Pages

Bahagia Dalam Tenang







Tenang.


Tidak semua insan dapat merasakan ketenangan yang hakiki.


Ketenangan yang bersemi datang bertandang di dalam hati. Menyejukkan sebuah naluri dan perasaan yang gundah dan gelisah.


Betapa setiap hari, hidup kita tidak pernah sunyi dari namanya ‘ujian’. Mustahil sahaja andai ada yang berbicara, ‘Saya tidak punya masalah.!’


Masalah itu akan sentiasa setia menjenguk, mengetuk pintu harian kita. Pasti akan ada, selagi mana kita bernafas di atas bumiNya. Selagi mana kita bergelar hambaNya.


Kerana ujian itu mesti, kerana ujian itu perlu. Cuma sahaja, tinggal kita yang mahu menghadapi ujian yang datang itu dengan cara yang bagaimana?


Mahu menangis? Menangislah, ia tidak salah.

Mahu menjerit? Jeritlah, ia tidak salah.


Setiap dari kita punyai cara berbeza dalam berhadapan pada situasi saat diuji. Andai menangis itu bisa menenangkan hati, maka menangislah sepuas hati.


Tetapi, berpadalah. Bukan tangisan yang berpanjangan. Bukan tangisan yang semakin melemahkan iman. Bukan tangisan yang akan mematahkan keyakinan kepada Tuhan.


Tetapi menangislah dalam sujud kepadaNya.

Dalam ratap syahdu memohon maghfirah dan kekuatan dariNya.

Dalam doa penuh pengharapan kepadaNya.






Saat diuji, sungguh kita sukar untuk menenangkan sekeping hati.
Betapa ia bergocak gelisah, resah dan diri kita terdampar di satu sudut yang cukup lemah.


Tidak dinafikan kita terasa kecewa, hampa melilit tangkai sanubari. Tika diuji dan datang pula ujian yang bertimpa-timpa, kita terduduk, kita mengeluh.


Kerana itulah sifat kekurangan yang ada pada setiap hamba. Yang diciptakan tidak sempurna. Yang sempurna itu cuma milik yang Esa.



“Orang yang paling menderita di dunia ini, adalah orang yang hilang ketenangan jiwanya”



Lalu, bagaimana mahu rasa tenang hati?


Bagaimana mahu menenangkan hati yang gundah itu?


Sungguh cukup sukar.


Ketenangan itu tak semua orang berjaya memiliki.

Ketenangan itu tak semua orang dapat merasai.

Kerana ketenangan itu tersembunyi, perlu berusaha mencari.


Maka, ingatlah dalam-dalam sebaris kalamNya yang mengusap jiwa,



“Hanya dengan mengingati Allah, jiwa akan kembali tenang.” (Ar-Rad:28).







Qalbun salim.


Hati yang sejahtera adalah hati yang tenang dalam ingatannya kepada Tuhan.


Hati yang suci itu ada pada kembalinya kita pada Allah.


Ketenangan itu perlu dan disemai dan dibaja. Jika tidak kering kontanglah hati, tanduslah jiwa dari  ‘sejuknya rasa kedamaian’.


Subhanallah…allahuakbar…alhamdulilah…


Zikrullah.


Itulah yang paling tepat untuk kita raih ketenangan hakiki.


Pada fikir itu perlu disulami dengan zikir.


Pada zikiritu akan mengarahkan pemikiran kita menjadi lebih jernih, lebih tenang dalam merenung dan menghayati hikmah di balik setiap ujian yang datang.


Saat diuji, maka cepat-cepatlah kita mencari ubatnya.


Meskipun lukanya terlalu parah, meski diri sudah terlalu lemah namun jangan sekali-kali mengalah.


Jangan mengalah dalam meminta. Jangan berputus asa dalam berdoa.


Bukankah ujian itu datang dariNya?


Pandanglah ia sebagai satu anugerah yang tiada tara, sebagai satu ‘hadiah’ penghapus dosa.


Sebagai satu platform untuk kita meraih cinta dan redhaNya.


