Pages

Belaian kasihMu









Jari-jemari terasa longlai. Badan semakin melemah. Terasa tercungap-cungap dalam desah nafas.


Seketika air jernih tanpa dipinta bergenang di tubir mata. Lantas sepasang pancaidera itu ditutup erat seketika. Menahan rasa dalam sebuah rasa.


Allah... hanya sepatah kalam itu yang mampu terucap. Perkataan lain sudah tidak mampu berkata-kata. Jasad benar-benar hilang daya. Kekuatan fizikal ternyata saat ini semakin lemah dan longlai.


Sakit.


Sesekali, seorang hamba perlu dibelai oleh Sang Pencipta. Dengan belaian kasih sayangNya yang Maha Sempurna.  


Ya. Oleh kerana manusia itu tidak mungkin akan sempurna, segagah manapun ia, sekuat manapun fizikalnya, maka sekelumit rasa yang bernama ‘sakit’ itu harus ia merasainya.



Ibnu Qayyim berkata:


“Kalau manusia itu tidak pernah mendapat ujian dengan sakit dan pedih, maka ia akan menjadi manusia yang ujub dan takbur. Hatinya menjadi kasar dan jiwanya menjadi beku. Kerana itu, musibah atau bentuk apapun penyakit adalah rahmat Allah yang diberikan kepadanya dapat membersihkan jiwanya dan menyucikan ibadahnya.


Itulah ubat dan penawar yang diberikan Allah untuk setiap orang yang beriman. Ketika ia menjadi bersih dan suci kerana penyakitnya, maka martabatnya diangkat dan jiwanya dimuliakan. Pahalanya pula berlimpah-limpah apabila penyakit yang menimpa dirinya diterimanya dengan redha dan sabar.”



Subhanallah…


Hati yang sebentar tadi merasa resah digamit pula dengan rasa keperitan sakit yang menjalar di semua urat saraf cuba untuk ditenangkan.


Sungguh, saat ini, tika ‘sakit’ mula mengambil alih tempatnya sihat, maka hati akan mudah untuk mengeluh dan mengaduh.


Andai hati tidak dididik dengan ‘iman sabar’, maka sudah tentu jiwa akan terasa untuk memberontak.


Andai hati tidak ingin melihat hikmah-hikmah di balik kesakitan ini, maka sudah tentu jiwa akan mudah digoyahkan oleh hasutan syaitan yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk hamba menyalahkan Tuhan.


Dan andai hati tidak dipesan dengan kalam Allah, pastinya diri akan merasa ragu-ragu, keliru dan berputus asa dari rahmat yang Maha Esa.


Sakit sebenarnya adalah teguran dari Allah. Bonus dari Allah.  Belaian dan bukti cinta Allah pada makhlukNya.


DIA tidak mahu diri terus alpa, tidak mahu diri merasa berbangga dengan asyiknya berkata-kata di masa sihat sehingga melupaiNya. Lalu dikirimkan sakit tanda DIA masih peduli kepada hambaNya.


Mungkin juga hubungan denganNya terabai, lantas DIA ingin hambanya mendekatiNya kembali, merapatiNya dengan serapat-rapatnya.


“DIA rindu untuk mendengar rayuan kita. DIA rindu untuk mendengar tangisan kita. Kerana rayuan dan tangisan itu hanya Dia yang maha mengetahui rasa sakit yang dirasa. Di saat manusia lain tidak akan mampu memahami dengan apa jua bahasa sekalipun.”



 Air jernih tidak segan-segan lagi mengalir. Terasa haru dan sebak memenuhi ruang atma jiwa. Mendengarkan pula kalam peringatan dari yang sabda Nabi SAW yang menyebut:

“Tidaklah orang Muslim ditimpa cubaan berupa penyakit atau lainnya, melainkan Allah menggugurkan keburukannya, sebagaimana pohon yang menggugurkan daunnya.”

(HR. Bukhari-Muslim)



Dalam waktu lain, Rasulullah menjenguk Salman al-Fahrisi yang tengah berbaring sakit. Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya ada tiga pahala yang menjadi kepunyaanmu dikala sakit. Engkau sedang mendapat peringatan dari Allah SWT, doamu dikabulkan-Nya, dan penyakit yang menimpamu akan menghapuskan dosa-dosamu.”




Ku cermin semula diriku. Cuba bermuhasabah kembali.


Allahu Allah…Cuma sedikit rasa sakit yang Kau berikan ini jika ingin dibandingkan dengan ramai lagi insan-insan di luar sana yang menderita penyakit yang lebih parah.


Yang mungkin saban hari bertemankan air mata menahan perit kesakitan. Yang mungkin penyakitnya jauh lebih kritikal dan serius. Yang mungkin mereka sedang mengira detik-detik waktu ajal datang menjemput di muka pintu.


