Bila mana diri dihujani deraian ujian tanpa henti, terkadang ku jadi lemas dengan emosi sendiri.
Duduk termenung panjang di situ.
Di balik hati.
Mencuba untuk merungkaikan kalimah hikmah di sebalik setiap kejadian, agar hati mampu meraih kunci sabar dan redha.
Sabar dan redha.
Sabar, mudah sahaja untuk diungkapkan dengan sepatah perkataan, tetapi tersirat seribu pengertian. Menagih seribu mujahadah dan pasrah.
Akal berfikir lagi, mungkinkah diri masih tidak cukup redha menerima segala ketentuanNya?
Tidak.! Hati kecil cuba untuk menafikan.
Meskipun hati kecil sejujurnya sedih, menangis pilu dan hiba, terluka dan terasa namun, hati itu cuba sedaya upaya dipesan agar sabar dan redha menerima segala ujianNya.
Akal menyoal lagi,
“Kenapa harus diuji dengan perkara yang sama??”
Pertanyaan itu seakan berdengung, berulang dan terus berulang, akal berusaha mencari rasional dan titik keseimbangan.
Menyoal seperti itu, bukan beerti hati memberontak dan membenci segala takdiran Ilahi, tidak sama sekali.
Apa jua persoalan yang cuba dilontarkan, jiwa sentiasa ingin berbaik-baik sangka denganNya, itu diletakkan di atas garisan yang pertama.
Cuma, soalan itu berdengung-dengung sendiri, cuba untuk merungkaikan persoalan dengan mencari sebuah erti jawapan.
Cuba untuk mencari hikmah yang tersembunyi di balik ujian yang sama mendatang.
Berat.
Bahu seakan memikul beban yang cukup berat, sehinggakan diri hampir terduduk.
Malah, rasa tiada daya lagi untuk bangun.
Lemah.
Longlai segala rasa di jiwa.
Menujahkan tekanan pada sebuah atma rasa.
Kadang juga menjadi buntu dan bingung, dek kerana terlalu ingin mencari apa makna di sebalik semua ini??
Lalu diri yang terduduk tadi cuba menyungkur sujud, kerana itulah sebaik-baik tempat kembali.
Menyembamkan muka padaNya, dengan titis jernih yang tidak putus-putus menemani.
Merintih-rintih sebuah jiwa, hati cuba berbisik bertanya kepada Ilahi.
Benarkah takdir berakhir seperti ini?
Diri sememangnya mencari.
Mencari sebuah jawapan kepada persoalan ujian yang menyakitkan.
Kerana inginkan maqam itu.
Maqam redha.
Bagaimana hati ingin benar-benar redha, andai persoalan itu masih terngiang-ngiang menyoalkan?
Perlahan-lahan hati dibasahkan dengan siraman zikir.
Agar fikir itu selari dengan zikir. Agar zikir itu mampu memimpin ke arah fikir yang positif dan rasional.
Jiwa itu, perlu dididik. Mesti.
Meskipun diri sudah berkali-kali mendidik.
Tetapi tidak penah sama didikan pada hati dan diri. Dua tempat yang berlainan.
Di hati itu yang menguasai segalanya. Dialah raja bagi mengawal diri.
Tersangat ingin memiliki sekeping hati yang suci, bersih dari segala tohmahan dosa yang mengelilingi.
Sehinggalah...
Persoalan yang ditanya-tanya itu terjawab.
Kalimah agung itu menegur.
“Maha suci ALLAH yang menguasai (segala) kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.”
“Yang menciptakan mati dan hidup, supaya Dia (Allah) menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia (Allah) adalah al-‘Aziz (Maha Perkasa), lagi al-Ghafur (Maha Pengampun).”
(Terjemahan Surah Al-Mulk:1-2)
Subhanallah...
Bergetar jiwa tatkala mendengar kalimah cintaNya, sehingga hati basah dihujani rasa pada segenap jiwa..
Begitu berhikmah pula, DIA mengingatkanku melalui selitan pena dari seorang hambaNya.
“Innalillah wa inna ilahihi rajiun”
Ertinya, “kami ini milik Allah, kepadaNya kami akan dikembalikan.”
“Ya, inilah kalimah yang mengingatkan bahawa kita ini milik Tuhan, Tuhan layak menguji kita dan kita layak diuji. Jangan sekali-kali menolak apalagi ‘mengamuk’ apabila diuji. Kita hanya hamba…”~Pahrol Mohd Juoi~
Allahu allah...
Siapa aku untuk memilih ujian?
Siapa aku?
Sedangkan aku cuma hamba, yang layak untuk diuji dengan pelbagai dimensi.
