Pages

Majlis Perkahwinan: "Hiasi Dengan Mahar Hantaran Rahmat dan Berkat"




^ sekadar gambar hiasan ^



Assalamualaikum wbr…


Salam selebar senyuman, salam seindah hari yang masih sudi memancarkan sang suria. Semoga terus menyinari hidup kalian dengan cahaya nur kasih Ilahi, insya Allah…

Hari ini penulis ingin bercerita tentang soal nikah. Soal cinta. Soal jodoh.

Biarpun penulis bukanlah pakar tentang soal cinta, pun masih tidak punya pengalaman sendiri tentang gambaran sebenar kehidupan sebuah perkahwinan tetapi itu tidak bermakna penulis tidak boleh menulis dari sisi pandang peribadi penulis kan?

Penulis banyak belajar dari pembacaan. Dari sisi pengamatan. Belajar dari pengalaman orang lain menjadikan kita sebagai pemerhati dan pendengar pasti akan mendapat sesuatu ilmu yang tidak ada kita pelajari di dalam kuliyah.

Ia bukan sekadar teori, tetapi ia adalah sebuah pra-praktikal bagi para remaja yang belum bernikah untuk terus belajar dan belajar menceduk ilmu tentang makna sebenar erti sebuah perkahwinan.


Secebis Pengalaman Ke Majlis Perkahwinan


Musim cuti sekolah seperti biasa, pastinya akan meriah dengan sambutan majlis perkahwinan. 4 hari yang lalu, Allah memberi peluang dan kesempatan pada penulis menghadiri jemputan ke 3 majlis kenduri kahwin. Diajak oleh mak saudara, maka penulis memenuhi permintaannya untuk menemaninya ke undangan tersebut.

Pengalaman pertama penulis adalah menyaksikan sendiri majlis akad nikah yang dibuat di rumah sang pengantin perempuan. Mendengarkan tuk imam membacakan khutbah nikah, betapa dalam sekali erti kata-kata yang tersirat di sebalik ucapan itu. 

Maksudnya hanya akan diperhalusi oleh jiwa yang memahami akan erti sebenar makna sebuah ikatan suci kerana Ilahi. Antara ayat-ayat cinta yang indah dariNya semasa khutbah itu dibacakan:


Sesungguhnya segala puji hanya bagi Allah,  kami memuji-Nya,  seraya memohon pertolongan dan ampunan-Nya,  dan kami memohon perlindungan Allah dari keburukan-keburukan nafsu kami dan dari akibat buruk perilaku kami.

Barangsiapa yang telah diberi petunjuk oleh Allah kepadanya,  tidak ada yang dapat menyesatkannya,  dan barangsiapa yang telah disesatkan,  tidak ada yang dapat memberikan petunjuk kepadanya.

Aku bersaksi bahwa tidak ada tuhan yang layak disembah melainkan Allah saja,  tidak ada sekutu bagi-Nya.
Dan aku bersaksi bahwa Muhammad saw adalah hamba dan utusan-Nya."

"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan dari padanya Allah menciptakan istrinya; dan dari keduanya Allah memperkembangbiakkan laki-laki dan perempuan yang banyak,  dan bertakwalah kepada Allah yang dengan nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.

Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar,  niscaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar."





Lafaz akad nikah pun bermula tatkala tuk imam selesai membacakan khutbah nikah. Dengan sekali lafaz dari mulut pengantin lelaki, akhirnya termeterai sebuah janji untuk hidup bersama. Terikat sudah sebuah hubungan yang teguh untuk sama-sama membina sebuah kehidupan yang bahagia hingga ke syurga.

Subhanallah..sangat indah sekali lafaz-lafaz dan ucapan yang dituturkan seperti yang Islam ajarkan tetapi seribu kali sayang, amalnya tidak seiring dengan lafaz yang diungkapkan. 

Terlihat oleh mata akan aurat pengantin perempuan yang terdedah. Baju pengantin ketat dan sendat sehingga menampakkan susuk tubuh. Solekan pula cukup tebal dan berlebihan. Amat wajar sekali Islam melarang ‘tabarruj’. Tetapi, berapa ramai yang memahami konsep tabarruj yang Islam gariskan?


