Pages

Cukuplah ku punyai DIA...






Seorang sahabat berkata: "Menangislah, kerana itu akan menenangkanmu."

Lalu, saya menangis teresak-esak, sendirian. Melepaskan segala rasa yang ada di jiwa.

Di kiblat itu, di hadapan Tuhan yang Maha Mendengar, bukan di sisi manusia.

Ya. Air mata ini sering sahaja murah di hadapanNya. Air mata ini sering menjadi peneman setia.

Menangis bukan beerti seseorang itu lemah, tetapi menangis itu adalah kunci untuk sebuah kekuatan yang tiada tara.

Menangis bukan beerti tidak redha dengan apa yang diuji, tetapi menangis itu tanda hati sedang meredhai apa yang terjadi.

..................................

Ku ingin punyai hati itu. 

Ingin sekali miliki. Ingin sentiasa miliki.

Hati yang tepu dengan gemerlapan cintaNya.

Hati yang senantiasa tenang, tiada gundah.

Hati yang tulus, yakin tiada ragu.

Bukankah hati seperti itu sangat mahal sekali?

Lantas kenapa harus mengharapkan cinta yang lain?

Sedang cinta-Nya teramat indah dan tidak pula mengecewakan.

Sedang cinta manusia sangat rapuh, hancur dan pudar tiada berkekalan.

Cukuplah sampai di sini. Benar-benar ku serahkan hati ini cuma untuk Ilahi.

Cuma untukMu Ya Rabbul Izzati..!





Jika kamu merasa lelah dan tidak berdaya
Daripada usaha yang sepertinya sia-sia
Ketahuilah, Allah tahu betapa keras kau sudah berusaha.

Ketika kau sudah menangis sekian lama
Dan hatimu masih terasa pedih
Ketahuilah, Allah sudah menghitung semua air matamu.

Jika kau fikir bahawa hidupmu
Sedang menunggu sesuatu
Dan waktu terasa berlalu begitu sahaja
Ketahuilah Allah sedang menunggu bersama denganmu.

Ketika kau fikir bahawa kau sudah mencuba segalanya
Dan sudah tidak tahu hendak berbuat apa lagi
Ketahuilah Allah punya jawapannya.

Ketika segala sesuatu menjadi tidak masuk akal
Dan kau mulai merasa tertekan
Ketahuilah hanya Allah yang akan menenangkanmu.

Jika tiba-tiba kau dapat melihat jejak-jejak harapan
Ketahuilah Allah sedang mengatur sesuatu untukmu.

Ketika segala sesuatu berjalan lancar
Dan kau ingin mengucapkan syukur
Allah sebenarnya telah memberikanmu rahmat.

Ketika sesuatu yang indah terjadi
Dan kau dipenuhi dengan ketakjuban
Allah telah tersenyum padamu.

Ketika kau memiliki tujuan untuk dipenuhi
Dan mimpi untuk digenapi
Allah sudah berbisik memanggil-manggil namamu.

Ingatlah bahawa di mana sahaja kamu berada
Atau ke mana sahaja kamu menghadap
Allah SWT Maha Tahu dan Maha Mendengar.

DIA tidak pernah lalai, DIA tidak pernah lengah
Janji-Nya Maha Benar, akan DIA makbulkan
Di saat waktu yang tepat menurut perkiraanNya
Tidak akan dirimu disia-siakan sebegitu sahaja.

Duhai hamba yang beriman,
Tetap teguhlah kamu berpegang pada tali-Nya.
Kerana keimananmu,
Kerana keikhlasanmu,
Kerana keredhaanmu,
Allah Maha Adil.

Yang terindah akan ‘dihadiahkan’ paling istimewa
Buat hamba yang paling kuat kesabaran pada ujian-Nya….

