Pages

MUHAMMAD S.A.W: Di mana Baginda di hatimu?



“Ya Rasulullah, kekasih hati Maha Agung Allah.Tanggal 12 RabiulAwal lahirnya seorang bayi, rumah Abu Talib menjadi saksi. Membesar dia dalam jagaan Ilahi lalu diangkat menjadi Nabi.Segala amalan jahiliyah diperangi demi memartabatkan agama Islam yang suci kerana hadirnya membawa cahaya di seluruh muka bumi. Wahai Rasulullah, jadikan kami antara orang-orang yang terus mentaati dalam menyambung perjuanganmu menegakkan deen Ilahi.!”





Muqaddimah

Assalamualaikum w.b.r dan SALAM MAULIDURRASUL 1432H.

Sempena hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w pada hari ini, maka penulis juga ingin mengambil kesempatan mengepos entry mengenai Baginda s.a.w. Semoga tulisan yang sedikit dikongsi dengan pembaca ini dapat memberi ruang dan waktu untuk kita sama-sama berfikir dan bermuhasabah seketika dalam kemeriahan kita menyambut sambutan hari agung ini.

Di sini penulis tidak ingin menghurai panjang mengenai makna sambutan maulidurrasul, ataupun mengenai sejarah kelahiran Nabi s.a.w, tetapi penulis hanya ingin mengutarakan beberapa persoalan agar kita sama-sama fikirkan jawapan tersebut dengan menilai diri masing-masing…

Sesi Persoalan Muhasabah Diri

Hanya 3 persoalan yang ingin penulis utarakan di sini:

1) Kita mengaku kita sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w, tetapi apakah kita sudah benar-benar mengenali Baginda? Jika anda mengatakan yang anda sudah mengenalinya, maka bolehkah anda menceritakan semua sejarah hidup perjuangan Baginda dari awal Nabi lahir, perjuangannya untuk Islam sehingga akhir wafatnya?

2) Kita mengaku kita sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w, tetapi apakah kita mengamalkan segala sunnah Baginda? Mengikuti segala suruhan Nabi seperti yang diperkatakan dalam hadis dan sunnahnya?


  3) Kita mengaku kita sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w, apakah kita tetap istiqamah berselawat kepada Baginda setiap hari? Sejauh mana ingatan kita terhadap Rasulullah? Apakah semasa sambutan maulidurrasul diadakan barulah kita mengingatinya?

Penulis akan menghuraikan persoalan-persoalan tersebut satu-persatu agar pembaca akan merasa lebih jelas maksud yang ingin penulis sampaikan.

Betul-betul kenal ke?

Bagi persoalan pertama, kita mengatakan kita kenal Baginda s.a.w, tetapi bagaimana caranya? Apakah kita telah berusaha sedaya upaya mengenali baginda dengan membaca sirah Nabi dari awal hingga akhir hayatnya?

Penulis rasa kebanyakan kita lebih suka memilih bahan bacaan seperti novel, komik, majalah dan sebagainya berbanding membelek buku-buku sejarah Nabi. Cuba hitung pula, berapa buah buku yang telah kita telah habis khatam membaca sirah nabi berbanding khatam baca novel cinta? (maaf kalau ade yang terasa pedasnye!) Betul atau tidak??Anda sendiri yang akan menjawabnya .

Tidak dinafikan ramai yang berpendapat membaca sirah dan kisah-kisah Nabi membosankan. Bagi yang tidak pernah merasa begitu, syabas penulis ucapkan kerana mempunyai sensitiviti dan kesedaran yang tinggi dengan berminat menyoroti sejarah dan kisah-kisah Nabi.

Pepatah mengatakan, “Tak kenal maka tak cinta”. Jadi, bagaimana kita ingin mencintai Rasulullah s.a.w andai kita sendiri hanya mengenali Baginda secara umum, hanya mengetahui sedikit kisah bukan keseluruhannya (orang kata, kenal gitu-gitu je). Cukupkah??

Ibaratnya, kita mengenali seseorang yang cukup menarik perwatakan dan sifatnya dari luaran sahaja. Tetapi, apabila makin lama makin kita dekati dan mengenali kisah hidupnya, barulah kita mengetahui dirinya sangat istimewa. Maka begitu jugalah dengan Rasulullah s.a.w, soroti dan hayatilah kisah hidup perjuangannya, anda akan tahu betapa hebat dan istimewanya kekasih Allah itu.!

