Bismillahirrahmanirrahim.
“Di dalam hati manusia, terdapat kekusutan yang tidak akan terlerai kecuali dengan menghadapkan diri kepada Allah SWT.
Di dalam hati manusia, terdapat kerisauan yang tidak akan hilang kecuali berkasih sayang dengan Allah SWT.
Di dalam hati manusia, terdapat kesedihan yang tidak akan sirna kecuali dengan mengenali Allah SWT dan menjalinkan hubungan denganNya.
Di dalam hati manusia, terdapat kegelisahan yang tidak dapat diredakan kecuali dengan reda segala perintah, larangan dan qada’ Allah serta bersabar ke atas perkara tersebut sehingga berjumpa denganNya.
Di dalam hati manusia, terdapat rongga yang tidak dapat ditutup kecuali dengan cinta kepada Allah SWT dan kembali kepadaNya, terus mengingatiNya serta ikhlas kepadaNya.”
(Ibnu Qayyim Al-Jauziyah)
Tempoh uzlah dah tamat. Tempoh saya ‘mengasingkan’ diri seketika.
Mengasingkan diri daripada hambatan dunia yang menyesakkan dada.
Diri berteleku, bermuhasabah panjang mencari kekuatan yang hilang.
Diri yang lemah dan longlai itu, tidak mahu terus melemah lagi.
Malu. Teramat malu dengan Allah. Sedikit Cuma ujian yang diberikan, tetapi diri sudah lemah longlai sedemikian rupa?
“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun, keduanya tetap memiliki kebaikan. Bersemangatlah atas hal-hal yang bermanfaat bagimu. Minta tolonglah pada Allah, jangan engkau lemah.
Jika engkau tertimpa suatu musibah, maka janganlah engkau katakan: ‘Seandainya aku lakukan demikian dan demikian.’ Akan tetapi hendaklah kau katakan: ‘Ini sudah jadi takdir Allah. Setiap apa yang telah Dia kehendaki pasti terjadi.’ Kerana perkataan kalau (seandainya) dapat membuka pintu syaitan.” (HR. Muslim)
“Allahurabbi…Maafkanlah hambaMu ini…Berikan hamba kekuatan yang tiada tara menghadapi tiap ujianMu…Jadikan hamba mukmin yang kuat ya Rabb…”
Kerana itu, tika iman melemah, di saat itu jugalah kita harus bersegera mencari Allah. Bersegera mendekatkan diri kepada Allah.
Tunduk dan sujudlah berlama-lama. Sehingga hati yang gundah itu beransur pergi digantikan dengan jiwa yang tenang.
Lalu, dibelek dan ditaddabbur dengan sepenuh hati bait-bait kalam-Nya.
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan (tenang dan sabar), dan ingatlah Allah Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu.” (At-Taghabun: 11)
Subhanallah… Baiknya Allah. Teramat baik kepada hambaNya. Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Masih sudi memimpin hati orang yang beriman untuk menjadi tenang dan sabar.
Bukankah itu sebesar-besar nikmat iman daripada-Nya?
Diri harus bangkit. Tidak akan sesekali berputus asa pada rahmat-Nya yang Maha Luas.
Belek kembali matlamat hidup. Tatap dalam-dalam apa sebenarnya matlamat hidup yang sekejap ini?
Mahu redha-Nya.
Jika mahu redha-Nya, harus redha terima semua ujian dan dugaan yang Allah berikan.
“Dan redhalah dengan apa yang telah Allah berikan oleh Allah kepadamu, maka kamu akan menjadi orang yang paling kaya.” (Hadis Sohih Riwayat Tarmizi)
Harus berlapang dada dan terus kuatkan iman kepadaNya.
Harus berani berhadapan dengan cabaran pada diri sendiri dan cabaran hidup yang tidak pernah terhenti.
Di sini cuma persinggahan.
Status diri yang ‘tetap’ untuk sebelum ini, esok dan selamanya adalah menjadi ‘Hamba Tuhan’.
Hamba yang kuat, tabah dan cekal. Itulah yang dipanggil orang yang beriman.
Dan untuk melangkah tahap takwa pula, harus ditanggung seribu satu mehnah dan tribulasi ujian Tuhan.
Walau apapun ujian yang singgah, tetap istiqamah menjalankan kewajipan dan amal soleh serta tanpa henti tetap meninggalkan segala larangan-Nya.
Walau apapun ujian yang singgah, tetap istiqamah menjalankan kewajipan dan amal soleh serta tanpa henti tetap meninggalkan segala larangan-Nya.
Bukan mudah untuk mendaki tangga takwa.
Kerana tangga itu sangat tajam dan licin.
Kerana tangga itulah yang akan menuju kepada syurga Tuhan.
