“Air mata yang menitik
Terus menitik
Semakin lama semakin deras
Semakin lama tersendu-sendu
Hati merasa hampa
Kosong, buntu dan keliru...
Duhai diri, apakah sebenarnya yang dikau tangisi?”
Assalamualaikum...
Buat jiwa yang terluka.
Buat hati yang merasa duka.
Buat diri yang merasa kecewa.
Buat insan-insan yang terasa sudah berputus asa pada segalanya.
Duhai semua jiwa-jiwa.
Izinkan daku ‘singgah’ seketika di dalam hati kalian.
Ingin ku berbicara mendekat.
Dekat dengan hati-hati yang merasa ‘rapuh’.
Dekat dengan diri yang merasa lemah.
Kerana daku juga sama dengan kalian.
Kerana daku, juga punyai hati sedemikian.
Kerana daku, juga insan lemah seperti kalian.
Kerana daku, juga cuma statusnya hamba Tuhan.
Hamba Tuhan yang seringkali berbuat dosa dan kesilapan…
Tika saat diuji, kalian tahu?
Bahawa dakulah insan yang paling teruk menangis.
Teruk.
Tersendu-sendu di hadapanNya, gaya anak kecil yang kehilangan benda berharga.
Mengadu dan merintih-rintih dalam sujud dan doa.
“Ya Allah…peganglah hati hamba erat-erat.
Ibarat seorang ayah memegang erat tangan anaknya.
Jangan sesekali dilepaskan walaupun sekejap cuma.
Kerana ku pasti akan nanar tanpa pegangan dan petunjuk dariMu…
La ilahailla anta, subhanaka inni kuntu mina zalimin
(Tiada Tuhan melainkan Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim).”
Ya. Kerana hanya itu yang mampu ku lakukan.
Berdoa tanpa henti.
Kerana saat itu, ku cuma punyai air mata itu.
Terlalu banyak, sampai melimpah-limpah. Seperti empangan yang telah pecah.
Bila menangis, terasa tidak mahu hentinya air mata itu mengalir.
Jika bisa disukat, mungkin sahaja air mata itu sudah sama banyaknya dengan segelen air mineral?
Atau, mungkin lebih lagi dari itu?
Entah, ku sendiri tidak pasti.
Yang pasti, Tuhan mengira bukan setiap titis air mata yang jatuh itu?
Pastilah Allah kira.
Kita mana mungkin dapat membilangnya.
Saat diuji, kita cuma tahu menangis dan menangis….
Kalian mahu tahu, kenapa Allah mengira setiap butir air mata kita yang jatuh?
Kerana Allah tidak pernah leka.
Kerana pengiraan Allah amat-amat halus dan teliti.
Kerana Allah ingin mengira semuanya, apa yang ada pada kita, hatta pada air mata yang setitis itu.
Kerana, air mata juga adalah termasuk sebahagian ‘amal’ kita.
Sedarkah kalian akan hal itu?
Adakah ia akan menjadi amal kebaikan atau keburukan?
‘Eh, apa kena mengena air mata dengan amal kita pula?’
Kalian, kalian pun tahu, Allah tidak pernah menciptakan tiap-tiap sesuatu itu dengan sia-sia. Lihatlah kuasa Allah yang Maha Teliti ini..
“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh).”(al An’am :59)
Begitu juga air mata.
Jika ia tumpah kerana ‘benda’ yang sia-sia, alangkah ruginya kita.
Sedangkan Allah mahu kita gunakan air mata itu dengan sebaiknya.
Untuk kita raih pahala.
‘Habis, kita tidak bisa menangis jika sedih?’
Bukan. Bukan begitu maksudku.
Benar. Siapa yang tidak jatuh air matanya jika dia merasa sedih?
Lebih-lebih lagi kaum hawa, kita orang perempuan mudah sekali untuk menangis kan?
Allah berikan ‘special kes’ buat kita, mudah terusik emosinya dan menangis berbanding dengan orang lelaki.
Allah berikan ‘special kes’ buat kita, mudah terusik emosinya dan menangis berbanding dengan orang lelaki.
Sebab ia sudah menjadi fitrah kita bernama manusia, apabila ditimpa musibah, automatik kita pasti akan menangis.