Sebagai satu wasilah untuk kita terpilih untuk menjadi salah seorang hamba yang diangkat martabat di sisiNya.


Tidak mahukah kalian?





Orang beriman selalu punya cara tersendiri untuk menjaga hatinya, meskipun ia berlawanan dengan apa yang dia terima dalam kehidupan.
Saat mendapat musibah, air matanya menitis tetapi hatinya terilham untuk menyakini bahawa apa yang Allah berikan padanya pasti yang terbaik untuknya.
Fizikalnya mungkin lelah, fikirannya mungkin penat, tetapi tidak dengan hatinya yang terus yakin apabila dia diuji oleh Allah itu tanda bahawa Allah sangat kasih dan sayang padanya…”



Didiklah hati dengan dua kalimah hikmat, “SABAR & SYUKUR”.


Tidak semua orang berhasil menemukan sabar. Kerana sabar itu payah, tetapi sangat indah andai kita berjaya meraihnya.


Saat diuji, bersabarlah. Allah SWT mahu memberikan kita pahala yang berganda-ganda di atas kesabaran kita menghadapainya.


Tidak membentak, tidak terus-terus mengeluh, serta yang paling penting tetap istiqamah dalam melakukan ketaatan dan kebaikan, meski saat itu hati kita begitu rapuh dan lemah.


Tetapi kita  tidak sekali-kali meninggalkan Allah SWT. Pastinya, DIA akan menyediakan yang terbaik buat kita.


Yakini dan percayalah, maka ‘buah ketenangan’ akan kita rasai tatkala hati kita terdidik dengan sifat sabar.


“Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah: 153)




(credit luv untuk dear, Ainaasyahira: Syukran na bagi akak "hadiah" termahal nie...
sangat mengesankan hati..! :-)



Juga bersyukur saat dugaan demi dugaan menerjah.


Bagaimana mahu bersyukur?


Ternyata, kebanyakan orang dapat bersabar semasa diduga, tetapi tidak semua mampu untuk bersyukur. Kerana kebanyakan kita hanya bersyukur tika mendapat nikmat semata-mata.


Bersyukur tika ujian melanda, maka itulah suatu sifat yang paling agung untuk dididik dalam sekeping hati hamba.


Seorang ulama’ salaf pernah ditanya, “Apakah erti syukur itu?”


Dia menjawab, “Ertinya: bahawa mata bersyukur dengan menangis kerana takut kepada 
Allah, bukan kerana yang lain.”


Hamba yang bersyukur, pastinya akan berterima kasih kepada Tuhannya, meski apa yang diterima berbalik dari kehendaknya.


Dia masih setia untuk bersyukur, maka itulah bukti seorang hamba yang sangat mencintai Tuhannya kerana dia redha dengan apa yang diberikan oleh kekasih hatinya.



“Dan barangsiapa bersyukur kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah bersyukur untuk dirinya…”(Luqman:12)



Apabila hati berjaya dididik dengan hikmah sabar dan syukur, zikir dan fikir hanya untuk meraih redhaNya, dengan sebenar-benar redha pada setiap ujian yang menimpa maka kita benar-benar akan menjadi insan yang paling tenang dan bahagia.


Marilah kita sama-sama cuba untuk terus mengalirkan aliran ketenangan dalam jiwa, agar sentiasa kekal bersemi mendiami di hati kita.


Agar kembalinya nanti kita kepadaNya, Allah berbangga dengan kesabaran kita, Allah cinta, Allah redha.



"Hai jiwa yang tenang tenteram (muthmainah)! kembalilah kepada Tuhanmu dengan redha dan diredhai! Masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurgaKu..." (Al-Fajr: 27-30)



Insha Allah. Allahumma amin…



“Dengan kemampuan memerangi hawa nafsu menyekat syahwat, mengatasi segala macam kekurangan dan kerendahan jiwa, maka dapatlah jiwa itu dihantarkan kepada kebenaran, kebaikan, keindahan dan kesempurnaan.

