(Ukhuwah Fillah ^^ Ukhuwah Al-Asr)
Bismillahirrahmanirrahim…
Lagi cerita tentang ukhuwah.
Mula-mula ku menulis dalam blog hikmatul islam ini, penuh ku postkan entry berkisar tentang ukhuwah. Pernah merasa manisnya berukhuwah dan pernah jua merasai peritnya berteman.
Terimbau seketika kisah suka duka dengan seorang sahabat rapat. Tersimpan kemas di lipatan memori ingatan. Lalu ku biarkan ia berada di memori itu sejak sekian lama.
Mungkin ku masih terkesan dengan ‘perpisahan’ ukhuwah dari seorang teman teramat akrab denganku itu, kemudian Allah ‘mengambil’ kembali daripadaku.
Hati diserbu seribu rasa, lalu bersatu menjadi satu tatkala mengenang kembali kisah ukhuwah itu. Namun, tidak ingin ku berlama-lama mengingatinya, biarkanlah kisah itu berlalu. Berlalu dengan larian waktu…
Ingin ku tinggalkan memori silam itu kerana memori itu tetap akan tinggal sebagai memori kenangan. Yang pasti teman sentiasa akan datang dan pergi dalam hidup ini.
Akan bertukar silih berganti kerana ukhuwah fillah itu bukan bermaksud ia harus sentiasa di sisi. Tetapi ia dibina kerana Allah, bertemu kerana Allah, dan akan berpisah jua kerana allah.
Masing-masing akan bergerak menuju ke destinasi abadi. Kerana itu, di sepanjang jalan kehidupan Allah mempertemukan kita dengan pelbagai jenis insan sebelum kita sampai kelak ke terminal penghujung kehidupan.
Destinasi masih sama, tetapi hakikatnya kita semua melalui jalan yang berbeza-beza.
(destinasi yang sama: mari menuju jalan ke syurga-Nya!)
Tidak pernah sesekali ku nafikan bahawa ukhuwah fillah itu indah.
Indah seperti apa?
Seperti mentari yang muncul menyinari?
Seperti pelangi yang mewarnai?
Seperti cahaya yang menerangi diri?
Sesungguhnya,
Tiada kalam yang mampu mentafsirkan.
Tiada bahasa yang mampu diungkapkan.
Tiada perkataan tepat yang mampu diluahkan.
Semuanya perlu dirasai sendiri.
Ya. Perlu hati sendiri yang merasai. Merasai manisnya rasa ‘halawatul iman’ dalam berteman. Hanya diberikan untuk orang-orang yang beriman, yang saling berkasih sayang cuma kerana Tuhan.
Ukhuwah fillah. Sepatah kata yang cukup ringkas, tetapi mempunyai maksud yang sangat mendalam.
Dibina kerana Allah. Bertemu kerana Allah, berpisah juga kerana Allah.
Lebih ku sukai untuk namakan ukhuwah fillah ini dengan nama, ‘Ukhuwah Al-Asr’. Dipetik dari surah Al-Asr yang bermaksud:
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu kerugian. Kecuali yang beriman dan beramal soleh, yang saling berpesan kepada kebenaran dan saling berpesan kepada kesabaran.”
Subhanallah…cukup ringkas, cuma tiga ayat tetapi mempunyai maksud yang cukup indah.
Benar, manusia itu rugi, andai dia tidak memanfaatkan waktunya dengan sebaik mungkin. Begitu juga dalam tema ukhuwah, waktu kita bersama dengan teman akan berlalu begitu sahaja andai kita tidak mengindahkan dengan ajakan untuk beriman dan beramal soleh.
Sama-sama ingin memperbaiki dan menegur diri kepada kebaikan, yang sama-sama ingin berpesan kepada kebenaran dan saling berpesan kepada kesabaran. Itulah intipati sebenar ukhuwah fillah. Terisi indah niat yang tulus kerana Allah.
Kerana ia hanya inginkan redhaNya semata-mata. Tidak untuk kepentingan diri. Jauh sekali kerana kepentingan duniawi. Tiada hasad dengki, tiada sengketa dan aniaya. Yang ada hanyalah bahagia berteman dengannya.
Ukhuwah Al-Asr juga membuatkan kita semakin kenal dengan Pencipta. Membuatkan kita semakin menginsafi diri dari fatamorgana dunia. Ingin sama-sama berlumba mengerjakan kebajikan dan menjauhi semua larangan Tuhan.
Sedarilah, teman yang baik menegur bukan kerana membenci, tetapi dia menegur kerana sangat menyayangi diri. Teman yang baik akan benci melihat kejahatan dan keburukan yang kita lakukan, dia tidak tega melihat kita bergelumang dalam lumpur kemaksiatan.
Kerana berdasarkan ukhuwah al-asr itulah dia ingin melihat sahabatnya sentiasa suci dan bersih dari aib, kesilapan dan keburukan, ingin diri sentiasa kembali pulang dan dekat dengan yang Esa. Sungguh-sungguh dia berpesan kepada kebenaran ajaran Islam, dan berpesan-pesan lagi atas kesabaran menghadapi kerenah sesama insan.
Saling menasihatkan. Saling mendoakan. Tanpa jemu tanpa henti. Ikhlas di hati kerana apa? Kerana teman yang soleh ingin kita sama-sama masuk ke syurga. Dia tidak rela dan tidak sanggup melihat kita berjalan menuju kepada neraka.