Alhamdulillah …ku bersyukur padaMu Tuhan.. kerana telah memilihku untuk merasai rasa sakit ini. Kerana telah memilih jasadku untuk menanggung sedikit rasa pedih ini. Walhal sebenarnya ia adalah belaian kasihMu padaku. Sungguh, dalam sakit, hati terasa sangat damai dan bahagia. Dalam pahit, hati terasa lapang dan tenang.


Ajaibnya rasa yang Allah kirimkan kepada orang mukmin. Baru ku merasai manisnya sebuah ‘halawatul iman’, apabila semuanya dikembalikan dan disandarkan semula kepada Tuhan.


Dan sungguh, ku lebih suka memilih diuji dengan kesakitan daripada diuji dengan kelalaian. Kerana sakit itu membuatkan diri menjadi lebih insaf dan bermuhasabah akan hakikat sebuah kematian.


Cuma, mungkin ku sedikit kesal dan kecewa dengan diri sendiri kerana ku tidak punya daya kekuatan untuk lebih mara ke hadapan dalam berjuang di atas sabilNya.


Ibarat di medan perang, mungkin dakulah orang yang paling terkebelakang dalam mengangkat senjata untuk berperang, sedangkan sahabat-sahabat yang lain berada di saf hadapan dengan penuh semangat juang.


Benar… Melihatkan para sahabatku yang begitu tegar berjuang tanpa ada sekelumit keluhan penat dan lelah pada bibir mereka, ku jadi malu sendiri.


Sakit sedikit yang ku rasai ini sehinggakan ku terpaksa meninggalkan kelas ilmu seminggu lamanya. Undangan program juga terpaksa ku tolak. Langkahku mati serta merta.


Terasa benar ku tidak layak bergelar mujahidah. Kerana benar-benar tidak dapat ku bermujahadah dengan sedikit cuma ujian dariNya.


“Ya tuhanku..maafkanlah kerana hamba benar-benar tiada daya di saat itu. Semangat menjadi mudah luntur dek kerana jasad tidak mampu menanggung rasa sakit yang sedikit itu…”  :'(


Seminggu jua ku bermuhasabah. Inilah sebenarnya tarbiyah tanpa henti dariNya. Sungguh, ku tidak pernah ingin berhenti berjuang dari jalan dakwah ini.


Meski ku akui terasa lelah, meski kadang-kadang langkah terasa amat rapuh dan goyah, terasa kaki lebih ingin mundur ke belakang di saat sakit mula bertandang namun seakan datang sebuah bisikan iman pantas menyedarkanku.



“Apapun yang berlaku, dakwah perlu diteruskan. Teruskan berjuang sehingga nafas terakhir dijemput pulang. Pulanglah antara 2 pilihan, syahid ataupun kemenangan!”



Lalu ku sematkan kukuh-kukuh pesanan ini pada hati. Berazam, walauapapun keadaanku ini, ia tidak sesekali akan melunturkan semangatku untuk terus bersama-sama mereka berjuang sehingga ke akhirnya.


Selagi nyawa didakap jasad, selagi itu akan ku kerahkan seluruh tenaga dan jiwaku untuk Islam. Untuk terus bersama-sama orang yang berjuang di atas perjuangan menegakkan agamaNya.


Meski nafas termengah-mengah, kekadang langkahku terhenti sejenak menahan perit rasa di dada, namun ku cuba kuatkan langkah kaki dan semaikan kembali untaian doa kepada Rabbul Izzati.



“Ya Jabbar, berikanlah kekuatan dan ketabahan kepada hambaMu ini…Meskipun hancur seluruh jasad namun jangan diambil sekeping hati yang ingin tetap thabat untukku terus berjuang di atas jalanMu…ku ingin menyumbangkan tenagaku untuk sabilMu sehabis dayaku, termampuku sehingga akhir nafasku ini…”









p/s: “Haru rasa hati apabila abi dan ummi yang senantiasa risau akan keadaan diriku, jua keluarga tercinta. Buat sahabiah, ukhti dan teman-teman seperjuangan yang tidak pernah jemu-jemu mendoakan kesihatan diri ini dalam diam dan sungguh,, ku dapat rasai keikhlasan ‘hantaran doa’ mereka di saat diriku terlantar lemah tiada daya..

Hanya Allah yang maha tahu ku amat bersyukur dikurniakan insan-insan ini, yang sangat prihatin dan mengambil berat padaku. Mereka tidak jemu-jemu meniupkan kembali semangatku yang hampir hilang. Allah…kuatkan daku untuk terus berdiri bersama-sama mereka yang mencintai jalanMu…!"




~sentiasa megharapkan redhaMu~

: hikmatul islam
: 11012012
: 1100pm

No comments:

Post a Comment