Orang yang demikian itu telah mencapai tingkat kebijaksanaan dan memperolehi mutiara ketenangan jiwa. Orang itulah yang diundang dan dipersilakan Allah swt untuk menikmati kebahagiaan hakiki dan abadi” (Mutiara Hikmah)






Tuhan,
sentuh aku dengan cahayaMu,
sirami rinduku dengan kasihMu
berlari ku mengejari cintaMu
berlari daku mencari ketenangan di sisiMu
moga dikurniai
ketenangan abadi..


Meski,
terkadang langkah kaki terpasung
dalam fatamorgana dunia
ampuni bila hamba terleka
berlutut memohon Engkau maafi sang jiwa
dalam mengharungi hidup dunia penuh pencaroba
di dalam kehidupan yang sementara..

Di dalam bisik
di dalam jaga
setia berharap kepadaMu Ilahi
kerna hanya denganMu
aku tenang…


: hikmatul islam         
: 241212
: 0830am

reade more... Résuméabuiyad

Ketika Cinta Bertasbih: Terus bertasbih kepadaNya







“Jodoh adalah rahsia Allah, yang tidak dapat terungkapkan dengan sebuah kata-kata tetapi mampu diubah dengan usaha dan doa dengan izin dari-Nya...”



Salam mukadimmah perihal jodoh.

Mungkin ia dapat menjadi sedikit definisi bagi jodoh.

Jodoh.

Sepatah perkataan yang selalu benar disebut tetapi mempunyai sebuah rahsia besar yang tersirat di dalamnya.

Sepertimana manusia. Tiada siapa yang mampu membaca apa yang tersirat di hati seorang insan.

Apa yang tersembunyi di balik rasa hatinya, cuma Allah swt yang mengetahui segala rahsia qalbu manusia.

Jodoh itu misteri.

Soal jodoh adalah rahsia Allah, perkara ghaib yang tidak siapa boleh singkapkan dengan siapa kita akan bertemu dan dijodohkan?

Semuanya, Allah swt yang pegang.

Allah yang Maha Bijaksana mengaturkan.

DIA Maha Teliti, tidak mungkin akan tersilap atau tersalah pasangan.

Pada setiap hati manusia yang merasai semua rasa, ALLAH-lah yang paling utama memegangnya. Bisa menetapkan, atau membolak-balikkan hati  setiap insan.





Berbicara soal hati, sungguh amat aneh sekali.

Betapa peliknya anugerah rasa dan perasaan yang bernama ‘cinta’ Allah titipkan dalam setiap relung hati hamba-hambaNya.

Dengan cinta itulah, insan yang bernama Adam dan Hawa menyatu.

Kerana dengan cinta itu jualah, membuatkan insan kenal erti cinta sebenarnya kepada Yang Maha Satu.

Cinta sesama insan yang Allah berikan, itulah cinta yang akan membawa manusia kepada cinta Allah. Lebih mengenali akan Pencipta Cinta yang sebenarnya.

Andai cinta yang tumbuh itu membuatkan semakin jauh dari Allah, maka itu BUKAN NAMANYA CINTA.

Andai cinta yang mekar itu membuatkan semakin jauh dan tersesat dalam nafsu khayalan, maka itu BUKAN NAMANYA CINTA.

Kerana hakikat cinta itu suci, akan membuatkan kita semakin kita rapat dan dekat kepadaNya.

Semakin mencintai di atas ikatan yang halal atas nama ALLAH, semakin kita merasakan cinta Allah yang paling Agung dan indah.


Cubalah menghayati kata-kata Hilal Asyraf tentang erti cinta;


“Cinta itu adalah mahu membawa dia bersama hingga ke syurga. 

Selain itu, bukan namanya cinta.”






Ku termenung panjang memikirkan kisahku.

Tidak tahu apakah ia cuma kisah dongengan dahulu kala atau fantasi di alam mimpi semata?

Sungguh, Allah memberikan pelbagai macam ujian dan dugaan sepanjang tempoh penantian ini.

Sehinggakan sampai suatu saat, dalam sebak ku katakan padanya;

“Akhi, berputus asa-lah terhadapku…”

kerana ku tidak sanggup melihat dia terus terseksa lagi dalam penantian ini.

