*1 Julai 2013*
Dengan menyebut nama-Mu yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum wbr.
Sudah hampir sepurnama rasanya blog ini tak ‘diupdate’. Astaghfirullahalazim… Istighfar sendirian dengan kelemahan diri.
Cita-cita tinggi melangit nak jadi penulis, mahu jadi daie dengan mata pena tapi diri sendiri tak dapat nak disiplin untuk menjaga satu blog nie. Aduhai, malu dengan diri sendiri…
Mukmin yang professional itu harus berdisiplin. Harus. Nak jadi mukmin yang qawie, mukmin yang terbaik harus segala gerak kerja juga kemas dan hebat.
Disiplin dan istiqamah. Itu yang saya harus lebih pegang kukuh-kukuh selepas ini.
Post kali ini untuk mengimbau sekejap rentetan peristiwa dah Allah lakarkan untuk saya.
Flasback sekejap untuk saya tulis mencari hikmah dan ibrah.
Benarlah, manusia hanya mampu menyusun, merancang dan berusaha sebaik yang mungkin tetapi Allah Maha Kuasa mengatur segalanya.
2 minggu lepas, saya bermusafir hampir seminggu. Dari Shah Alam, kemudian turun ke Kedah.
Jumpa semula sahabat-sahabat seperjuangan di Kedah, pantas ramai yang menyoal dengan soalan yang serupa, “Kak Wanis balik bila Mesir?” “Kak Wanis tak pergi Mesir ke?”
Ya Rabb...Rupanya, ada lagi adik-adik yang tak tahu saya tidak jadi ke bumi kinanah itu.
Mungkin salah saya juga tak sempat nak beritahu keadaan saya kepada mereka.
“Program untuk akak nak pergi umrah itu dibatalkan, dan akak juga tidak jadi ke Mesir untuk belajar bahasa Arab kerana kekurangan kewangan, satu lagi sebab akak akan menyambung Master bulan 7 nanti di KUIN, takut tak sempat nak masuk kelas pula.”
Mereka mengangguk-angguk, mengerti.
Majlis perpisahan yang mungkin last dengan adik-adik di Insaniah itu, cukup membuatkan hati terasa sebak dan terharu.
Melihatkan senyuman mereka, merenung pada setiap wajah mulus dan tulus sahabat-sahabat seperjuangan, subhanallah… dapat saya rasai manisnya iman.
Tersangat manis. Ukhuwah yang dibina atas nama Allah, yang sama-sama ingin istiqamah dalam perjuangan di atas jalan Tuhan.
Duduk bersama dengan orang-orang yang soleh, suatu hal yang membahagiakan. Berjalan bersama sahabat yang mempunyai fikrah yang sama, yang dalam fikiran hanya difikirkan tentang ummah.
Ya. Sentiasa memikirkan tentang ummah, ummah, ummah. Tidak difikirkan tentang hal peribadi diri semata-mata.
Fikiran yang terpadu jelas hanya untuk Islam, semoga Allah menetapkan langkah kaki kami ini terus berjuang di atas jalan-Nya.
Tidak kira di mana dicampakkan, semoga jadi buah yang menyubur memberi manfaat kepada manusia yang lain. Insha allah…
Tak pernah terlintas di benak fikiran, untuk saya sertai Bengkel Penulisan itu.
Usai habis bengkel bersama Hilal Asyraf di Pendang pada bulan Mac yang lalu, beliau terus mempromosikan satu bengkel penulisan reality yang lebih besar akan diadakan di Hotel Shah Alam pada bulan 6 nanti.
Lebih mantap dan hebat bila mana ia bergabung bersama barisan penulis yang berpengalaman serta barisan para editor syarikat buku Galeri Ilmu Sdn.Bhd.
Dalam hati masa tu cuma mampu berbisik, “Alangkah bertuahnya jika dapat menyertai bersama-sama. Tapi, aku akan ke Mekah bulan 6 tu.”
Ternyata, Allah Maha Mendengar dan Maha Mengatur yang terbaik. Akhirnya, saya tidak jadi ke Mekah kerana program itu terpaksa dibatalkan saat akhir dan Allah angkat kaki saya melangkah ke Shah Alam.
Padahal, saya rasakan mustahil untuk sampai ke sana memandangkan lokasi itu terasa terlalu jauh dengan saya yang tinggal di Kelantan.
Allah izin, ummi berikan keizinan untuk menyertai bengkel tersebut bersama doanya yang tulus.
Semasa ummi menunaikan umrah pada cuti sekolah yang lalu lagi, sungguh-sungguh saya pinta ummi doakan impian saya yang satu ini.
Ingin menjadi penulis.
Tulus ummi doakan dan menyokong sepenuhnya impian saya itu. Terharu.