Rasulullah saw bersabda:

“Barangsiapa yang memakai pakaian yang menjolok mata, maka Allah S.W.T akan memberi pakaian kehinaan pada hari akhirat nanti.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasa’i dan ibnu majah)


Berkunjung pula ke rumah yang kedua. Adanya persandingan dengan adat merenjis dan menepung tawar. Persis seperti adat resam yang diamalkan oleh masyarakat Hindu. Masya Allah…Ternyata masih ada unsur jahiliah dalam masyarakat kita. 

Penulis cuma mampu menggeleng kepala sambil berdoa dalam hati. “Ya allah, ampunilah dosa-dosa mereka andai mereka jahil akan hukumMu…Berikan petunjuk dan hidayah kepada mereka serta limpahkanlah kasih sayangMu pada mereka agar hubungan yang dibina berkekalan abadi hingga ke syurga...”





Terakhir ke rumah yang ketiga, penulis mengharapkan sebuah majlis perkahwinan yang benar-benar diraikan mengikut ajaran Islam tetapi ternyata meleset sekali tatkala mendengar dendangan penyanyi berkaraokea lagu dangdut yang cukup membingitkan telinga. 

Apakah ini yang menjadi halwa untuk menghiburkan tetamu yang hadir? Dengan lenggokan si ‘perempuan’ yang mampu membuatkan orang lelaki menelan air liur memandangnya.

Dalam hati penulis, tidak henti-henti beristighfar… Sangat sedih dan mengecewakan. Pasangan yang diijabkabulkan bersaksi di atas nama Allah, apakah ini permulaan pertama untuk meraih sebuah keberkatan dari yang Maha Esa?


Keberkatan Menjadi Tunjang Utama


Duhai para pembaca yang budiman. Andai kita punyai iman, pastinya kita ingin segalanya dirai dengan mengikut syariat Tuhan. Bukan hanya mengikut hawa nafsu semata-mata dan telunjuk syaitan.

Janganlah ada unsur-unsur yang dilarang oleh Allah bagi menjamin keberkatan dalam sesebuah perkahwinan. KEBERKATAN itu adalah amat penting bagi menjamin jangka waktu kebahagiaan sesebuah perkahwinan.


Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:

"Sebesar-besar berkat penikahan ialah yang sedikit mas kahwinnya."


Apalah gunanya andai mas kahwin dan hantaran yang berpuluh-puluh ribu sehingga berhutang keliling pinggang? Apalah gunanya majlis perkahwinan yang besar-besaran tetapi membazir mengikut langkah syaitan? 

Alangkah malangnya si pengantin jika pada hari yang sepatutnya penuh keberkatan dan rahmat itu mendapat dosa yang berganda-ganda pula kerana majlis perkahwinan yang sudah melencong jauh dari objektif utamanya untuk meraih redha Allah. 





Pembinaan Bait Muslim yang kukuh


Membina bait muslim bukan sekadar dengan persiapan material yang mewah. Bukan terletak pada harga mas kahwin dan hantaran yang gah. Tetapi persiapan membinanya adalah persiapan dalaman (roh) yang paling utama. Hubungan kita dengan Allah. Apakah ibadah semakin meningkat atau sebaliknya?

Bila persiapan itu perlu bermula? Adakah semasa hampir dekat dengan tarikh pernikahan baru kalut untuk mempelajari ilmu rumahtangga? Apakah cukup hanya sekadar pergi ke kursus perkahwinan selama 3 hari sahaja maka kita merasakan mampu untuk memikul tugas sebagai suami/isteri?

Tidak! Persiapan itu harus bermula dari sekarang. Andai kalian masih bersekolah, ya ilmu agama terlebih dahulu harus dipenuhkan di dada. Pelajari akan ilmu fardu ain dan fardu kifayah. 

Tugas menggali ilmu agama itu perlu berterusan sehingga menyambung ke alam Univerisiti malahan lebih lagi harus dipelajari dan diperdalami tentang ilmu rumahtanggaseawal yang mungkin agar diri akan lebih bersiap sedia melayari bahtera rumahtangga.
Semua aspek kita perlu bersedia. Paling penting adalah ilmu bagaimana kita mahu melayarkan bahtera rumahtangga. 


