(Surat seorang Pengemis Cinta…)
Bismillahirrahmanirrahim...
"Bagiku, Dialah segala-galanya buatku.
Aku tidak malu untuk mengemis cinta darinya.
Aku tidak sesekali berasa segan untuk berbuat demikian.
Meskipun, mungkin akan ada yang berkata kepadaku, ‘Heh, terhegeh-hegeh si pengemis ini meminta.!’
Aku tidak peduli.
Aku tidak hiraukan semua mata manusia yang memandang.
‘Pengemis gila’, ‘Pengemis hina’.
Biarlah mereka mengecop aku seperti apapun.
Kerana aku memang seorang pengemis.
Pengemis yang sentiasa menagih.
Menagih cinta darinya.
Kerana memang aku ingin sekali memiliki cintanya.
Kerana memang aku begitu teruja untuk sentiasa dekat dengannya.
Dialah yang selama ini sering membuatkan aku gembira.
Dialah yang selama ini sering membuatkan aku bahagia.
Tatkala aku sedih, Dia yang pujuk.
Dengan kalamnya yang cukup indah, dengan janjinya yang cukup romantis.
Tatkala aku lemah, Dia sentiasa ada di sisi menguatkan aku.
Tatkala aku sudah berputus asa, Dia memberikanku jalan keluar dan harapan.
Dengan janji-janjinya yang benar, tiada satu pun yang dusta.
Dia tidak pernah menjauh dariku, tatkala semua manusia menjauh dariku.
Dia tidak pernah sesekali menghina aku meskipun aku sang pengemis.
Malah, Dia senang sekali dengan perwatakanku sebagai si pengemis.
Dia malah, semakin sayang padaku tatkala aku terhegeh-hegeh mengemis cinta darinya.
Dia malahan semakin cinta padaku tatkala aku melafazkan kata-kata cinta kepadanya.
Dia juga semakin kasih padaku tatkala aku cuma ingin setia mengemis kasih darinya.
Oh, indahnya hidupku tatkala aku mendapat cinta dan perhatian sepenuhnya dari Dia!
Terasa dunia ini aku yang punya.
Biarpun aku cuma seorang pengemis, sungguh aku bahagia. Damai dan tenang sekali hatiku.
Ada kalian miliki rasa seperti itu?
Tiada cinta yang lebih asyik dan mendalam, selain cinta yang aku puja ini.
Sebab itulah, aku ingin terus mengemis cintanya.
Kerana Dia tidak pernah jemu dan bosan tatkala aku meminta darinya.
Dia tidak pula memarahi aku.
Dia malah menunjukkan kepadaku mahligai kasih yang tersergam indah yang dibina khas buatku.
Oh, kekasih hatiku…
Cintaku tidak sehebat cintamu padaku.
Biarpun aku terus mengemis dan mengemis cintamu, tetap sahaja cintamu terus membunga mekar untukku.
Semakin indah, lebih indah dari apa yang ada di dunia ini.
Tetapi, kenapa tidak semua orang ingin menjadi pengemis sepertiku?
Kenapa tidak semua orang ingin berebut mendapatkan cinta darinya?
Mungkin, kerana mereka belum dapat rasai apa yang aku rasa.
Mungkin mereka masih belum sampai puncak ‘kemanisan iman’.
Ya. Mungkin saja mereka bongkak dan angkuh untuk mengemis cinta darinya.
Ah, alangkah ruginya mereka.!
Rugi besar.
Mereka fikir, dengan adanya harta yang banyak, emas yang menimbun boleh membuatkan mereka bahagia?
Mereka fikir, dengan pangkat dan nama, mereka dapat membeli cinta dengan sewenangnya?
Mereka sudah silap!
Mereka fikir, pengemis seperti aku langsung tidak berguna?
Biarlah.
Biarkan mereka dengan angan-angan palsu mereka.
Aku hanya ingin menyampaikan.
Aku cuma ingin menceritakan betapa indahnya menjadi pengemis cinta.
Aku akan terus mengajak dan menyeru manusia tanpa jemu, untuk turut sama-sama menjadi pengemis sepertiku.
Pengemis cinta yang satu.
Mengemis dengan setia.
Kerana aku sedari, aku insan fakir lagi hina.
Yang aku rasakan title ‘pengemis’ itu lebih sesuai untuk aku di sisinya.
Memang benar sekali, aku tidak punyai apa-apa.
Aku tiada pangkat mahupun harta. Yang aku punya hanya ini.
Sekeping hati yang tidak akan pernah berhenti meminta.
Menagih dan terus menagih cinta darinya.
Semoga kerjaku sebagai ‘pengemis cinta’ ini akan terus ku pinta dalam sujud dan doa.
Dalam setiap saat dan ketika.
Moga hingga hujung nyawa nanti, akan ku benar-benar miliki cintanya yang hakiki dan abadi…
(Dariku: ‘Pengemis Cinta Allah yang setia’)
p/s: Cinta-Nya yang terindah, sesungguhnya tiada yang lebih indah dari memiliki cinta Ilahi. Usah malu untuk mengemis cinta Allah setiap saat kerana kita cuma insan fakir yang akan kembali semula kepada-Nya kelak. Semoga kembali nanti, dalam keadaan Allah cinta, Allah redha..amin =)
: hikmatul islam
: 08022013
: 1110 pm
No comments:
Post a Comment