Namun, dengan tenang dia menjawab;

“Semakin susah, semakin indah. Semakin sukar, semakin manis rasanya. Kerana untuk mendapatkan yang berharga dan bernilai memang perlu banyak pengorbanan. Dan ana, tidak akan sesekali berputus asa kepadaNya…Ana akan tetapkan hati, walau apapun yang terjadi..”



Allahu Allah…

Tidak termampu kata untuk ku ungkapkan pada dirinya.

Sedangkan diri ku sendiri terasa sudah tidak mampu untuk menanggung semua rasa yang ada.

Benar, ku tidak tahu apakah sebenarnya yang ingin Allah aturkan pada diriku dan dirinya?

Apakah penantian ini cuma ujian di pertengahan perjalanan dalam pencarian cintaku padaNya?

Atau sekadar melihat tahap ukuran keimanan?

Sungguh, ku tidak tahu…

Kadang buntu, kadang bingung memikirkan hal ini.

Namun akhirnya, pada Allah jua ku berserah segalanya.

Kerana itu, setiap lewat sujudku, ku pohon kemudahan dalam urusan ini..


“Ya Allah, andai benar dia adalah jodohku, maka permudahkanlah urusan ini.

Andai ini ujian dan dugaan yang ingin Engkau berikan kepada kami, maka perkuatkan iman kami agar tidak runtuh dan rapuh dalam meniti setiap detik mencari redhaMu…

Andai daku bukan tercipta untuknya, maka sisihlah rasa yang ada dalam hati-hati ini agar kami tidak akan jauh tersasar dari arah jalanMu…

Gantilah bidadari dunia yang jauh lebih baik dariku untuk dirinya..

Andai benar dia untukku, maka satukanlah kami dalam rahmat kasihMu Tuhan…

Ya rabbi, ku berserah diri padaMu.

Hidup dan matiku hanya untukMu.

Maka tentukanlah pasangan yang terbaik untukku bawa cintaku sampai kepadaMu…
Allahumma amin”







Sungguh, tidak semudah kata untuk meraih redha Allah.

Semoga diri akan terus bermujahadah, tidak sesekali berputus asa akan rahmat Allah, meskipun seluruh dunia seolah sudah berputus asa dan menyeru untuk berputus asa.

Mungkin, ku sudah berputus asa dengan semua yang ada di dunia ini.

Mungkin, ku sudah berputus asa setelah orang sekeliling juga telah berputus asa.

Tapi, mana mungkin untukku berputus asa dengan rahmatNya?

Bukankah rahmat Allah itu Maha Luas?

Ku menantikan huluran jawapan cinta dariNya,

dalam untaian tasbih doa, tanpa rasa jemu dan putus asa...


“Kerana ku tahu, DIA yang menitipkan semua rasa ini.

Dengan rasa yang Allah titipkan teguh-teguh dalam hatiku,

Dalam sujud panjang istikharah cintaku,

sering membuatkan air mataku tumpah keharuan…

Terus bertitisan dalam lewat sujud padaNya

Terus berguguran dalam takut dan harap kepadaNya

Kerana daku cuma insan faqir yang seringkali mengemis cinta dariNya

Yang tidak akan jemu meminta-minta dari Dia Yang Maha ESA

Kerana ku yakini dan percaya

DIA akan memberikan keindahan bila sampai saat waktunya…”



p/s: Ketika cintamu bertasbih, teruslah bertasbih kepadaNya. Teruslah meminta dan berharap, cuma kepada yang Maha Esa yang Maha Mendengar setiap permintaan hamba-hambaNya. Sesungguhnya jangan dibiarkan cinta insani melebihi cinta Ilahi, tetapi milikilah cinta insani untuk kita raih cintaNya yang abadi...!



"Hanya keikhlasan cinta jadi penawar
Sekalipun diriku lemah di mata insan
Hanya Engkau yg maha mengerti 
indahnya cintaku ini.."

~Warkah Cinta Berbau Syurga~


: hikmatul islam         
: 20 muharram 1434H
: 1130 pm

reade more... Résuméabuiyad