“Kuatlah untuk kuat.
Jiwa yang kuat itu asalnya dari jiwa yang dekat.
Dekat getaran hatinya dengan yang Maha Dekat.”
Bismillahirrahmanirrahim…
Dengan menyebut nama agungMu Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…
Maaf. Sering sahaja laman ini terbiar. Tuan tanah ‘bertenang’ seketika.
Setiap kali tuan tanah melihat kebun, mahu sahaja menyemai. Tapi sayangnya, hilang benih.
Seperti itu jugalah diri pada sepurnama yang lalu.
Doif. Beruzlah sendirian.
Jiwa hilang keyakinan.
Yang tersisa saat itu, jiwa yang ragu. Sedih. Dan buntu.
Alhamdulillah, hari ini DIA masih sudi memberi lagi kekuatan.
Terima kasih Allah.
Terima kasih untuk semua rahmat dan kasih sayangMu.
Terima kasih untuk nafas ini.
Oksigen cinta.
Penuh cinta dari-Nya.
*Hamdan lillahi abadan*
Sesungguhnya jalan menuju Allah bukan suatu jalan yang mudah.
Meskipun, bibir berkali-kali mengungkapkan kalimah penyaksian, pengakuan dan petunjuk setiap hari di dalam solat yang bermaksud;
‘Tunjukkan kami jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepadanya, bukan jalan mereka yang dimurkai, dan bukan pula jalan mereka yang sesat’ (Al-Fatihah:6-7)
Tetapi, tetap terus kuatkah kita untuk terus berada di atas jalan lurusNya?
Teringat kalam seorang pensyarah saya.
“Kita bukan tidak mendapat hidayah. Hidayah itu sudah dibekalkan kepada kita sejak dari kecil. Dengan anugerah ‘Islam’ yang kita miliki itulah hidayah terbesar dari Allah.
Tetapi, kenapa kita masih sering tidak dapat melakukan kebaikan padahal sudah punyai hidayahNya?
Kerana hidayah tidak akan lengkap tanpa taufik.
Taufik itu adalah ‘kekuatan’ untuk kita melakukan kebaikan. Ibarat satu butang ‘push’ yang menekan diri kita untuk bersegera menuju Tuhan.”
Subhanallah. Bersyukurlah selalu.
Kita sudah berada di atas jalan-Nya. Jalan yang mustaqim.
Namun, harus selalu meminta agar kita sentiasa ‘kuat’ dan thabat untuk terus kekal berada di atas jalan yang lurus itu.
Kuatlah untuk kuat.
Kerana hanya dengan cinta dan kasih sayang-Nya yang tidak putus-putus, kita masih diberi kekuatan untuk melakukan amal ibadah.
Bukan semata-mata kerana kekuatan diri kita.
Kerana kekuatan yang mutlak itu, Allah belaka yang punya.
Satu purnama yang berlalu ini, macam-macam hal yang tidak disangka terjadi.
Betapa banyak hal yang DIA uji.
Pada diri sendiri dan juga pada orang sekeliling yang disayangi.
Ya. Siapa yang akan pernah dapat menjangka pada setiap takdiran Ilahi?
Tidak akan mampu untuk diperhalusi namun harus benar kita mengimani.
Setiap perkara yang terjadi, pasti akan ada hikmah yang tersembunyi.
Tinggal sahaja, adakah kita ‘kuat’ untuk menghadapi setiap ujian yang diberi?
“Dan sungguh, kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu, dan akan Kami uji perihal kamu” (Muhammad:31)
*Serius. Mahu nangis saat mendengar musibah yang ditanggung oleh sahabat...
Allah. Maha CintaNya Engkau pada dirinya.!*
“Setiap perkara yang ALLAH kehendaki akan berlaku dan setiap perkara yang tidak dikehendaki tidak akan berlaku.
ALLAH mengetahui perkara yang telah lepas, sedang berlaku, akan datang, waktu dan cara ia berlaku.”