Rumahtangga dan keluarga bagaimana yang kita mahukan? Adakah keluarga yang bercirikan Islam pada dasarnya atau keluarga yang hanya Islam pada nama? 
Itu perlu ditanya pada diri sendiri. Cubarenungkan dan fikirkan untuk kebahagiaan dan keberkatan masa hadapan. Ia bermula dengan diri kita. 


Berpeganglah dengan ajaran acuan Islam yang sebenar, dengan panduan Al-Quran dan Hadis yang telah diberikan pasti kita tidak akan tersesat dan tersasar dari jalan-Nya.




Permulaan Hidup Yang Sebenar


Kehidupan setelah bernikah adalah suatu kehidupan permulaan hidup yang baru. Tidak sama dengan kehidupan pada zaman remaja. Ia sebuah kehidupan yang sangat mencabar dan penuh ujian yang berliku-liku.

Jangan dipandang ia keseronokan semata-mata kerana kita membina bait muslim itu atas dasar ibadah kepadaNya, sama-sama bermatlamat untuk mengejar redha Allah cuma.

Di dalamnya akan terisi dengan sakinah, mawaddah dan rahmah. Cinta dan kasih sayang. Pengorbanan demi pengorbanan. Sedarilah, ia bukan suatu kehidupan ilusi dan fantasi sepertimana yang ditayangkan dalam filem atau drama korea

Tetapi ia adalah sebuah kehidupan realiti yang harus ditempuhi bersama-sama untuk menuju ke negeri abadi dengan iman dan amal yang teguh.


"We get married, to increase our Iman,"


Jelaskanlah matlamat. Perkahwinan yang dibina adalah untuk kita dan dia sama-sama meningkatkan lagi keimanan dan ketakwaan kepada Yang Esa. Sebagai bukti cinta kita kepada Allah. Sebagai mahar hantaran untuk terus bersama kekal bahagia hingga ke syurgaNya.





Penutup: Mari rangka pelan berkat + bahagia sampai syurga!


Wahai sahabat-sahabat sekalian,marilah kita sama-sama insafi diri. Bagi kalian yang belum berkahwin, rancanglah majlis yang penuh berkat pada hari bahagia anda nanti dan jangan biarkan ia dicemari perkara-perkara yang akan mengundang dosa dan kemurkaan Allah. 

Rancanglah pelan bahagia itu dari sekarang. Dan tambahkan pula dengan berdoa mudah-mudahan rumah tangga yang terbina kelak memdapat keberkatan, mahabbah dan rahmah dari ALLAH swt.

Ingatlah betapa pentingnya pembentukan keluarga yang islami iaitu keluarga yang mengamalkan dan memperjuangkan Islam(Baitul Muslim) itu dari akar umbinya. 

Perancangan ini bukan dari segi penjagaan keberkatan dari persiapan sebuah majlis sahaja, tetapi amal dan takwa itu yang utama. Harus berganda-ganda usahanya. Tingkatkan diri dengan pelbagai ilmu.

Insya Allah, pasti akan terlahir sebuah generasi yang membina sebuah usrah dan keluarga Islam yang sebenar. Pilihan terletak di tangan kalian. Maka buatlah pilihan dan persediaan itu bermula sekarang.! =)

Wallahua'lam. Sekian,wassalam wbr…

p/s: Buat mereka yang mendirikan mahligai kasih pada cuti sekolah ini :’) ~Barakallahulakuma fil khair! ~


^ contoh bait muslim solehah ^
 (sekadar gambar hiasan)  


((Semoga Allah memberkatimu dan mencurahkan barakah ke atasmu dan mengumpulkan kedua-dua kamu dalam kebaikan.)) [HR Ahmad & Ashabus Sunan kecuali An-Nasaie].


((Ya Allah, ampunilah mereka, dan rahmatilah mereka dan berkatilah mereka pada apa yang telah Engkau kurniakan kepada mereka)) [HR Muslim]


~Cuma ingin redhaMu~

: Hikmatul Islam
: 0950 pm
: 06062012

No comments:

Post a Comment