(adaptasi puisi dari novel: Stanza Cinta)





Allahu Rabbi…
Aku datang pada-Mu dengan hati yang tercela
Dengan hati yang sarat beban dan dosa
Dengan jiwa yang lemah longlai
Dengan kekuatan yang pudar
Dengan semangat yang tiada tersisa…

Ampunkan daku ya Allah
Andai aku tidak pandai memujuk diri supaya bersabar
Andai aku tidak pandai mendidik diri supaya redha
Andai aku tidak pandai beradab menerima ujianMu…

Allahurabbi
Engkau jua yang memberi nikmat bahagia padaku
Engkau jua yang memberikan rasa sakit deritaku
Segala ujian dan nikmat itu semuanya dari-Mu
Maka…ku pohonkan penawarnya Ya Allah
Hilangkan segala rasa duka dan sakit hatiku ini
Hilangkan segala rasa sedih dan terluka ini
Kerana Engkau yang memegang hati-hati hamba-Mu…

Ya rabbi
Aku tidak yakin pada diriku sendiri
Tapi daku tidak pernah sesekali meragui janjiMu Ilahi
Oleh itu pada-Mu aku bergantung harap
pada-Mu ku menyerahkan segala pergantungan
kerana ku tahu Engkau tahu memujuk hatiku
Engkau tahu membelai jiwaku
dan meniupkan cinta-Mu dalam jiwaku…

Kini, ku tagih kasih daripada-Mu
Dakaplah daku dalam cinta-Mu
Usirlah kesepian dan duka yang sebati dalam hatiku
Gantikan ia dengan cinta-Mu yang luhur dan suci
Cinta-Mu yang agung tidak bertepi
Amin Ya Rabb...


: hikmatul islam
: 180613
: 0230 am


reade more... Résuméabuiyad

Jambatan Cinta




Tuhanku,
KemulianMu telah mendorongku untuk meminta kepadaMu.

Anugerah ihsanMu telah menyebabkan hatiku terpaut padaMu. Kerana itu jiwaku enggan merintih selain kepadaMu.

Kelebihan daripadaMu menyebabkan daku tidak berputus asa daripada kebaikanMu.

Jika Engkau kecewakanku, pastilah daku berharap lagi kepadaMu. Maka bagaimana pula Engkau berikan harapan dengan kasih sayangMu kepadaku.

Jika daku merasa kehilangan, pastilah ku akan merasa tenteram denganMu maka bagaimana pula Engkau mendekatiku dengan kemesraanMu.”

Ya Aliyyul Kabir, Ya Muntaqim Ya Muhaimin, Ya Ghafur, Ya Syakur, Ya Alim...

(Munajat Abdul Malik Ad-Dharir Al-A’lawi Al-Hasani)




Salam Jumaat yang penuh berkat.

Penuh dengan malaikat rahmat, mengelilingi alam melebarkan sayapnya untuk ditempiaskan cahaya barakah dari langit.

Para malaikat juga mengucapkan salam buat orang yang beriman, yang mana tidak pernah jemu dan lalai bertasbih untuk Yang Maha Agung.

Selawat dan salam kepada yang teristimewa dan tercinta, yang amat dicintai sosok tubuh itu pada sekalian makhluk di langit dan di bumi, Baginda Nabi Muhammad Sollahu alaihiwassalam.

Pagi  yang damai. Menenangkan.

Hari yang sangat indah. Carilah di situ, temuilah sebuah ketenangan hati, yang Allah selitkan dan anugerahkan pada umat melalui hari agung sayyidul ayyam.

Jiwa terasa basah, dengan basahan zikrullah dan tangisan rindu kepada dia.

Rindu dan harap, bergaul menjadi satu. Rindu kepada sosok tubuh agung itu, lalu bibir membisikkan selawat dan salam, semoga angin ‘menyampaikannya’ kepada Baginda SAW.

Semoga sampai. Insha allah.




Hari ini penghulu segala hari, terdetik di hati untuk berbicara pasal doa.

Tiba-tiba terpandang pada satu tajuk yang sangat menarik hati, “Doa dapat mengubah takdir”. Adakah sedemikian benarnya kenyataan itu?

Lalu saya kaji dan cari perbahasan sedikit mengenainya.

Bersabda Rasulullah SAW: “Tidak ada yang dapat menolak takdir (ketentuan) Allah SWT selain doa. Dan Tidak ada yang dapat menambah (memanjangkan) umur seseorang selain (perbuatan) baik.” (HR Tirmidzi 2065)


Takdir adalah suatu ketetapan yang telah Allah tuliskan untuk kita semenjak di Luh Mahfuz lagi.