Sunnah Nabi Sebagai Pegangan

" Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang padanya tidaklah kamu akan sesat selamanya iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah Rasul-Nya." (Hadith Hasan, riwayat Malik dalam Muwatha dan Hakim dalam Mustadrak) 

Bagi persoalan kedua, kita mengaku kita sebagai umat Nabi s.a.w tetapi lihatlah dunia pada hari ini. Mereka jauh meninggalkan sunnah Nabi s.a.w apatah lagi ingin mengamalkannya. Kerana itu jugalah ramai manusia yang telah sesat dan berpecah belah sehingga menimbulkan banyak puak lantaran seringkali bertelingkah dan khilaf.

Semuanya kerana kita tidakberusaha ingin mempelajari hadis-hadis Nabi, tidak mengenali jenis-jenis hadis dan peringkat-peringkatnya apatah lagi untuk beramal pula. Malah, ada yang berpegang dengan Al-Quran semata-mata, tidak ingin mengambil dan mengikuti hadis Nabi lantaran lebih suka menuruti hawa nafsu. Keadaan inilah yang sangat menyedihkan. Masih beranikah kita ingin mengaku sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w??

Berselawatlah, Sollu A’la Nabi!

Dan bagi persoalan yang terakhirnya, hitunglah amal anda dengan ikhlas, apakah kita sentiasa berselawat kepada Baginda setiap hari? Berapa kali dalam sehari kita menyebut nama baginda dan apakah kita istiqamah dengan selawat tersebut?

Sesungguhnya selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w sangat mudah untuk disebut, malah berat pula timbangannya di akhirat kelak. Paling penting, ia adalah satu jalan untuk kita meraih syafaat junjungan Baginda s.a.w. Sabdanya:

“Manusia yang terutama disisiku pada hari Kiamat adalah yang paling banyak berselawat keatasku” (Hadith Riwayat Ibn Hibban, al-Tirmidzi)

Tetapi seribu kali sayang, betapa berat bibir untuk menuturkan kalimah selawat berbanding lebih banyak menuturkan kata-kata dan omongan kosong.  Sedarilah duhai saudaraku! cuba luangkan sedikit masa mencari info tentang kelebihan dan fadhilatnya, anda akan terasa betapa hebatnya kelebihan berselawat, mari sollu a’la nabi! =)


Penutup:“Di mana Baginda di hatimu??”

Sebagai penutupnya, penulis mengemukakan semua persoalan-persoalan ini bukan untuk para pembaca sahaja, tetapi lebih kepada diri penulis juga. Mari sama-sama kita renung sejenak,berfikir dengan mendalam dan bermuhasabah, semoga semua persoalan tersebut dapat dijawab dengan hati yang tulus dan telus.

Dan lebih besar harapan penulis agar kita terus beramal selepas kita menyedari dan menginsafinya, sebagai bukti cinta kita kepada Rasulullah s.a.w dengan sebenar-benar cinta, bukan sekadar mulut mengungkapkan kata  sayang tetapi tiada rasa cinta yang terkesan di hati sedangkan Nabi s.a.w di saat akhir hidupnya masih setia menyebut kalimah; ‘ummati..ummati..ummati..’
Lihatlah betapa sayangnya Rasulullah terhadap umatnya tetapi kita bagaimana??

Akhirul kalam, kenalilah Baginda, hiasilah setiap langkah hidupmu dengan sunnah Rasulullah, pasti teriring cahaya petunjuk, rahmat dan kasih sayang dari Ilahi. Semoga kita semua beroleh berkat dan syafaat Baginda di padang mahsyar kelak, Insya-Allah dengan menjadi sebaik-baik umatnya dalam menegakkan segala sunnah dan syiar Nabi s.a.w. Amin!”


p/s: Kepada teman tersayang, Siti Aisyah Mat Daud. Syukran jazilan ya sodikati kerana memberi sebuah hadiah yang tidak ternilai dengan apapun. Sebuah kitab bertajuk “Syamail Muhammad s.a.w: Keperibadian Rasulullah karangan Imam Al-Tirmizi” sangat berharga kepada diri ini. Kerana kitab ini, penulis seakan-akan dapat menyaksikan sosok hidup Baginda yang agung. Semoga terus bersemi kasih dan cinta kepadanya, sollollahualaihiwassalam…

wallahua’lam. 

No comments:

Post a Comment