Doa seorang ibu, tiada sempadan. Tiada hijab, tembus hingga ke langit. Saya sentiasa yakini itu, dan sentiasa ingin ibubapa saya meredhai apa jua yang saya lakukan.
Alhamdulillah, Allah permudahkan lagi urusan ke Bengkel tersebut dengan pertolongan ikhlas dari seorang sahabat yang kebetulan ingin ke rumah kakak sulongnya di Shah Alam.
Sahabat itu terlalu baik, sehingga saya tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan kebaikan hatinya. Ibarat hati pasir. Halus dan lembut.
Segala pertolongan dan budinya, saya pohon Allah jua yang mampu membalas ganjaran yang sebaik mungkin.
Bersusah payah dia menghantar dan mengambil saya dari Bengkel itu. Besar sungguh jasa dan pengorbanan yang dia lakukan, tidak mampu saya tulis dengan patah perkataan.
Katanya sambil tersenyum, membawa bakal pena mata ummah.
Ya Rabbi…Jika saya berjaya bergelar penulis suatu hari nanti, insan inilah yang menjadi orang pertama saya ingin ucapkan terima kasih yang tiada tara.
Sekadar coretan penghargaan kepada dirinya, juga kepada semua teman-teman rapat dan ribuan sahabat di facebook, mereka juga senantiasa menyokong memberikan kata-kata semangat dan dorongan tanpa jemu buat saya.
Adik-adik yang sentiasa sudi memberikan komentar senyap-senyap di inbox FB, kawan yang memahami dan menghadiahkan kata-kata positif untuk saya terus melebarkan sayap dalam bidang penulisan ini.
Sungguh saya bersyukur pada-Nya kerana DIA menitipkan ramai yang begitu prihatin, ambil berat dan menyayangi saya setulusnya.
Begitu terasa ikatan ukhuwah sesama kami teramat indah, yang Allah ‘ikatkan’ hati kami ini cuma dengan tinta kalam saya yang sedikit itu.
Sahabat di alam maya yang tak pernah bertemu, tak pernah bertatap mata, tetapi sangat ajaib bisa terasa sangat dekat di jiwa.
Semuanya dengan penulisan. Betapa hebatnya kuasa sebuah tulisan meskipun ia cuma sepatah kalam tetapi Allah sudah menyentuh hati-hati mereka untuk semakin dekat kepada-
Nya.
Oleh itu, saya semakin bersemangat untuk terus menulis!
Berada selama 2 hari 1 malam bersama 15 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang berbeza.
Di sini kami bertaaruf, bersua kenal dengan para penulis dan barisan editor. Hilal Asyraf, Ustaz Hasrizal, Ummu Hani, Cikgu Hassan Morad, Cikgu Zayuhisyam.
Subhanallah. Benar-benar mereka penulis yang berjiwa hamba.
Tutur kata mereka, kalam tulisan mereka, lahir dari sebuah hati yang berjiwakan hamba.
Yang ingin membawa semua manusia kepada Pencipta.
Saya pada mulanya agak malu, takut, gerun, dan gugup untuk duduk di dalam bengkel ini.
Rasa tidak layak, rasa segan, dan macam-macam lagi rasa yang ada.
Namun, semua perasaan yang negatif itu beransur hilang apabila bersama dengan mereka ternyata sangat-sangat mesra dan baik semuanya!
Duduk di kelompok orang-orang yang mempunyai minat yang sama, mempunyai impian yang sama, dan mempunyai matlamat yang sama. Sungguh, rasa gembira tak terkata.
Terasa semakin bersemangat, terasa semakin melayang diri untuk terus terbang tinggi merealisasikan sebuah mimpi.
Mimpi yang sudah lama saya bermimpi. Mimpi yang sentiasa tersulam kemas di hati.
Sesungguhnya, sangat besar ilmu dan pengalaman yang saya peroleh dalam bengkel ini.
Tidak terbanding dengan pelaburan wang yang dikeluarkan.
Kerana ilmu, harus sentiasa dicari barulah dapat digarap dengan sempurna setelah mempelajarinya.
Ilmu penulisan yang tak ternilai saya kutip di sini, juga tautan hati yang sangat indah Allah titipkan, terasa kami semua sudah berada di dalam suatu keluarga yang besar.
“Family’s writer” =)
Senyum sendiri tatkala mengenang kembali wajah ceria mereka, bakal penulis. Insha allah, amin semoga Allah kabulkan hajat kami semua bergelar ‘penulis’.
Sekian sahaja di sini, doakan saya duhai pembaca budiman agar bisa memetik bintang.
Wassalam wbr.
*artikel yang sudah lama nak dipostkan, tetapi asyik tertangguh….
: hikmatul islam
: 010713
: 0130 am
No comments:
Post a Comment