Semasa di alam rahim, ditiupkan roh, maka sudah siap tercatat bagi kita ajal maut, jodoh pertemuan, rezeki dan musibah yang akan berlaku sepanjang kita hidup.

Tiada siapa yang bisa menolak ketentuan tersebut.

Tetapi, manusia masih bisa mengubah takdir tersebut dengan usaha. Usaha yang bagaimana? 

Dengan DOA.

Rasulullah SAW juga turut bersabda:

“Sesungguhnya takdir dan doa saling bertikai antara langit dan bumi” (Al-Hakim, no 1848. Lihat Majma’ Az-Zawaid, no.17192)

Doa hendak memalingkan takdir, sedangkan takdir hendak mengalahkan doa, maka akhirnya Allah mengambil doa sesuai takdir yang telah dituliskanNya.

Itulah yang dipanggil ‘The Power Of Doa’. Subhanallah, betapa hebatnya kuasa doa!




Ujian jangka vs Ujian tiba-tiba


Selagi kita bernafas di bumi Allah, selagi itulah ujian dan dugaan tanpa henti akan datang bertandang dalam kehidupan kita. Lumrah, hadirnya berselang seli.

Tidak kira ujian itu adalah ujian yang kita sudah dapat jangka atau ujian tiba-tiba. 
Persoalannya, bagaimana persediaan kita dalam menghadapinya?

Jika ujian yang sudah kita dapat jangka, contohnya tarikh peperiksaan yang sudah kita maklum, semakin dekat dan menghampiri. Maka, kebanyakan dari kita pastilah akan bersiap-sedia menghadapi peperiksaan tersebut.

Tetapi, bagaimana pula untuk menghadapi ujian yang tiba-tiba datang menerjah? Tanpa disangka-sangka, tanpa kita menduga, ia hadir persis tsunami yang membadai seluruh alam hancur sekelip mata.

Cuba bayangkan bagaimana keadaan kita ibaratnya datang seseorang dari belakang yang menolak dengan kuat tubuh kita sedangkan kita tidak menyedari masa bilakah kedatangannya itu, adakah kita akan jatuh tersungkur dek tolakan tersebut?

Pastilah akan jatuh bukan.

Jadi, bagaimana hendak ‘menahan’ diri dari tolakan tersebut?

Saya cuma memberikan tamsilan pada situasi tadi. Lihat pula pada keadaan kita di saat Allah memberikan ujian yang tiba-tiba kepada kita.

Saat itu, adakah iman kita masih dapat kuat bertahan?

Agak-agak, apa yang akan membuatkan iman kita dapat kuat bertahan menghadapi ujian tersebut?

Sering saya fikirkan persoalan ini, akhirnya Allah berikan jawapan pada persoalan yang sudah lama berlegar di ruang fikiran.

Dengan doa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Maka kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya dan sebagaimana Kami menyelamatkannya, Kami akan selamatkan orang-orang beriman (ketika mana mereka merayu kepada kami)” (Al-Anbiya’: 21:88)


Semuanya dengan doa. Sebab itulah kita harus senantiasa berdoa, bukan semasa susah sahaja tetapi keutamaannya semasa waktu lapang.


“Peliharalah Allah SWT nescaya engkau dapati-Nya berada di hadapan engkau, menyertai dan menolong engkau. Dan kenalilah Allah pada masa lapang, nescaya Ia akan kenal engkau pada masa susah di kala engkau sedang menghadapi perkara sukar” ( HR At-Tirmizi)


Kerana kita ini cuma hamba-Nya yang sangat doif dan lemah. Kita tiada daya kekuatan sedikit pun untuk menghadapi ujian, samada dapat dijangka atau tiba-tiba.

“Oleh kerana Allah menguasai segala-galanya, maka wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dialah sahaja Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji” (Al-Fathir:35:15)


Sebab itulah, doa merupakan ‘senjata yang cukup ampuh’ bagi orang beriman.

Allahuakbar! Betapa hebatnya kuasa doa, kenapa masih memandang enteng dan kecil akan sebuah doa?




