Pages

Hijrah diri: Cuma untuk redhaNya~







“Kita mendirikan ibadah kerana inginkan syurga, menjauhi dosa kerana takutkan neraka. Andai syurga dan neraka tidak ada, adakah amalan kita masih kekal sama?”



Secebis pertanyaan dari penulis Muhammad Hassan Basri dalam bukunya yang bertajuk ‘Andai Syurga dan Neraka Tidak Ada’  benar-benar menarik hatiku untuk memikirkan persoalan tadi.


“Erm…andai kata syurga dan neraka tidak ada, adakah amalan kita masih kekal sama? Adakah kita masih bersungguh-sungguh melakukan amalan tersebut untukNya?”


Pertanyaan itu tertanya-tanya lagi.

Syurga…

Bayangan indah yang tidak dapat terjangkau dengan penglihatan mata. Tidak pernah kan terungkap dengan lisan dan kalam, tidak pernah kan terdengar dengan mana-mana pendengaran.

Keindahan syurga tidak pernah terlintas di fikiran, tidak pernah terdetik di hati kerana ciptaan itu terlalu agung yang tercipta oleh Tuhan yang Maha Agung.

Siapa yang tidak inginkan syurga? Kekal abadi selamanya.

Tiada duka, tiada sengketa. Tiada air mata, tiada lagi lara. Yang ada cuma bahagia. Yang ada cuma senyum tawa. Semuanya indah-indah belaka.

Subhanallah… Begitu asyiknya syurga!

Bagaimana pula dengan neraka?

Jika keindahan dan keasyikan syurga tidak tergambar dengan apa-apa gambaran lukisan, begitu jualah neraka.

Azab api yang tidak mungkin kan tertahan. Kebinasaan dan kecelakaan yang berpanjangan. Kepedihan yang maha dasyat.

Tidak kan mampu terlakar dengan patah perkataan apapun untuk dinukilkan. Terlalu ngeri dan menakutkan.!

Namun sayang. Manusia masih lagi dalam kelekaan. Manusia masih ramai dalam kelalaian. Manusia sedikit sekali merasai keinsafan…


Iman dan nafsu seringkali berhujah dan berbalah. Harus mujahadah. Harus. Bahkan perlu sentiasa mujahadah agar iman tidak tertewas.


Ada manusia yang beribadah kepada Allah kerana menginginkan syurga dan takutkan neraka.

Syurga dan neraka ibarat hitam putih kehidupan yang menunjukkan kebaikan dan keburukan.

Neraca timbangan antara dosa dan pahala yang dilakukan. Kehidupan abadi kelak juga berakhir dengan destinasi terakhir ini juga, samada masuk ke syurga atau ke neraka.

Rasulullah saw bersabda:

“ Apabila seseorang daripada kamu meninggal dunia, diperlihatkan kepadanya di waktu pagi dan petang tempat tinggalnya nanti iaitu neraka atau syurga dan dikatakan kepadanya, ‘inilah tempat tinggal engkau, kelak engkau dihantar ke sana.”

(hadis riwayat Imam Bukhari)


Persoalannya, “benarkah kita beramal semata-mata inginkan syurga dan takutkan neraka??”






Pertanyaan itu masih tidak dapat ku jawab. Lalu ku cari lagi jawapan yang tepat. Meneruskan pembacaan dari buku tersebut.

Seorang tokoh sufi besar yang berasal dari Baghdad iaitu Abu Bakr asy-Syibli prihatin dalam hal itu. Syibli pernah berlari sambil membawa sepotong kayu yang terbakar pada kedua-dua hujungnya. Orang ramai kehairanan melihat tindakannya yang aneh lalu bertanya apakah yang dia sedang lakukan??

Syibli menjawab,

“Saya mahu membakar neraka dengan api yang berada di satu hujung kayu ini dan membakar syurga dengan api di hujung satu lagi sehingga menusia melakukan ibadah semata-mata kerana ALLAH.”


Ternyata, tindakan tokoh sufi itu menunjukkan beliau tidak setuju dengan manusia yang beribadah kepada ALLAH kerana takutkan neraka dan cuma kerana inginkan syurga.

