Tatkala diri diuji dengan pelbagai kisah cinta, pelbagai ujian cintaNya yang hadir.
Tika itulah ku sedari, kisah cintaku bukan cinta biasa.
Bukan cerita cinta biasa, tetapi sebuah cinta yang cukup luar biasa.
Luar biasa jalan cintaNya. Luar biasa cara penyampaian cintaNya.
Didatangkan padaku ujian demi ujian, kadang hampir tergoyah, namun Dia Maha Menguatkan rasa di hati.
Bagiku, kisah cintaku bukan kisah cinta yang biasa-biasa. Tetapi sebuah kisah cinta yang cukup luar biasa hebat ujianNya.
Semakin diri mencari cintaNya, semakin DIA mempamerkan tanda cintaNya dalam pelbagai bentuk masalah yang menduga.
“Semakin hati ingin mencintaiNya, semakin DIA menguji untuk mengetahui bukti cinta padaNya.
Apakah benar-benar kita mencintaiNya seperti yang dikata?”
Tiap kali datangnya ujian dari yang Maha Esa, kadang bertimpa-timpa dalam satu masa ada tikanya membuatkanku terduduk tanpa kata. Sememangnya…,,
“Kita meminta dipermudahkan, tetapi semakin Allah memberikan kesulitan dan kesukaran.
Kita meminta kegembiraan, tetapi Allah memberikan kedukaan dan kehampaan.
Kita meminta kebahagiaan, tetapi Allah memberikan kesakitan dan keperitan.
Kenapa DIA memberi tidak seperti yang kita pintakan?”
Benar, saat diuji terasa diri terumbang-ambing dan kebingungan seketika.
Diri tertanya-tanya sendiri, ‘petunjuk itu, apakah maksudnya Ya Rabbi??’
Maha Suci Allah ternyata sangat mendengar setiap luahan hambaNya.
Di saat ku hampir berputus asa, DIA cuba menenangkanku. DIA sentiasa memujukku.
Terus memberi dorongan agar sentiasa yakin dan percaya kepada janji-janjiNya.
Semunya diungkapkan dalam ayat-ayat cinta yang sangat mengharukan jiwa.
DIA yang Maha Pengasih dan lagi Maha Penyayang, telah menitipkan surat cintaNya padaku dalam surah Al-Toriq, membuatkanku keharuan dalam gugusan air mata cinta…
“Demi langit dan yang datang pada malam hari.
Dan tahukah kamu apakah yang datang pada malam itu?
Iaitu bintang yang bersinar tajam.
Setiap orang pasti ada penjaganya.
Maka hendaklah manusia memerhatikan dari apa dia diciptakan.
Dia diciptakan dari air mani yang memancar.
Yang keluar dari tulang punggung (sulbi) dan tulang dada.
Sungguh, Allah benar-benar berkuasa mengembalikannya hidup setelah mati.” (At-Toriq:1-8)
Subhanallah…subhanallah…subhanallah…
Asalnya manusia cuma dari setitis air yang hina. Oleh kerana itu, dengan ujian-ujian yang datang itulah yang akan mengangkat diri status hamba ke martabat yang mulia.
Lihatlah, betapa cintaNya DIA kepada kita. DIA mahu kita mendapat kebaikan, DIA mahu kita menjadi manusia yang hebat dari sudut dalaman agar semakin teguh rasa keimanan.
Oleh itu, semuanya perlu dikembalikan kepada zatNya yang paling layak untuk menghitung dan menetapkan segalaNya.
“Orang yang mengenal kasih-sayang Allah punya keyakinan bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik. Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang, tidak akan memberi sesuatu yang buruk untuk hamba-Nya.
Justeru, hamba yang baik tidak akan berburuk sangka terhadap Allah dengan merasakan apa yang ditakdirkanNya (ujian) itu ialah sesuatu yang tidak baik.
Yakinlah bahawa semua ketentuan Allah itu adalah baik. Ujian itu pasti ada kemuslihatan yang tersembunyi untuk setiap kita. Pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik, cuma kita tidak atau belum mengetahuinya.” ~Us.Pahrol Mohd Juoi~
Alhamdulillah…sungguh, ku bersyukur. Bersyukur kerana Allah masih meneguhkan rasa hati ini. Bersyukur Allah masih menetapkan rasa keyakinan ini padaNya. Bersyukur Allah memilih diri untukku rasai ‘rasa-rasa’ ini.
Rasa yang selayaknya bagi seorang hamba, yang akan senantiasa akan berusaha dan berjuang tanpa henti…itu janjiku padaMu Rabbi..
“Sesungguhnya, dapat tunduk sujud kepadaNya membuatkan hati terasa sangat tenang dan lapang.
Dapat mengalirkan air mata keinsafan, membuatkan hati merasa sangat lembut dan semakin dekat dengan Tuhan.
Dapat berdialog dan berbisik denganNya, membuatkan hati diberikan satu kekuatan yang cukup luar biasa.”
Pencarian cintaku kepadaNya sekarang berada di pertengahan jalan.
Tidak akan sesekali ku berhenti dari pencarian ini. Tidak akan sesekali kakiku berundur ke belakang lagi.
Pencarian ini tidak akan berhenti kerana ku tahu jalan yang ku pilih ini benar. Kerana ku tahu usahaku ini dicatat dan dinilai dengan kiraan yang teliti oleh Ilahi. Pasti, tidak akan sia-sia..
Jika ini yang dinamakan pengorbanan, inginku korbankan segalanya untukMu Ilahi…
Jika ini yang dinamakan keredhaan, inginku pasrahkan segala rasa di hati..
Jika ini yang dinamakan kebahagiaan hakiki, akan ku tetap memilih cintaMu agar kasihMu senantiasa bersemi di hati..
Insya Allah, diri sekarang dalam fatrah bersabar dan bertenang. Terus dididik hati agar kuat menerima segala keputusan takdirNya. Semoga apa yang diputuskan oleh-Nya nanti, diri ingin sentiasa menyakini, itulah keputusan yang TERBAIK dari Ilahi…
‘Mungkin ada yang tertanya-tanya, menunggu keputusan apa?
Keputusan itu adalah yang berkait rapat dengan urusan dunia dan akhiratku…Pohon doa kalian..’
Allah.
Ku sentiasa ingin yakini dan imani, tidaklah Engkau akan menyia-yiakan usaha dan doaku selama ini kecuali pasti diberikan yang terbaik. . . Semoga, amin.
“Akan ku teruskan langkah ini dalam mencari cintaNya yang sejati, kerana ingin ku raih cintaNya yang hakiki, untukku bawa pulang ke negeri abadi..”
~Hikmatul Islam~
~28092012~
~300pm~
No comments:
Post a Comment