Pages

Islah Diri: "Kasihi Dan Kasihanilah Hati!"








Tilik dan tilik lagi sekeping hati.



Di dalamnya terkandung semua rasa. Sedih, pilu, syahdu. Gembira, bahagia, cinta. Ujub, riak, sombong. Itu cuma sebahagian rasa, tidak terhitung jumlah rasa dan perasaan yang DIA berikan untuk kita.



Positif mahupun negatif, mahmudah mahupun mazmumah. Hakikatnya, di hati itulah tempat utama segala rasa. Bukan di tangan, bukan di kaki tetapi di hati. Ajaibnya hati, anugerah terindah dari ALLAH buat manusia.



Tetapi sayang…



Tidak ramai yang tahu menjaga hati.


Tidak ramai yang tahu menghargai anugerah hati.


Tidak ramai yang tahu mensyukuri sekeping hati.



Mungkin ada yang tahu, tetapi tidak sedar. Mungkin juga ada yang tidak tahu dan tidak sedar juga.



Kesiannya hati...




 
Hati terus sakit, parah, malahan semakin memberat lukanya…hati menjerit-jerit meminta tolong tetapi sayu kerana tuannya menyedari hatinya sakit, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa…




Masing-masing punyai hati, tetapi tidak mengenali hati sendiri. Tidak pernah belajar untuk mengenali hatinya. Tidak pernah ingin memeriksa kesihatan ‘hatinya’ setiap hari. Pernahkah kita bertanyakan keadaan hati?



‘Sakitkah’ ia? Jika sakit, apa ubatnya?



‘Resahkah’ ia? Jika resah, apa penawarnya?



‘Lalaikah’ ia? Jika lalai, apa caranya?



please..please...cek hati!






Ibrahim bin Adham berkata:



“Hati orang yang beriman adalah bersih seperti cermin kerana syaitan tidak dapat memperdayakannya dengan sesuatu sebab dia lebih dahulu meihatnya. Tetapi jika sekali dia membuat dosa, ALLAH campakkan ke dalam hatinya satu tompok yang hitam. Jika dia bertaubat, hilanglah warna kehitaman tersebut.



Namun, andai dia kembali berbuat dosa dan tidak bertaubat, timbullah semula tompokan itu sehingga sekalian bahagian hatinya menjadi hitam belaka. Waktu itu, maka tidak ada guna lagi nasihat yang diberikan kepadanya.”






“Tuhanku, jangan biarkan hati kami hitam dan gelap sehingga kami menjadi buta dari melihat kebenaranMu…”




Orang yang sentiasa ‘memeriksa’ hatinya sendiri di setiap saat dan ketika maka dia sentiasa memastikan hatinya ‘bersih’, suci, tulus ikhlas hanya kerana ALLAH. Itu yang paling utama. Tindakannya, perlakuannya, akhlak mahupun peribadinya akan sentiasa terarah kepada jalan kebaikan kerana iman di hatinya sentiasa mengingatkan bahawa dia cuma hamba ALLAH, yang diciptakan untuk beribadat semata-mata keranaNya.



Hati yang suci, akan sentiasa takutkan Ilahi. Takut andai hatinya menduakan Ilahi. Takut, andai hati terpesong dari menyembah Ilahi. Bimbang andai pegangan aqidah ‘terpesong’ tanpa disedari.



Hati yang suci, ia akan tetap tenang berada dalam jagaan ar-rahman. Hati yang suci, ia sentiasa mengikhlaskan segalanya-galanya demi meraih redha Tuhan. Ia akan sentiasa mengisinya dengan sifat-sifat mahmudah dan menentang sifat-sifat mazmumah.



Kerana hati, manusia bisa menjadi baik. Kerana hati, manusia juga bisa berubah menjadi jahat.



Berkuasanya hati. Hebatnya hati. Dapat mengubah dan membentuk peribadi dan akhlak diri.



Rasulullah saw bersabda:


“Tidak lurus iman seorang hamba hingga lurus hatinya terlebih dahulu”




Kerana di hati itulah, letaknya iman. Hati yang tidak dikemudi oleh pegangan iman yang ampuh, ia akan sangat mudah tersasar. Sangat mudah menjadi rapuh dan goyah. Mudah juga digoda dan terjerumus di dalam perangkap syaitan.



Di hati itulah jua, kita harus menyedarkan diri tentang hakikat diri. Hakikat diri kita yang cuma sebagai hamba Ilahi. Yang cuma hamba-NYA yang abdi. Yang akan pulang kembali ke negeri abadi.




Di hati itulah, bersemi semaian iman

Di hati itulah, terbina keyakinan kepada Tuhan

Di hati itulah, yang menerbitkan rasa takut dan gerun

dengan pelbagai ayat peringatan

di hati itulah, terbit rasa keinsafan dan kehambaan





Duhai temanku sehati dan seiman denganku…



Sesungguhnya hati, sudah fitrah sifatnya berbolak balik. Tidak tetap, mudah berubah-ubah.



Oleh kerana itu…sentiasalah mengislahkan hatimu, agar ia tidak tempang dari jalan Tuhan. Agar ia tidak berlubang-lubang dengan panahan maksiat yang kita lakukan. Agar ia tidak menjadi hitam dengan dosa-dosa yang kita kerjakan.



Sentiasalah berdoa meminta nur menyinari hatimu, agar ia terus berjalan di atas petunjuk Tuhan. Sentiasalah memenuhi ia dengan peringatan kalimah toyyibah dan zikrullah, agar hati itu tetap tenang dalam jagaan Tuhan.



Di antara doa yang terbaik yang boleh diamalkan untuk menetapkan hati;


“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas landasan agamaMu dan berbuat taat kepadaMu”



“(Mereka berdoa dengan berkata): “wahai TUHAN kami, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu, sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberiannya” (surah al-imran: 8)




p/s: Akhir kalam, mujahadahlah menjaga hati, harus cermat dan teliti, harus sentiasa berhati-hati. Jika tidak, merugilah diri, meranalah hati. Kasihi dan kasihanilah hatimu sendiri. Jom jaga hati, sentiasa pastikan ia sentiasa teguh mencintai Ilahi! :')






Sukarnya menjaga hati…

 Jika hati tidak berpesan, terus merugilah diri

 Jika hati tidak mengingatkan, terus alpalah diri
 Jika hati tidak mengejutkan, terus lalailah diri

Semua letaknya di hati
Kemudilah hatimu sendiri 
Bimbinglah hati mengikut panduan aqidah dan syariat
Penuhilah ia dengan sinar keimanan
Isilah ia dengan sentiasa mengingati Tuhan
Agar hatimu tidak sepi dan mati
Dan tidak menjadi orang yang rugi…



~Cuma ingin redhaMu Tuhan~

: hikmatul islam
: 17122011
: 05.00 pm

No comments:

Post a Comment