Pages

MERAIH ‘NAJAH (KEJAYAAN) DI SINI’ UNTUK ‘NAJAH DI SANA’







Musim peperiksaan kian menjelang. Begitulah setiap semester yang berlalu, akan diakhiri dengan peperiksaan akhir untuk menguji tingkat kefahaman ilmu yang dipelajari oleh setiap pelajar. Di mana-mana peringkat pun, selagi mana kita bergelar sebagai ‘tolib’ tidak dapat tidak kita perlu menghadapinya.

Definisikanlah apapun tentang peperiksaan. Maksudnya tetap sama, iaitu sebuah ujian. Bila berkata tentang peperiksaan, mungkin ada yang pesimis. Memandang apalah sangat keputusan peperiksaan yang diraih jika tidak dapat menjadi hamba-Nya yang berjaya. Ya. Penulis sendiri tidak menafikannya. Tetapi,, ia bukanlah alasan untuk kita tidak berusaha dan menjadi orang yang gagal.

Untuk menjadi hamba-Nya yang najah, sememangnya kena buktikan ia dengan amal. Sebelum mengamalkannya,, bukankah kita perlu faham dahulu? Oleh sebab itulah kita perlu buktikan dengan kefahaman ilmu yang kita pelajari di medan peperiksaan ini. Hasil dan natijahnya akan dinilai melalui keputusan exam tersebut. Setuju atau tidak? Terpulanglah pada persepsi masing-masing, penulis hanya menulis dan meluahkan melalui sudut pandangan peribadi penulis.

Mukmin yang sempurna imannya, mereka akan melaksanakan setiap apa yang mereka kerjakan dengan yang TERBAIK. Sesungguhnya mereka menyedari, setiap apa yang mereka lakukan itu haruslah yang terbaik dan sempurna kerana itulah Allah lebih menyukai mukmin yang kuat berbanding mukmin yang lemah.


Andai kata jika di medan peperiksaan dunia ini pun kita telah gagal terlebih dahulu, apatah lagi untuk kita meraih kejayaan di akhirat kelak yang mana urusannya lebih berat dan teliti untuk disemak dan dinilai? Renung-renungkanlah…




Ada sahabat-sahabat yang bertanya dan meminta pendapat, nasihat serta tips menghadapi peperiksaan. Sesungguhnya penulis bukanlah di kalangan mereka yang terbaik, ada lagi mereka yang jauh lebih hebat dan cemerlang. Cuma diri sentiasa ingin berusaha untuk berada dalam golongan tersebut. Oleh itu, di sini penulis berkongsi hanya apa adanya… Semoga dengan sedikit ilmu yang dikongsi bermanfaat dan berguna untuk sama-sama kita renungkan dan hayati, Insya Allah…


Tips-tips Menghadapi Exam:

  • Betulkan Niat-Lillahi Taala

“Innamal a’malu binniat.” Setiap perkara yang kita lakukan semuanya bergantung dengan niat. Begitu juga untuk menghadapi peperiksaan. Jika matlamat kita ingin meraih kejayaan kerana ingin menunjukkan kepada sahabat-sahabat bahawa kita adalah hebat dengan keputusan yang diraih cemerlang, jadi setakat itulah yang akan kita dapat. Jika kerana ingin mengejar segulung ijazah semata-mata, maka setakat itu jualah yang akan kita kecapi.

Ikhlaskanlah niat di hati. Betulkan niat anda kembali. Kita berusaha sedaya upaya, berhempas pulas untuk exam ini kerana apa sebenarnya.?? Letakkanlah matlamat utama, Ingin meraih najah di sini, di dunia yang sementara ini KERANA  ingin meraih pula najah di sana, di negeri abadi. Kita inginkan kejayaan ini untuk meraih redha-Nya, sekaligus menjadi orang yang berjaya juga di akhirat nanti.

  • Minta Kemaafan Dan Keredhaan Ibubapa

Redha Ibubapa, itulah yang harus didamba. Kita tidak akan ke mana tanpa redha mereka. Pergilah ke mana sahaja, atau sehebat apapun tempat Universiti yang kita belajar, tetapi ilmu yang dipelajari akan kosong dan sia-sia tanpa redha mereka.


Oleh itu, hubungilah ibubapa yang tersayang, pintalah kemaafan dan keredhaan dari mereka. Lebih elok jika kita dapat bertemu sua dengan mereka sendiri, mencium wajah dan tangan ibubapa. Doa mereka sangatlah mustajab dan kita perlukan sebagai ‘bekalan’ untuk menghadapi  peperiksaan. Sesungguhnya, tanpa mereka siapalah kita?? Tidak akan wujudlah kita di dunia tanpa mereka….

Tidak mungkin terbalas jasa-jasa mereka menjaga dan mendidik kita sehingga kini dengan apapun, kecuali hanya dengan kejayaan yang kita perolehi itulah yang akan menggembirakan hati mereka. Bukan dengan pangkat ataupun harta yang mereka pinta,, tetapi cukuplah bagi kedua ibu bapa ingin melihat anaknya berjaya.

  • Banyakkan Solat Hajat & Berdoa
Solat hajat meminta kekuatan hati, fizikal dan mental sangatlah kita perlukan untuk menghadapi peperiksaan dengan hati yang kuat dan tabah. Sesungguhnya kita hanya sang hamba yang lemah. Tiada kekuatan melainkan Maha Pencipta yang Gagah. Kita hanya mampu meminta dan berusaha, tetapi selebihnya hanya DIA yang menentukannya.