Tidak kira musibah dan ujian itu seperti apa, ujian kehilangan orang yang tersayang, ujian kesakitan, kezaliman, ditindas, dihina dan seumpamanya. Pasti manusia yang normal akan keluar juga air mata.
Persoalannya, apa perasaan kita dengan Allah tika itu?
Sekali lagi saya tanyakan pada kalian, saat kalian menangis, apa perasaan kalian dengan Allah tika itu?
Marah? Rasa dizalimi? Rasa tidak adil? Kerana Allah memberikan kalian musibah dan ujian tersebut?
Jika demikian yang kalian rasa saat menangis itu, maka jadilah air mata itu air mata yang sia-sia.
Sedikit pun tidak berguna.
Kenapa?
Kerana kita malah menyalahkan Allah pula, bukan diri sendiri.
“Apa saja nikmat yang kamu peroleh adalah dari Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu, maka dari (kesalahan) dirimu sendiri.” (Q.S. An-Nisa. 4: 79)
Oleh itu, sekali lagi tanyakan pada diri sendiri, kitakah yang zalim atau Allah? Sedangkan Allah lagi Maha Bijaksana dalam menilai segala amal perbuatan kita setiap saat.
Sedangkan kitalah hamba yang banyak berbuat kesilapan dan dosa, sedang Allah lagi Maha Pengampun terhadap hamba-hambaNya.
Jangan sesekali kita berburuk sangka pada Allah bila diuji, kerana itu hanya akan ‘memudaratkan’ lagi iman kita.
Sesungguhnya air mata yang Allah anugerahkan itu, yang kita ‘guna’ ia saat bersedih, adalah untuk kita kembali menginsafi diri.
Benar, untuk kita memuhasabahkan diri.
Untuk kita jadikan ia amal kebaikan yang berpahala, bukan sebaliknya.
“DUA belah mata boleh menangis, tetapi hati tetap perlu redha atas ketentuan-Nya.
Demikianlah keadaan orang Mukmin yang bersedih.
Tawa dan tangis, gembira dan sengsara, nikmat dan ujian semuanya adalah lumrah kehidupan.
Seseorang itu tidak mungkin hanya melalui satu episod dalam kehidupannya, sedih dan menangis untuk selama-lamanya.
Semua akan datang dan pergi silih berganti, tiada yang kekal di dunia ini.
Orang beriman berada di atas batas pertengahan, tidak berlebih-lebihan mengungkapkan perasaan yang bergejolak di hati.
Inilah yang disebut sebagai jiwa hamba yang zuhud.
Apabila mendapat nikmat, tidak terlalu gembira dan jika diserang musibah tidak pula terlalu bersedih.
Semua dikembalikan kepada ketentuan Allah semata-mata.”
(Dr.Juanda Jaya)
Jadikan air Mata kita ‘Special’.
Satu tangisan yang istimewa dianugerahkan Allah SWT kepada hamba-Nya.
Mahukah kalian tahu tangisan apa tangisan yang ‘special’ itu?
Tangisan ini tidak bersifat melemahkan semangat, bahkan ia boleh menghidupkan jiwa
yang sudah lama mati.
Ia tidak mendatangkan rasa putus asa dan kesakitan, bahkan air mata itu ibarat gelombang membangkitkan rasa optimis, kecekalan dan azam bergelora.
Tangisan itu membawa satu janji untuk hidup lebih bererti dan ia mampu mencelikkan pandangan mata hati meneroka alam lebih jauh lagi.
Alam ghaib sememangya tidak nampak di mata kasar, tetapi hati yang beriman boleh merasai kebenarannya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Dan seseorang yang berzikir mengingati Allah dalam keadaan sendirian, lalu berlinanganlah air matanya kerana takutkan Allah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Itulah hati yang lembut, tunduk dan akur kepadaNya.
Hati yang merasa takut (khauf) apabila teringatkan hari pembalasan yang amat dasyat, lalu keluarlah air mata kerana hati mengingini keampunan dari Allah swt semata-mata.