Syarat Doa Dimakbulkan


Namun kadang-kadang, kita sering tertanya-tanya.

Mengapakah doa kita masih belum dikabulkan walaupun kita sudah khusyuk dan tawadduk semasa berdoa?

Sedangkan Allah SWT telah berjanji sedemikian benar dalam firman-Nya:

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku,maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat.Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran”(Al-Baqarah: 186)


Tetapi mengapa doa kita masih tak termakbul? Renung sekali lagi pada ayat tersebut. Allah SWT akan kabulkan, tetapi punyai syarat.

“Maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran”

Cuba kita pandang diri kita dalam-dalam. Sejauh mana kita menurut perintah-Nya, melakukan suruhan-Nya. Sejauh mana kita mengabdikan diri kepada-Nya?

Yang kita tahu hanya mengeluh jika hajat tak kesampaian. Ingatlah, dugaan menjadi semakin kuat apabila kita semakin dekat kepada Allah.

Ini menunjukkan Allah amat menyayangi hambanya yang sentiasa ikhlas dan tabah dalam setiap ujian yang diberikan oleh-Nya.

Akan tetapi, jika kita sudah beriman kepadaNya dengan sebenar-benar iman, berusaha berbuat ketaatan, telah berusaha meninggalkan kemaksiatan, maka ketahuilah Allah Maha Penyayang bukan bersifat zalim untuk tidak memakbulkan doa kita itu. 

Dia Maha Adil. Yakinilah.

Kadang-kadang Allah SWT tidak mengabulkan doa-doa yang dipinta oleh hamba-hambaNYA kerana DIA mahu memberikan yang lebih baik berbanding dengan apa yang dihajati oleh mereka.

Kerana DIA maha tahu apa yang terbaik buat kita umat manusia.

Dan kadang-kadang, Allah SWT sengaja melambatkan tempoh untuk mengabulkan doa kita.

Kenapa? Kerana, DIA mahu melihat sejauh mana kesungguhan dan sedalam mana sifat sabar hamba-hambaNYA dalam meminta sesuatu daripadaNYA.

Maka, sebagai manusia yang terlalu banyak sifat kelemahan pada diri sendiri kita haruslah sentiasa beristiqamah dalam setiap doa.

Berdoalah tanpa ada sifat berputus asa kerana orang yang mudah berputus asa adalah orang yang sangat rugi dalam kehidupannya.




Mengapa Harus Berdoa?


Hakikatnya, jika kita tidak berdoa pun Allah SWT sudah tahu semua isi hati kita tetapi sejauh mana kita berkorban dalam memohon sesuatu, itulah yang mahu dilihat dan diuji oleh-Nya.

Jadi, mengapa kita sentiasa perlu berdoa? Ini sebagai menunjukkan kita sebagai hambaNya yang serba kekurangan yang sentiasa memohon dan meminta pertolongan daripada-Nya.

Ini kerana doa adalah menunjukkan sifat kehambaan kita kepada Allah. Di samping ia mengajar kita untuk bersabar.

Kerana tiada doa yang sia-sia, melainkan semuanya akan ‘naik’ ke sisiNya.

Sabda Nabi SAW:

"Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: sama ada disegerakan kemakbulan atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepadan dengannya." (Riwayat Ahmad, al-Bazzar dan Abu Ya'la dengan sanad yang sahih).


Maka, ada doa kita kepada Allah diterima di dunia.

Ada juga yang tidak diberi disebabkan hikmah yang Allah lebih mengetahuinya, lalu disimpan doa itu di sisi-Nya untuk diberikan pada hari akhirat dengan yang lebih baik dan lebih utama.

Atau doa itu ditukar dengan kebaikan-kebaikan yang lain seperti diselamatkan kita dari pelbagai bahaya yang sebahagian besarnya tidak pernah diduga.

Betapa banyak musibah yang menimpa orang lain, tetapi kita diselamatkan oleh Allah.

Kadangkala Dia tidak memberikan kepada kita sesuatu permohonan disebabkan rahmat-Nya kepada kita. Barangkali ingin menyelamatkan iman kita.

Dia Maha Mengetahui, jika diberikan, mungkin kita hanyut atau menempuh sesuatu yang merugikan kehidupan di dunia atau akhirat.