“Cukupkan bagi kami (perlindungan dan pertolongan) Allah. Dia adalah sebaik-baik zat yang dapat kita jadikan sandaran . Dan hanya kepada Allah sahajalah kami bertawakkal”
(HR Turmudhi & Ahmad)

Jadilah kita sang hamba yang sentiasa merendah diri di hadapanNya, dengan sentiasa berdoa dan meminta kepada Tuhan.. Sesungguhnya ALLAH Maha Mendengar tiap keluhan, rasa dan perasaan yang ada dalam hati kita. Berdoalah tanpa putus asa. 


Berdoalah dengan sepenuh hati dan harapan moga apa yang dipinta akan dimakbulkan. Jangan menjadi hamba yang sombong dengan merasakan diri telah hebat dan tidak perlukan DIA. Sesungguhnya, rasa takut dan harap, tawakkal dan pasrah itulah yang selayaknya bagi kita yang cuma status hamba.

  • Tenangkan Hati Dengan Zikrullah


Tidak dinafikan di saat ini kita akan merasa sangat tertekan. Emosi mudah terusik. Semangat mudah hilang dan putus asa. Semuanya datang dari hati. Hati yang mengawal segalanya. Perlahan-lahan, alunkanlah zikrullah… Percayalah, hati akan merasa tenang dan damai selaras dengan janji Allah dalam al-Quran yang bermaksud: "Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang dan tenteram" (Surah Ar'ra'du:28).

  • Bersedekah

Nak berjaya dengan cemerlang? Bersedekahlah. Mungkin jarang yang melakukan hal ini. Hakikatnya, rahsia sedekah terlalu ajaib. Tiadalah yang mengetahui rahsia tersebut kecuali bagi mereka yang benar-benar yakin dan percaya dengan keajaiban sedekah. Sesungguhnya sedekah menjadi wasilah untuk memudahkan kita meminta sesuatu hajat atau permintaan. Bak kata Ustaz Yusuf Mansur, “ Sedekah satu dibalas sepuluh.”(Bab ‘Kejaiban Sedekah’ akan dikupas dengan lebih lanjut oleh penulis pada posting akan datang! : )
  • Bisikkan semangat pada diri

Apabila anda merasakan semangat semakin mengundur lemah, berilah salam kepada diri sendiri serta panggillah nama anda…
“Assalamualaikum…Hikmatul Islam…tidaklah Allah menciptakan dirimu sia-sia melainkan terpikul sebuah amanah untuk menuntut ilmu-Nya. Bayangkan wajah ayah dan ummi yang menaruh segunung harapan buat dirimu. Mengapa harus cepat berputus asa?? Sebutlah kalimah ‘La takhaf wala tahzan, innallaha ma’ana’ (Jangan takut, jangan bersedih. Sesungguhnya Allah bersama dengan kita.!)”

Ingatkanlah pada diri, jangan sampai kegagalan yang kita perolehi akan menjadi fitnah kepada diri, fitnah kepada agama Islam itu sendiri lebih-lebih lagi mereka yang mengambil jurusan agama. Jika kita benar-benar mafhum (memahami) apa yang kita pelajari, sangatlah mustahil kita tidak dapat menjawab apa yang diuji melainkan kita sendiri yang malas dan tidak mahu berusaha.

  • Jauhkan diri dari maksiat

“Ilmu itu cahaya, dan tidak akan bertapak di dalam hati yang dipenuhi dengan maksiat”.
Bagi penulis, sangatlah menitik beratkan dari sudut ini. Wahai saudara seakidah denganku, jagalah hati dan dirimu. Jauhilah dari melakukan dosa dan maksiat. Jangan sampai maksiat yang kita lakukan itu lama-kelamaan akan memudarkan nur di hati, titik-titik dosa kian menghijab sehinggalah Allah menutup pintu hati kita tanpa sedar. 

Sebab itulah, seringkali terjadi dalam peperiksaan.. kita dah baca, hadam dan hafal sungguh-sungguh tetapi tiba-tiba semasa menjawab exam, hilang apa yang telah kita baca dan ingati tu..Tak ke haru..?! Sama-samalah kita muhasabahkan diri. Diriku dan dirimu jua…

Akhirul Kalam, marilah kita sama-sama panjatkan doa pada Ilahi;

Doa: “Ya Allah, bantulah kami…Permudahkanlah segala urusan kami... Tidak mungkin dan tidak termampu untuk kami menghafal dan mengingati walau satu kalimah sekalipun tanpa kemudahan dari-Mu…Berikanlah kami cahaya petunjuk, cahaya dan nur ilmu-Mu… Sesungguhnya kami sangat lemah dan tidak berdaya menghadapinya melainkan Engkaulah Tuhan yang Maha Gagah lagi Maha Perkasa maka perkuatkanlah hati kami menghadapi tiap dugaan dan ujian yang Kau beri. Semoga kami beroleh kejayaan ini untuk terus menjadi hamba yang sentiasa najah di sisi-Mu…Amin..!”   




Sekian, salam renungan bersama serta salam taufiq wannajah buat semua!=) Taqabballahu minkum waminna… Wassalam…



No comments:

Post a Comment