“Tidak ada orang yang PALING RUGI di dunia ini, kecuali orang-orang yang telah berputus asa pada Rahmat Allah yang Maha Luas”
Siapapun, pasti tidak mahu jadi orang yang rugi. Semua orang berlumba-lumba mengejar keuntungan, samada untung yang segera di dunia ataupun untung yang berlipat ganda di akhirat.
Ya. Kerana orang yang berputus asa itu, adalah orang yang teramat rugi kerana dia telah mensia-siakan tiap saat dan waktu dalam hidupnya.
Hidup ini terlalu singkat untuk ditangisi.
Yang lalu, biarkanlah ia berlalu.
Biarkan ia tersimpan dalam lembaran takdirNya.
Jangan terus ditangisi apa yang bukan milik kita. Kerana macam mana pun kita tangisi, ia tetap tidak dapat kita miliki lagi...
Ubahlah posisi fikiran kalian.
‘Keluarlah’ jauh-jauh dari dunia sedih itu.
‘Cuba masuk’ ke dalam dunia orang lain.
Lihatlah orang yang berada ‘di bawah’ jauh lebih kurang dari apa yang kita miliki, dengan begitu kita akan menjadi manusia yang bersyukur.
Rasulullah SAW bersabda:
“Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu kerana dengan (melihat ke bawah) lebih pantas untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)
“Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu kerana dengan (melihat ke bawah) lebih pantas untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Perhatikan orang yang lebih besar ditimpa musibah berbanding dengan diri kita.
Tetapi, dia tetap tenang, senyum dan bersyukur dengan apa yang dia ada.
Tidak mahukah kita jadi seperti itu?
Melihat wajah orang yang tenang, kita juga mahu sepertinya.
Melihat dirinya bahagia, pasti kita juga ingin hidup kita tiada duka.
Cubalah merenung dan berfikir, tetapi jangan merasa khuatir.
Jangan pula banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah oleh kesukaran yang belum tentu datang.
Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu karena apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula.
Hakikatnya takdir Tuhan tidak akan pernah berhenti.
Kerana kita sedang lagi meninti masa menuju pada hari ‘kembali’.
Kita tidak dapat lagi berpatah balik pada hari yang lalu, tetapi kita masih boleh ‘menoleh’ ke belakang itu untuk muhasabahkan diri.
Jadikan ia iktibar dan pengajaran. Jadikan ia sebagai permulaan yang baru untuk kita terus melangkah ke hadapan.
Mungkin bukan mudah untuk kita bangun setelah ‘terluka parah’, tetapi ambillah masa sedikit demi sedikit untuk memulakan ‘catatan baru’.
Catatan hidup kita yang lebih indah, kita mampu mengindahkannya jika kita benar-benar mahu.
Rasulullah SAW bersabda:
“Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagimu dan minta tolonglah kepada Allah dan janganlah merasa lemah.
Bila menimpamu sesuatu (dari perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata: “Seandainya aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu,” akan tetapi katakanlah: “Allah telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan,” karena sesungguhnya kalimat ‘seandainya’ itu membuka amalan syaitan.” (HR. Muslim)
Akhir kalamku, kita tidak mungkin dapat ‘menghapuskan’ air mata, kerana air mata itu anugerah terindah. Buat mereka yang ‘disentuh’ hatinya oleh Allah.
Akan tetapi, sapukanlah air mata itu untuk dirimu menjadi lebih positif, semakin teguh pegangan denganNya, semakin mendekati yang Maha Dekat serta semakin menjadi mukmin yang hebat dan kuat.
Insha allah, kita mampu, kita boleh.! Semoga kasih sayang Allah sentiasa bersama kita hingga hujung nyawa. Amin ya rabb...
Semoga air mata kita,
Adalah air mata yang DIA redha.
Semoga air mata kita,
Adalah air mata yang percaya.
Percaya pada setiap aturannya tersimpan hikmah.
Percaya pada kebesaran dan rahmatNya yang Maha Luas.
Percaya pada suatu saat nanti,
Allah pasti akan menggantikan air mata itu dengan yang terindah
Dengan mahar syurga
Yang abadi di hujung sana
Kerana itulah kemenangan yang nyata
Buat air mata yang tidak jatuh sia-sia
Buat hamba yang bertakwa kepadaNya....
: hikmatul islam
: 28022013
: 0230 pm