Pages

Ketika Cinta Bertasbih: Terus bertasbih kepadaNya







“Jodoh adalah rahsia Allah, yang tidak dapat terungkapkan dengan sebuah kata-kata tetapi mampu diubah dengan usaha dan doa dengan izin dari-Nya...”



Salam mukadimmah perihal jodoh.

Mungkin ia dapat menjadi sedikit definisi bagi jodoh.

Jodoh.

Sepatah perkataan yang selalu benar disebut tetapi mempunyai sebuah rahsia besar yang tersirat di dalamnya.

Sepertimana manusia. Tiada siapa yang mampu membaca apa yang tersirat di hati seorang insan.

Apa yang tersembunyi di balik rasa hatinya, cuma Allah swt yang mengetahui segala rahsia qalbu manusia.

Jodoh itu misteri.

Soal jodoh adalah rahsia Allah, perkara ghaib yang tidak siapa boleh singkapkan dengan siapa kita akan bertemu dan dijodohkan?

Semuanya, Allah swt yang pegang.

Allah yang Maha Bijaksana mengaturkan.

DIA Maha Teliti, tidak mungkin akan tersilap atau tersalah pasangan.

Pada setiap hati manusia yang merasai semua rasa, ALLAH-lah yang paling utama memegangnya. Bisa menetapkan, atau membolak-balikkan hati  setiap insan.





Berbicara soal hati, sungguh amat aneh sekali.

Betapa peliknya anugerah rasa dan perasaan yang bernama ‘cinta’ Allah titipkan dalam setiap relung hati hamba-hambaNya.

Dengan cinta itulah, insan yang bernama Adam dan Hawa menyatu.

Kerana dengan cinta itu jualah, membuatkan insan kenal erti cinta sebenarnya kepada Yang Maha Satu.

Cinta sesama insan yang Allah berikan, itulah cinta yang akan membawa manusia kepada cinta Allah. Lebih mengenali akan Pencipta Cinta yang sebenarnya.

Andai cinta yang tumbuh itu membuatkan semakin jauh dari Allah, maka itu BUKAN NAMANYA CINTA.

Andai cinta yang mekar itu membuatkan semakin jauh dan tersesat dalam nafsu khayalan, maka itu BUKAN NAMANYA CINTA.

Kerana hakikat cinta itu suci, akan membuatkan kita semakin kita rapat dan dekat kepadaNya.

Semakin mencintai di atas ikatan yang halal atas nama ALLAH, semakin kita merasakan cinta Allah yang paling Agung dan indah.


Cubalah menghayati kata-kata Hilal Asyraf tentang erti cinta;


“Cinta itu adalah mahu membawa dia bersama hingga ke syurga. 

Selain itu, bukan namanya cinta.”






Ku termenung panjang memikirkan kisahku.

Tidak tahu apakah ia cuma kisah dongengan dahulu kala atau fantasi di alam mimpi semata?

Sungguh, Allah memberikan pelbagai macam ujian dan dugaan sepanjang tempoh penantian ini.

Sehinggakan sampai suatu saat, dalam sebak ku katakan padanya;

“Akhi, berputus asa-lah terhadapku…”

kerana ku tidak sanggup melihat dia terus terseksa lagi dalam penantian ini.

Namun, dengan tenang dia menjawab;

“Semakin susah, semakin indah. Semakin sukar, semakin manis rasanya. Kerana untuk mendapatkan yang berharga dan bernilai memang perlu banyak pengorbanan. Dan ana, tidak akan sesekali berputus asa kepadaNya…Ana akan tetapkan hati, walau apapun yang terjadi..”



Allahu Allah…

Tidak termampu kata untuk ku ungkapkan pada dirinya.

Sedangkan diri ku sendiri terasa sudah tidak mampu untuk menanggung semua rasa yang ada.

Benar, ku tidak tahu apakah sebenarnya yang ingin Allah aturkan pada diriku dan dirinya?

Apakah penantian ini cuma ujian di pertengahan perjalanan dalam pencarian cintaku padaNya?

Atau sekadar melihat tahap ukuran keimanan?

Sungguh, ku tidak tahu…

Kadang buntu, kadang bingung memikirkan hal ini.

Namun akhirnya, pada Allah jua ku berserah segalanya.

Kerana itu, setiap lewat sujudku, ku pohon kemudahan dalam urusan ini..


“Ya Allah, andai benar dia adalah jodohku, maka permudahkanlah urusan ini.

Andai ini ujian dan dugaan yang ingin Engkau berikan kepada kami, maka perkuatkan iman kami agar tidak runtuh dan rapuh dalam meniti setiap detik mencari redhaMu…

Andai daku bukan tercipta untuknya, maka sisihlah rasa yang ada dalam hati-hati ini agar kami tidak akan jauh tersasar dari arah jalanMu…

Gantilah bidadari dunia yang jauh lebih baik dariku untuk dirinya..

Andai benar dia untukku, maka satukanlah kami dalam rahmat kasihMu Tuhan…

Ya rabbi, ku berserah diri padaMu.

Hidup dan matiku hanya untukMu.

Maka tentukanlah pasangan yang terbaik untukku bawa cintaku sampai kepadaMu…
Allahumma amin”







Sungguh, tidak semudah kata untuk meraih redha Allah.

Semoga diri akan terus bermujahadah, tidak sesekali berputus asa akan rahmat Allah, meskipun seluruh dunia seolah sudah berputus asa dan menyeru untuk berputus asa.

Mungkin, ku sudah berputus asa dengan semua yang ada di dunia ini.

Mungkin, ku sudah berputus asa setelah orang sekeliling juga telah berputus asa.

Tapi, mana mungkin untukku berputus asa dengan rahmatNya?

Bukankah rahmat Allah itu Maha Luas?

Ku menantikan huluran jawapan cinta dariNya,

dalam untaian tasbih doa, tanpa rasa jemu dan putus asa...


“Kerana ku tahu, DIA yang menitipkan semua rasa ini.

Dengan rasa yang Allah titipkan teguh-teguh dalam hatiku,

Dalam sujud panjang istikharah cintaku,

sering membuatkan air mataku tumpah keharuan…

Terus bertitisan dalam lewat sujud padaNya

Terus berguguran dalam takut dan harap kepadaNya

Kerana daku cuma insan faqir yang seringkali mengemis cinta dariNya

Yang tidak akan jemu meminta-minta dari Dia Yang Maha ESA

Kerana ku yakini dan percaya

DIA akan memberikan keindahan bila sampai saat waktunya…”



p/s: Ketika cintamu bertasbih, teruslah bertasbih kepadaNya. Teruslah meminta dan berharap, cuma kepada yang Maha Esa yang Maha Mendengar setiap permintaan hamba-hambaNya. Sesungguhnya jangan dibiarkan cinta insani melebihi cinta Ilahi, tetapi milikilah cinta insani untuk kita raih cintaNya yang abadi...!



"Hanya keikhlasan cinta jadi penawar
Sekalipun diriku lemah di mata insan
Hanya Engkau yg maha mengerti 
indahnya cintaku ini.."

~Warkah Cinta Berbau Syurga~


: hikmatul islam         
: 20 muharram 1434H
: 1130 pm

No comments:

Post a Comment