Pages

Cukuplah ku punyai DIA...






Seorang sahabat berkata: "Menangislah, kerana itu akan menenangkanmu."

Lalu, saya menangis teresak-esak, sendirian. Melepaskan segala rasa yang ada di jiwa.

Di kiblat itu, di hadapan Tuhan yang Maha Mendengar, bukan di sisi manusia.

Ya. Air mata ini sering sahaja murah di hadapanNya. Air mata ini sering menjadi peneman setia.

Menangis bukan beerti seseorang itu lemah, tetapi menangis itu adalah kunci untuk sebuah kekuatan yang tiada tara.

Menangis bukan beerti tidak redha dengan apa yang diuji, tetapi menangis itu tanda hati sedang meredhai apa yang terjadi.

..................................

Ku ingin punyai hati itu. 

Ingin sekali miliki. Ingin sentiasa miliki.

Hati yang tepu dengan gemerlapan cintaNya.

Hati yang senantiasa tenang, tiada gundah.

Hati yang tulus, yakin tiada ragu.

Bukankah hati seperti itu sangat mahal sekali?

Lantas kenapa harus mengharapkan cinta yang lain?

Sedang cinta-Nya teramat indah dan tidak pula mengecewakan.

Sedang cinta manusia sangat rapuh, hancur dan pudar tiada berkekalan.

Cukuplah sampai di sini. Benar-benar ku serahkan hati ini cuma untuk Ilahi.

Cuma untukMu Ya Rabbul Izzati..!





Jika kamu merasa lelah dan tidak berdaya
Daripada usaha yang sepertinya sia-sia
Ketahuilah, Allah tahu betapa keras kau sudah berusaha.

Ketika kau sudah menangis sekian lama
Dan hatimu masih terasa pedih
Ketahuilah, Allah sudah menghitung semua air matamu.

Jika kau fikir bahawa hidupmu
Sedang menunggu sesuatu
Dan waktu terasa berlalu begitu sahaja
Ketahuilah Allah sedang menunggu bersama denganmu.

Ketika kau fikir bahawa kau sudah mencuba segalanya
Dan sudah tidak tahu hendak berbuat apa lagi
Ketahuilah Allah punya jawapannya.

Ketika segala sesuatu menjadi tidak masuk akal
Dan kau mulai merasa tertekan
Ketahuilah hanya Allah yang akan menenangkanmu.

Jika tiba-tiba kau dapat melihat jejak-jejak harapan
Ketahuilah Allah sedang mengatur sesuatu untukmu.

Ketika segala sesuatu berjalan lancar
Dan kau ingin mengucapkan syukur
Allah sebenarnya telah memberikanmu rahmat.

Ketika sesuatu yang indah terjadi
Dan kau dipenuhi dengan ketakjuban
Allah telah tersenyum padamu.

Ketika kau memiliki tujuan untuk dipenuhi
Dan mimpi untuk digenapi
Allah sudah berbisik memanggil-manggil namamu.

Ingatlah bahawa di mana sahaja kamu berada
Atau ke mana sahaja kamu menghadap
Allah SWT Maha Tahu dan Maha Mendengar.

DIA tidak pernah lalai, DIA tidak pernah lengah
Janji-Nya Maha Benar, akan DIA makbulkan
Di saat waktu yang tepat menurut perkiraanNya
Tidak akan dirimu disia-siakan sebegitu sahaja.

Duhai hamba yang beriman,
Tetap teguhlah kamu berpegang pada tali-Nya.
Kerana keimananmu,
Kerana keikhlasanmu,
Kerana keredhaanmu,
Allah Maha Adil.

Yang terindah akan ‘dihadiahkan’ paling istimewa
Buat hamba yang paling kuat kesabaran pada ujian-Nya….

(adaptasi puisi dari novel: Stanza Cinta)





Allahu Rabbi…
Aku datang pada-Mu dengan hati yang tercela
Dengan hati yang sarat beban dan dosa
Dengan jiwa yang lemah longlai
Dengan kekuatan yang pudar
Dengan semangat yang tiada tersisa…

Ampunkan daku ya Allah
Andai aku tidak pandai memujuk diri supaya bersabar
Andai aku tidak pandai mendidik diri supaya redha
Andai aku tidak pandai beradab menerima ujianMu…

Allahurabbi
Engkau jua yang memberi nikmat bahagia padaku
Engkau jua yang memberikan rasa sakit deritaku
Segala ujian dan nikmat itu semuanya dari-Mu
Maka…ku pohonkan penawarnya Ya Allah
Hilangkan segala rasa duka dan sakit hatiku ini
Hilangkan segala rasa sedih dan terluka ini
Kerana Engkau yang memegang hati-hati hamba-Mu…

Ya rabbi
Aku tidak yakin pada diriku sendiri
Tapi daku tidak pernah sesekali meragui janjiMu Ilahi
Oleh itu pada-Mu aku bergantung harap
pada-Mu ku menyerahkan segala pergantungan
kerana ku tahu Engkau tahu memujuk hatiku
Engkau tahu membelai jiwaku
dan meniupkan cinta-Mu dalam jiwaku…

Kini, ku tagih kasih daripada-Mu
Dakaplah daku dalam cinta-Mu
Usirlah kesepian dan duka yang sebati dalam hatiku
Gantikan ia dengan cinta-Mu yang luhur dan suci
Cinta-Mu yang agung tidak bertepi
Amin Ya Rabb...


: hikmatul islam
: 180613
: 0230 am


No comments:

Post a Comment