Beleklah kembali kisah sirah para sahabat Baginda saw yang terdahulu. Mereka sanggup bergadai nyawa dan berkorban apa jua demi sahabat. Kerana keimanan mereka yang teguh, yang saling berkasih sayang untuk meraih cinta dan redha Rabbul Izzati.
Rasulullah saw bersabda:
“Umatku masuk syurga bukanlah kerana banyak solat dan puasa tetapi disebabkan selamatnya hati dan kemurahan jiwa serta kasih sayang kepada sesama muslim”
(Ku kasihi kalian kerana Allah...)
Ukhuwah di alam nyata ternyata sangat indah dan membahagiakan. Memandang wajah sahabat dengan penuh kasih sayang, sudah cukup membuahkan pahala dan mengukuhkan lagi keimanan.
Apatah lagi bertambah uniknya ukhuwah yang Allah pertemukan dalam dunia maya, yang kini tiada sempadan. Jaringan ukhuwah bertambah luas andai teknologi itu dimanfaatkan.
Alhamdulillah, ku bersyukur sekali dengan anugerah ukhuwah yang tiada tara nilaiannya. Allah titipkan daku mengenali teman-teman yang solehah dan muslihah. Tanpa dirancang, tanpa dipinta Allah mempertautkan hati-hati kami di alam maya dan dipertemukan pula di alam nyata.
Mengertilah diri, bahawa kehadiran mereka adalah anugerah yang cukup berharga. Mengajar tentang erti hidup sementara dalam kembara mencari redha yang Maha Esa. Persis mutiara ukhuwah yang bergemerlapan di permata iman.
Hamdan Lillah tsumma Syukru Ilallah. Ku ingin sentiasa bersyukur dan menjadi hamba yang bersyukur. Akhir kata, semoga tinta yang secebis ini bisa menjadi bukti syukurku kepadaMu Rabbi dan menjadi saksi cintaku kepada semua sahabat-sahabatku. Insya allah…
Ya Allah,
tika Kau hadiahkanku sahabat,
kau jadikanlah hatiku bersyukur atas kurniaanMu
kau jadikanlah hatinya berlapang dada menerimaku
kau jadikanlah kami saling menghargai keranaMu
kau jadikanlah kami saling menghargai keranaMu
Ya Rabbi,
tika Kau hadiahkanku sahabat
tika Kau hadiahkanku sahabat
kau jadikanlah sahabatku ini sebagai teman seperjuanganku
saling memikul beban dakwah agamaMu
saling berjuang meninggikan deenMu
menjadi daieyah dan murabbiyah ummah
merawat dan mengislah ummat yg kian lelah
saling berjuang meninggikan deenMu
menjadi daieyah dan murabbiyah ummah
merawat dan mengislah ummat yg kian lelah
Ya Rabbul Izzati,
tika Kau hadiahkanku sahabat,
tika Kau hadiahkanku sahabat,
kau jadikanlah hubungan yang disemai ini atas redhaMu
teguhkannya di atas satu cinta kepadaMu
dilindungi dari hal-hal yang melalaikan dari mengingatiMu
dipagari dari berbuat kemungkaran dan kemaksiatan
saling menasihati kepada kebenaran
saling berpesan dengan kesabaran
sama-sama berlari mengejar redhaMu Ilahi
dipagari dari berbuat kemungkaran dan kemaksiatan
saling menasihati kepada kebenaran
saling berpesan dengan kesabaran
sama-sama berlari mengejar redhaMu Ilahi
Terima kasih Tuhan
kerana mempertemukan daku dengan
insan-insan yang mencintai Al-quran
yang menjadikan As-sunnah sebagai landasan
hanya Engkaulah sandaranku
dalam memelihara mereka
yang menjadi kekuatan dalam madrasah kehidupanku ini
Ya Allah
bahagiakanlah hatiku
dan seluruh sahabatku dengan cinta kepadaMu..!
((Dedikasi special untuk :))
sahabat alam nyata: aishah, aya, yah, yusra, k.syah, k.nurul, k.suzi, k.tiemah, ainaasyahira, anne , ain, tie, asilah, amnah, cikine, sofia.
~terima kasih kerana sentiasa berada di sisi ini yang selalu mengajarku erti sebuah senyuman kebahagiaan~ =)
sahabat alam maya: ukhti Reidha Hayati, Shy mushah, Fara Rusli, Aisha Rash, Nur Amira Aqila, Safa Marwah, ukhti Al-Hijrah Solehah, Syafiqah Rahmat, Mahu Berubah, ukhti Dr. Siti Rahayu dan Dr. Aini.
~ku bertuah mengenali kalian umpama kerlipan bintang di tengah malam, datang menyinari hati yang kelam~ ^^,
murabbiah: kak nik, k.eijah dan k.erni
~kalian pendidik terbaik buat diri ini untukku terus kuat berada di atas landasan perjuangan, syukran ukhti atas segalanya~ :')
* Juga untuk semua sahabat-sahabat yang mengenali diri ini: rakan-rakan fb, ahli bait barokah, adik-adik usrah dan teman-teman seperjuangan. Tak tersebut nama semuanya.. Sungguh, ku bersyukur padaMu ya Tuhan atas anugerah nikmatMu. Doaku satu, semoga dihimpunkan kami semua kelak di dalam syurgaMu…amin *
~Cuma ingin redhaMu~
: hikmatul-islam
: 26052012
: 0800pm
No comments:
Post a Comment