Ibaratnya apabila seorang bapa tidak tunaikan kehendak anaknya. Itu bukan tanda kebencian terhadapnya. Bahkan sebahagian besarnya kerana kasih sayang dek bimbang jika diberikan akan mendatangkan kemudaratan.

Maha Suci Allah untuk dibandingkan dengan pengetahuan kita semua yang sangat terbatas, namun yang pasti rahmat-Nya sentiasa melimpah.

Jika Dia menangguhkan doa kita, tentu ada hikmah-Nya.




Komunikasi sentiasa denganNya


Sesiapapun boleh sampai kepada-Nya.

Berkomunikasilah terus tanpa terputus hubungan dengan Allah.

Bermunjatlah tanpa henti, tanpa jemu kerana ia akan menjadi jambatan cinta kita kepadaNya.

Berbisiklah dan merintihlah dalam hati, kerana sehalus mana suara hati itu, pasti akan didengari Yang Maha Mendengar.

Tiada pengawal atau orang tengah yang menghalang seorang hamba untuk merintih dan merayu kepada Tuhannya.

Siapapun hamba itu. Apa pun bangsanya dan apa pun bahasa doanya. Apa pun sejarah hidup buruk dan baiknya.

Tuhan sentiasa sudi mendengar lalu memustajabkan permohonan mereka dengan cara yang dikehendaki-Nya.

Bertambah banyak hajat dan permohonan seorang hamba, bertambah kasih Allah kepada hamba tersebut.

Firman Allah (maksudnya):

"Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat (berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina." (Surah Ghafir: 60)


Seseorang juga kadangkala tidak perasan bahawa apabila dia berdoa kepada Allah sebenarnya dia sedang melakukan ibadah yang besar.

Walaupun pada zahirnya kelihatan dia sedang memohon untuk kepentingan diri sendiri, namun hakikatnya dia sedang membuktikan keikhlasan tauhidnya kepada Allah dan ketundukan kepada Tuhan Yang Esa.

Maka dengan itu Nabi SAW menyatakan:

“Doa itu adalah ibadah” (Riwayat Abu Daud dan al- Tirmizi, sahih)


Jika sepanjang saat seorang hamba berdoa kepada Allah, bererti sepanjang masa dia telah melakukan ibadah.

Sesungguhnya Allah SWT mendengar setiap rintihan sayu hamba-hambaNYA yang meminta.

Bahkan, Allah SWT ‘malu’ untuk menolak permintaan hamba-hambaNYA kerana Allah SWT terlalu menyayangi kita.

Terlalu mendalam, lebih hebat cintaNYA jika dibandingkan dengan cinta seorang ibu terhadap anak-anaknya.

Allahu ya Azim, ya Halim, ya Samiul Alim…Subhanallah, Maha Puji segala pujian hanya untukMu Rabbul Izzatie…

Akhirul kalam, mari kita sama-sama menjadi perayu.
Mari kita menjadi perindu.

Perayu pada rahmatNya. Perindu pada cintaNya.

Sekian, wassalam.

*Ya Aziz, semoga setiap tinta hamba di halaman yang sempit ini juga turut malaikat catitkan ia sebagai suatu doaku untuk sampai kepada redhaMu. Amin…*




Duhai jiwa!
Berdoalah tanpa mengenal erti putus asa.
Tuhan kita, sama.
Tuhan kita, amat berkuasa.
Tuhan kita, amat merindui suara tangis sang hamba.

Jangan sesekali jemu berdoa.
Kerana dengan doa, Allah membuka jalan.
Kerana dengan doa, Allah memberi peluang.
Kerana dengan doa, Allah selamatkan iman.
Kerana dengan doa, terkabul segala permintaan.
Kerana dengan doa, di situ terletaknya berjuta pengharapan.
Kerana dengan doa, menjadi jambatan cinta dengan Tuhan.

Semoga dengan kuasa doa,
Kita menjadi ‘hamba pilihan’,
Hamba yang teramat dekat dengan Tuhan
Bagi meraih sebuah keredhaan...


: hikmatul islam
: 070613
: 0830 am

reade more... Résuméabuiyad