…


Sememangnya kita sebagai wanita perlukan qudwah hasanah, ‘role model’ untuk  dicontohi dan dijadikan ikutan.  Sejarah Islam sebenarnya melahirkan ratusan personaliti wanita terbilang yang menjadi teladan kepada warga Muslimah dewasa ini.


Mereka adalah wanita contoh yang menempa tinta emas yang mewarnai sejarah kegemilangan dan keunggulan Islam. Sehubungan itu, Baginda Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Ada empat wanita mulia yang juga penghulu segala wanita di dunia; mereka itu ialah Asiah binti Muzahim, isteri Firaun; Maryam binti Imran, ibunda Isa; Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah s.a.w dan Fatimah binti Muhammad, puteri kesayangan Baginda.” (Riwayat Bukhari)


Demikian antara beberapa profil wanita Muslimah contoh yang mewarnai pentas kehidupan dengan ketenangan, kemesraan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat yang boleh kita jadikan ikutan dan teladan. Sesungguhnya, peribadi dan akhlak yang anggun terhasil dari qudwah hasanah yang baik juga.


Oleh itu wahai para wanita, ku seru padamu dan diriku jua. Berlumba-lumbalah untuk menjadi wanita solehah. Tirulah watak-watak serikandi Islam, bukan wanita-wanita barat yang rosak moral dan hilangnya maruah serta harga diri…




semua kaum hawa ada angan-angannya

seperti angan wanita jelitawan yang mahu jadi miss universe.

seperti angan perempuan rupawan mahu jadi puteri raja.

tapi bagi seorang muslimah,

dia akan memilih angan menjadi

“wanita solehah.”




Layakkah Bergelar Solehah?



Tajuk ini sebenarnya berat. Ya, sangat berat untuk diamalkan. Mahu menjadi wanita solehah bukan semudah meninta kalam bicara. Namun, tajuk ini jugalah yang menarik-narik hati penulis untuk mengupasnya. Sudah hampir seminggu lamanya mengkaji untuk menyusun kata. Berkali-kali juga memikirkan apakah mahu menerbitkan artikel ini atau tidak…? Bimbang juga andai ada yang menyindir sinis, apakah diri sudah ‘cukup solehah’ untuk berbicara tentang ‘wanita solehah’?


Maaf....penulis akui diri masih terlalu banyak kelemahan diri... Masih banyak kekurangan yang perlu dibaiki… Masih banyak ibadah yang compang sana sini… Tetapi, biarlah penulis berpegang pada kalimah ‘Perbaikilah dirimu dan dalam masa yang sama serulah orang lain kepada kebaikan’. Maka, marilah kita sama-sama islahkan diri. Perbaiki segala kekurangan kerana kita tiada yang sempurna melainkan DIA, zat yang Maha Agung lagi Maha Sempurna.


Sesungguhnya solehah bukan manusia yang menilai, tetapi ALLAH yang mengukurnya.


Benar, manusia cuma dapat melihat dan menilai melalui mata zahir, tetapi Allah yang Maha Mengetahui zahir dan batin seseorang. Jika semuanya ikhlas kerana-NYA, insya Allah orang di sekeliling juga pasti akan merasai keikhlasan hati dan memandang dengan pandangan ‘husnu zan’, seandainya kita telah berusaha mengikut jalan dan garis panduan yang telah DIA tetapkan dengan berpegang teguh pada kitab dan sunnah-Nya.


Layak atau tidak? Semuanya bergantung pada diri sendiri.


Menjadi wanita solehah juga bukanlah suatu khayalan di tengahari, bukan suatu angan-angan yang dimimpi-mimpi. Jika tiada usaha maka tidak usah mengharapkan bulan jatuh ke riba, serta mengharap-harapkan teruna soleh jika diri masih tidak ingin berubah menjadi solehah… Buat para Adam juga, tidak perlu jadi pungguk rindukan bulan. Jangan sibuk mencari sang solehah jika diri sendiri tidak berusaha menjadi lelaki soleh.

(Sekadar teguran dan peringatan khususnya untuk diri sendiri…)         



Jom! Jadi Wanita Solehah



Junjungan besar Baginda SAW memartabatkan kaum wanita pada kaca mata Islam sebagai perhiasan dunia yang paling indah dan unik. Ini sebagaimana sabda Rasulullah  SAW yang bermaksud:

“Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan yang paling indah ialah wanita yang solehah.” (Riwayat Muslim)


Tidak penulis nafikan, berbicara dan meninta kalam bukan semudah untuk melaksanakan. Kerana wanita senantiasa dikalahkan dengan emosi dan perasaan, yang penulis juga menghadapi keadaan yang sama... Wanita dikurniakan 1 akal  dan 9 nafsu, maka untuk mendidik 9 nafsu itu sememangnya sukar jika tidak kena cara dan tarbiyahnya.


Namun perlu diingatkan juga bahawa kesolehan seseorang tidak datang begitu sahaja. Ia perlu melalui proses mujahadah (melawan hawa nafsu) yang panjang, mengikut kesungguhan masing-masing barulah akan terbina jiwa taqwa. Di sinilah perlunya untuk kita berusaha untuk mengamalkannya, istiqamah, sabar dan kuat menghadapi setiap ujian Tuhan.


Biasakanlah diri dengan dugaan dan kesusahan yang seringkali mendera tangkai hati. Lawanlah hawa nafsumu dan sifatmu yang sentiasa dilemahkan dengan emosi.  Sesungguhnya tujuan Allah mendatangkan kesusahan, keperitan adalah untuk mengikis semua sifat-sifat mazmumah yang bersarang dalam diri.


Sesungguhnya nilai wanita itu bukanlah semata-mata terletak pada ilmu kepandaian, rupa cantik menawan ataupun pada alat persolekan, tetapi dinilai berdasarkan iman dan taqwa yang menghiasi diri dan akhlak mulia yang ditunjukkan. Itulah hakikat yang dikatakan wanita solehah, khususnya wanita mukminah.


Akhir kalam, sambil berusaha untuk berubah ke arah kebaikan marilah kita juga berdoa agar diberi kekuatan, hidayah dan petunjuk serta mempermudahkan jalan mujahadah kita untuk menjadi wanita solehah di hadapan-Nya. Amin ya rabb…






p/s: “Pencarian wanita solehah di TV Al-Hijrah, relevankah? Pendapat pembaca bagaimana? Jika benar sudah memahami kupasan artikel ini, maka pastilah pembaca telah menemukan jawapannya…wallahua’lam..”  (“,)



No comments:

Post a Comment