Pages

Mujahadah Hati









Hembusan angin malam menyapa. Terasa kesejukan seketika. Sebatang tubuh cuba disandarkan di balik dinding putih itu.


Waktu sepertiga malam menjelma. Ya. Masa inilah yang sentiasa ditunggu-tunggu untuk bersamaNya. Untuk meluahkan segala yang terbuku di jiwa.


Diri cuba bermuhasabah. Merenung. Cuba ‘menembusi’ apa yang ada dalam hati.


Kelihatan hati itu kian pudar kejernihannya. Kian kelam dan suram. Kian malap dan gelap.


“Duhai hati,, kenapa hati engkau jadi begini? Di mana sinaranmu? Di mana ketenangan yang ada terisi dahulu?”


Hati kecil merintih-rintih bertanya. Sedangkan hati besar terdiam bisu.


Titik-titik dosa terasa terus menitik memenuhi ruangan hati. sehingga sinaran yang dahulu terang menjadi sirna.


Syaitan pula seakan bertepuk tangan dan bersorak riang tatkala melihat diri semakin lemah berkurangan iman.


Mana jiwa suci dan tenang itu? Tercari-cari tetapi tidak ditemui. Apakah jiwa itu telah hilang? Hati terus tertanya-tanya sendiri.


Ternyata mujahadah menjaga sekeping hati ternyata lebih sukar daripada memikul tanggungjawab dan amanah.


Kerana sekeping hati itu sifatnya berbolak-balik. Tidak pernah ingin tetap.


Benarlah. Andai ia diisi dengan kebaikan dan ketaatan, maka condonglah ia kepada petunjuk Tuhan.
Namun andai ia diisi dengan kelalaian dan kelekaan, maka mudah sahaja ia diresapi dengan kegelapan.


“Hati, kenapa engkau selalu begini? Kenapa engkau sukar sekali setia mencintai Ilahi??”


Astaghfirullah… Astaghfirullah… Astaghfirullah…


(Allah. Allah. Inginkan ‘qalbun salim’…Tuhanku…andai hati ini telah punah, tolong gantikan dengan hati yang baru agar ku sentiasa dapat merasai manisnya cintaMu…)



Zikirku tidak seperti taatnya semesta alam

Terus-menerus bertasbih memujiMu

Zikirku tidak seperti taatnya hidupan lautan

Terus-menerus berzikir menyebut asmaMu

Zikirku tidak seperti makhluk tumbuhan

Yang terus-terusan ingin mengagumiMu

Zikirku tidak seperti taatnya para malaikat

Yang tidak henti-henti menyucikan zatMu

Zikirku zikir yang tempang

Yang qalil (sedikit) sekali mengingatiMu

Yang qalil sekali ingin mengagungMu

setiap detik dan waktu

sentiasa dibelenggu dengan kealpaan dan kelalaianku

Namun begitu…

Ingin zikir ini terus berlagu untukMu

Kerana jiwa sentiasa ingin kembali padaMu

Semoga zikir ini terus beralun rindu untukMu

Hingga hujung waktu…



“Duhai hati! tenang dan sejahteralah dengan sentiasa berzikir mengingati Rabbi… jangan kau khianati cinta Ilahi dengan diganti cinta duniawi… Pulanglah duhai jiwa, kembalilah semula pada Sang Pencipta yang utama…”



p/s: “Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah kepada Allah dengan mengingat (nama-Nya) sebanyak-banyaknya dan bertasbihlah kepadaNya pada waktu pagi dan petang. Dia-lah yang memberi rahmat kepadamu dan para malaikat-Nya memohonkan ampunan untukmu) agar Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman”
(Al-Ahzab:41-43)


~Sungguh, mentaddabburkan ayat-ayat cintaMu membuatkan hatiku yang kering menjadi basah dengan siraman kasihMu Tuhan~



Munajatku:

Ya Rabbi, pada setiap hujung sendu
Engkau tahu
pada setiap luka darah di hati
Engkau tahu
pada setiap sakitnya iman keringnya ruhi
Engkau tahu
Allah…hambamu ini lemah
teramat lemah dan doif
jangan Kau uji hamba
dengan ujian hati yang tidak mampu hamba tempuhi
Tawani hati hamba kembali 
dengan belas cinta kasihMu
Sungguh, hati ini teramat parah ‘merindu’
tatkala diri jauh dariMu…
Ya Rahman,
Sentiasalah pegang hatiku ini hanya untukMu…amin”




 ~Cuma ingin redhaMu~

:hikmatul islam
:0330 am
:06032012

No comments:

Post a Comment