Hatta, dengan ujian yang sama, berulang kali pun.
Dua kali, tiga kali, sepuluh kali, malah berkali-kali, DIA layak menguji.!
Di situlah titik sebuah keikhlasan yang dicari.
Di situlah ingin mengajar sebuah maqam bernama ‘mardhatillah’, redha Ilahi...
“La haula wala quwwata illa billah.
Hasbunallahi wani’mal wakil, a’lallahi tawakkalna”
Tiada daya kekuatanku melainkan Allah...
Cukuplah Allah sebaik-baik tempat sandaran, bagi orang-orang beriman berserah dan bertawakkal...
Sudah cukup sudah.
Sudah cukup sudah, berfikir kenapa dan kenapa?
Kerana ia akan membuahkan ketidaksyukuran sebagai seorang hamba.
Sudah cukup sudah.
Mengenangkan peristiwa-peristiwa duka.
Kerana semuanya ada hikmah besar yang disembunyikanNya.
Sudah Cukup Sudah.
Sudah Cukup Sudah untuk semua yang berlalu.
Inginku terus berjalan mengikut aturan takdiranMu.
Sudah cukup Allah bersamaku.
Sentiasa setia menemani di sisiku.
Dalam luka, dalam parah, ingin ku terus bermujadahah.
Sungguh, ku mahu redhai, redha yang sebenar-benar redha pada tiap-tiap dugaan yang diberikan olehMu Tuhan...
Allah.
Tiada ku mohon, melainkan maghfirahMu... :’(
Tuhan,
Sudilah memandang diri ini
Hamba yang terduduk
Terjatuh
Tersembam teruk
Terluka parah
Pada tiap cubaan
Yang datang tanpa perhentian
Menangis
Hiba dan pilu
Sungguh, diri rasa tak termampu
Namun tatkala mengenangkan rahmatMu
Hati diserbu rasa kasih yang semu
Pada cintaMu yang Satu
Rahim,
Berikanlah daku rahmatMu
Untuk temaniku dalam sepi
Tangkap aku dalam terangMu
Agar ku tidak kehilangan cahayaMu
Saat ini
Ingin ku meniti jalan
Mengikut jalan takdiranMu
kerana ku sentiasa ingin
yakini dan imani
pasti inilah yang ‘terbaik’ buatku…
p/s: Muhasabah dalam sujud cinta kepadaNya:
· Ketika kita mengeluh “kenapa aku yang diuji, kenapa kenapa ?”
· Allah menjawab: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan, kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang orang yang sebelum mereka , maka sesungguhnya Allah mengetahui orang orang yang benar, dan sesungguhnya Dia mengetahui orang orang yang berdusta.” (surah al-Ankabut ayat 2-3).
· “Kenapa mesti ujian ini untukku ?”
· Allah menjawab: “boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu , padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (surah al-Baqarah ayat 216)
· “Beratnya dugaan ini ya Allah, aku tidak sanggup menghadapinya!”
· Allah menjawab: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (surah al-Baqarah ayat 286)
· “Bagaimana untukku hadapi kesusahan ini?”
· Allah menjawab: “Dan mintalah pertolongan kepada Allah dengan jalan sabar dan mengerjakan solat , dan sesungguhnya solat itu amat berat kecuali bagi orang orang yang khusyuk.” (surah al-Baqarah ayat 45)
· “Ya Allah, sedihnya” :'(
· Allah menjawab: “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati , padahal kamulah orang orang yang paling tinggi darjatnya , jika kamu orang orang yang beriman.” (surah Ali Imran ayat 139)
· “Sampai bila harus ku hadapi semua cubaan ini?”
· Allah menjawab: “sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Dan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.”
(surah al-Insyirah ayat 5-6)
(surah al-Insyirah ayat 5-6)
· “Apa hikmah-Mu daripada semua ujian ini?”
· Allah menjawab: “sesungguhnya mereka itu orang beriman yang jiwanya dibeli oleh Allah adalah orang orang yang bertaubat, rukuk, sujud, menyuruh berbuat makruf dan mencegah berbuat mungkar dan gembirakanlah mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.” (surah at-Taubah ayat 111)
Allahuakbar...
Alangkah beruntung bagi mereka yang diberi ujian, yang berkali-kali, itu tanda Allah terlalu sayang.
Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa redha atas ujian dan ketentuan Allah, sabar dan syukur, itulah yang terbaik, sematkan dalam diri kita dengan kalimah,” La tahzan innAllaha ma'ana.!”
: hikmatul islam
: 13 muharram 1434H
: 0130 am
No comments:
Post a Comment