Pada setiap jiwa yang diuji.
Sungguh! Allah itu Maha Mengasihani.
Tidak dinafikan, kelemahan itu akan senantiasa menjadi milik kita.
Kerana selayaknya taraf kita sebagai hamba-Nya, penuh dengan kedoifan.
Namun, kekuatan itu sentiasa ada di sisi DIA.
Tinggal kita yang sungguh-sungguh mahu memohon atau tidak kekuatan itu daripada-Nya?
“Bila engkau merasa lemah, pintalah kekuatan dari Yang Maha Gagah.”
Mungkin benar orang cerdik pandai ada mengatakan;
“Jangan dipinta untuk lari dari ujian.
Kerana ujian itu sunatullah. Tetap akan hadir walau kita tidak menyukainya.
Namun, bila diuji pintalah sekeping hati yang cekal dan tabah untuk menghadapinya.”
“Bagaimana ingin jadi kuat?”
Apa jua ibadah yang dapat mendekatkan diri dengan Allah, di situlah terselit kekuatan.
Dengan solat 5 waktu, zikrullah, doa. Tadabbur ayat-ayat cintaNya.
Syeikh Muhammad Al-Ghazali ada menyebutkan:
“Al-Qur’an inilah kitab yang membentuk jiwa, membangun umat dan kebudayaan mereka. Inilah sesungguhnya kekuatan Al-Qur’an.
Namun yang sangat disayangkan bahawa cahaya ini tidak nampak di depan umat Islam kerana mata-mata mereka sudah tertutup sehingga aib dalam konteks sekarang ini bukan aib Al-Qur’an, tetapi aib pandangan manusia yang lebih mengagungkan kekuatan lain selain Al-Qur’an.
Padahal Allah sudah berfirman,
“Hai Ahli Kitab, sesungguhnya telah datang kepadamu Rasul Kami, menjelaskan kepadamu banyak dari isi Al Kitab yang kamu sembunyikan, dan banyak (pula yang) dibiarkannya.
Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan Kitab yang menerangkan, dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gulita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizin-Nya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.” (Al-Ma’idah: 15-16)
Sesungguhnya, tiada daya kita untuk menghadapi setiap mehnah yang menguji iman melainkan Allah-lah yang sentiasa ‘membekalkan’ kita kekuatan itu.
Kerana itu, basahilah lidah dengan zikrullah selalu.
Abu Said Al-Khudri r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Perbanyakkanlah kalimah yang abadi dan baik.” Ada yang bertanya, “Apa kalimah itu wahai Rasulullah?” Rasulullah SAW bersabda, “Takbir, tahlil, tasbih, tahmid dan tidak ada daya kekuatan selain dari kekuatan dari Allah.” (HR Ibn Hibban, Ahmad dan Al-Hakim)
Percayalah. Kekuatan itu sentiasa ada.
Dengan usaha ‘kedekatan’ diri kita kepadaNya.
Dalam lapangnya hati kita menerima segala ujian Allah.
CintaNya sentiasa dekat dengan orang-orang yang tak jemu mencari kekuatan daripadaNya.
Kerana kekuatan itu harus sentiasa dicari, bukan ditunggu.
Saya akui, saya bukan orang yang kuat bila diuji.
Sentiasa bersendu di hujung sujud. Pada lewat waktu itu.
Rapuh dan lemah.
Namun, tidak pernah ingin berputus asa dengan rahmatNya yang Maha Luas.
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk, ketakwaan,
diri yang terjaga dan kecukupan kepada-Mu.” (HR. Muslim, no. 6842)
Untuk akhirnya.
Mari sama-sama kita terus berdoa diberikan kekuatan cinta dari Maha Pencinta.
Agar semakin bertambah kekuatan dan keimanan kepada Yang Maha Esa.
Sekian. Wallahu'alam.
: hikmatul islam
: 12122013
: 0300pm