Beliau menegaskan beribadah itu semata-mata cuma kerana cinta dan taat kepada ALLAH.!”


Allahuakbar…

Dilihat pula pada tokoh sufi wanita yang mayhur dengan keimanannya yang tinggi kepada Ilahi, yang mencapai maqam mahabbah iaitu cinta kepada ALLAH.

Dan maqam ini hanya mampu dicapai oleh orang-orang pilihan dan merupakan puncak dalam beribadah. Orang-orang yang seumpama itu sentiasa bermusyahadah iaitu mengingati ALLAH walaupun sedang tidur.


Lihatlah indahnya doa Rabiatul Adawiyah ini.

“Ya Allah, sekiranya aku meyembahMu kerana takut kepada neraka, bakarlah aku di dalam neraka. Sekiranya aku menyembahMu kerana mengharapkan syurga, campakkanlah aku dari syurga. Namun, sekiranya aku menyembahMu semata-mata demiMu, janganlah Engkau enggan memperlihatkan keindahan wajahMu yang abadi kepadaku.”


Subhanallah…tidak mampu manusia biasa mencapai maqam iman tersebut, melainkan orang-orang yang terpilih sahaja.

Ku tutup kitab.

Telah ku temui jawapannya dari persoalan penulis tadi.

Ikhlas.


“Semuanya perlu ikhlas. Beramallah dengan ikhlas. Cuma mengharapkan redhaNya semata-mata.”


Tidak perlu kita menghitung-hitung amalan kita untuk ditukar dengan syurgaNya. Tidak perlu kita meminta-minta pula dibalaskan dengan api neraka.

Benar. Syurga dan neraka itu termasuk di dalam perkara ghaib yang perlu kita imani. Perkara ghaib yang Allah ciptakan dan sediakan untuk membalas segala amal-amal manusia dengan selayaknya.


Semoga dengan adanya syurga dan neraka akan sentiasa memuhasabahkan kita.

Semoga dengan adanya syurga dan neraka akan sentiasa menyedarkan diri kita yang sentiasa terleka dan terlena.

Semoga dengan adanya syurga dan neraka akan membuatkan kita semakin bersungguh-sungguh untuk mencintaiNya, untuk semakin dekat denganNya.

Semoga dengan adanya syurga dan neraka, akan sentiasa memperingatkan kita tentang bukti kekuasaanNya, bukti maha Agung kudratNya.

Semoga dengan adanya syurga dan neraka, kita akan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk bersikap dan beramal dengan amalan ahli syurga dan menjauhi sikap ahli neraka.

Semoga dengan adanya syurga dan neraka, kita akan lebih bersungguh-sungguh bermujahadah melawan hawa nafsu yang seringkali mengajak kita untuk jatuh ke jurang neraka dan mendidik jiwa agar kembali nanti dengan tenang menemuiNya di syurga.

Ikhlaskan semuanya. Meraih redha Tuhan bukan sesenang yang kita bayangkan. Terlalu banyak ujian dan dugaan yang perlu dihadapkan. Hadapinya dengan jiwa yang tenang. Kerana yakin dan percayalah dengan janji-janji Tuhan. Dia lah Ar Rahman yang Maha Penyayang.



“Semoga apa yang ingin ku sampaikan tidak kan tersasar dari keinginanMu ya Tuhan…  

~Salam Maal Hijrah ke arah penghijrahan diri ke arah mencari cinta dan redhaNya tanpa henti sehingga akhir nafas ini…

Wallahu’alam.”






Munjatku: “Tuhan. Ku tidak layak untuk ke syurgaMu, tetapi tidak pula sanggup untuk ke nerakaMu. Oleh itu, ampunilah segala dosa-dosaku, rahmati dan kasihanilah daku. Jadikanku hamba yang beriman, yang sentiasa ingin mendambakan cinta dan kasihMu. Tulus ikhlaskan segala amalanku, semoga kan bisa meraih redhaMu Tuhan…Amin…”



: hikmatul islam         
: 1muharram 1434H
: 14112012
: 2013 am

No comments:

Post a Comment