Andai kata tangga takwa itu punyai 1000 anak tangga untuk sampai ke syurga Allah, agak-agak kita telah sampai mendaki tangga yang ke berapa?
Allah...Renung sendiri pada iman…
Ali Bin Abi Talib berkata:
“Sesungguhnya, akhirat telah ada di hadapan mata sementara dunia sudah ada di belakang. Hendaklah kamu menjadi anak-anak akhirat, bukan anak-anak dunia. Kerana hari ini adalah waktunya beramal dan tidak ada hisab. Sementara esok (akhirat) adalah waktunya dihisab dan tidak ada lagi tempat untuk beramal.”
(Sebuah buku yang sangat mengispirasikan diri. Termotivasi.)
Jangan berhenti berlari.
Ya, jangan pernah berhenti. Meski lelah, meski rebah, bangun semula dan teruskan larian itu.
Hidup ini terlalu singkat waktunya untuk kita berhenti dari larian itu.
Kerana mereka yang beriman terus sahaja berlari tanpa henti mengejar redhaNya, syurgaNya, terus beramal tanpa jemu, tanpa rasa ragu kerana menyakini akan janji Ilahi yang Maha Benar.
Kenapa harus berhenti?
Sedangkan diri belum sampai ke destinasi. Destinasi cinta yang selama ini diri mencari-cari, rupanya telah makin hampir.
Cuma sahaja, apakah diri mahu terus berlari dan istiqamah untuk sampai ke destinasi cinta Allah atau terhenti?
Tidak, tidak akan sesekali terhenti.
“Ya Allah, tuntuni langkah kaki ini dengan cahayaMu. Pakaikan untukku pakaian ubudiyyah kepadaMu dan teruslah tarbiyahkan diriku dengan tarbiyahMu, sehingga kaki ini kembali kepadaMu dalam keadaan Engkau redha kepadaku…”
Mahu miliki hati yang lebih lembut dan jiwa yang lebih lunak.
Semuanya harus digapai dengan jalan bermujahadah. Bukan semudah-mudah.
Bermujahadah itu perit, ibarat menelan ubat yang sangat pahit rasanya.
Akan tetapi, setelah sekian lama, ia akan menyembuhkan segala rasa di jiwa.
Tidakkah kesembuhan dan kemanisan iman itu menjadi perkara yang sangat indah setelah diri gigih bermujahadah?
Melawan segala desakan emosi dan hawa nafsu yang sering menjerit mengajak kepada kebatilan dan kekufuran.
Sedangkan bisikan dan ilham dari Tuhan yang disampaikan oleh malaikat itu lebih ingin diri kita kembali kepada keikhlasan kepadaNya untuk mendapat al-fallah (kejayaan) dunia dan akhirat.
"Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar." [an-Nisa’ 4:13].
Akhir kalam si pencoret tinta yang amat doif ini, ingin ku seru dirimu dan diriku…
“Kalian, kita tidak sempurna. Dan tidak akan pernah sempurna. Kerana dosa itu akan sentiasa menghambat kita. Kerana berdosa, adalah sifat kita sebagai hamba. Tetapi, teruslah berusaha untuk keluar dari ruang zulumat(kegelapan) itu.
Allah tidak pernah menutup pintu kasih sayangNya. Sentiasa sudi memberi, bagi yang ingin ‘mengetuk’ pintu rahmat-Nya. Allah menilai semua usaha. Tiada yang sia-sia. Malah, DIA teramat kasih bagi mereka yang tidak pernah berputus asa terhadap rahmatNya yang Maha Luas.
Mari, terus membina impian, lakarkan impian hidup yang terindah, kerana kita juga ingin kembali kepadaNya dengan yang terindah.!”
“…Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami kebaikan di dunia ini dan kebaikan di akhirat kelak dan hindarkanlah kami dari azab api neraka.”(QS. Al-Baqarah: 201)
Untuk semua kesedihan, pergilah.
Untuk semua kegundahan, berusirlah.
Untuk kenangan pahit, tinggallah menjadi kenangan.
Kerana nikmat Allah tidak pernah berhenti menyapa.
Cuma sahaja, diri yang selalu lupa mensyukuriNya.
Iman,
Ku bisikkan doa di hujung malam.
Kuatlah. Ampuhlah.
Kerana denganmu ku terus bertahan.
Bersinarlah seterang bintang,
Agar hidup dalam jiwa yang tenteram.
Allah.
Tetaplah daku di sisiMu selalu.
Dalam sendu dalam rindu.
Ku ingin senantiasa setia padaMu,
Hingga hujung nafasku…
: hikmatul islam
: 010613
: 1230 pm
No comments:
Post a Comment