Pages

Tarbiyah Ramadhan, Salam Lebaran






Berinjak, laju.
Hari berganti hari, terus berjalan bertukar ganti.
Hari ini, sudah genap 30 Ramadhan.
Berteleku seketika.
Meneliti semula amal di awal, pertengahan, dan penghujungnya.


Allah.
Jika hanya dengan amal ini, yang cuma biasa-biasa.
Jika hanya dengan amal ini, yang terlebih pula compang-campingnya.
Tak akan pernah layak untuk meraih syurgaMu Tuhan.
Namun, oleh kerana kemurahan rahmatMu yang berganda-ganda.
Yang Kau janjikan di bulan yang paling mulia ini,
Maka doa itu terus diulang-ulang tanpa jemu, tanpa henti.


“Ya Allah, kami memohon redha dan syurga-Mu, dan kami mohon perlindungan daripada seksaan api neraka.”




Sepurnama kedatangannya,
Terlalu banyak tarbiyah yang diberikan.
‘Didikan’ Allah terus datang walau tanpa diundang.
Terus mengajar untuk meleburkan jiwa sang hamba.
Jiwa ‘hamba’ agar semakin kenal Pencipta.
Kenal dan cinta. Beza.
Sungguh, mencintaiNya sering tidak sempurna.
Dipalit pula dengan dosa-dosa yang menyesakkan dada.


Meskipun,
Ada tarbiyahNya itu seringkali merasa pahit, perit, pedih.
Ada juga didikanNya itu, diberikan rasa gembira dalam kelat.
Sehingga air mata itu, seringkali melebat.
Untuk mencuci ‘mata hati’ agar semakin terang.
Akhirnya, jiwa pasrah dan berserah.
Kerana takut dan harap itu cuma pada Allah.





Halawatul iman.
Betapa halusnya didikan di madrasah Ramadhan.
Syukur dan sabar itu buah dari tempaan ujian.
Ternyata, betapa manisnya rasa sebuah iman,
Apabila jiwa seorang insan sentiasa ingin abid kepada Pemilik Alam.


Tuhanku,
Terima kasih untuk semua kurniaanMu.
Buruk itu baik untukku.
Baik itu, belum tentu lagi buruk untukku.
Namun ingin terus ku pinta takdir yang baik-baik dariMu
Agar jangan sampai ujian itu memalingkanku daripadaMu.
Sungguh!
kerana ku tidak mampu,
Untuk hidup tanpa cintaMu.
Kerana ku tidak akan mampu,
Untuk hidup sendirian tanpa cahaya petunjukMu.


Terima kasih Allah,
Kerana didikan Ramadhan ini hebat.
Sehebat kasih sayangMu padaku.
Moga ada tinta amal yang tercatit di sisiMu,
Membuatkan kembaliku kelak Engkau rindu.





Jiwa, lahirlah sebagai insan baru.
Di Syawal yang menjelma bukan sekadar kegembiraan.
Dan kesyukuran menjadi hamba Tuhan.
Tetapi erti syukur itu lebih dari itu.
Syukur yang dialun untuk melahirkan jiwa yang kental.
Sabar yang ditempa untuk melahirkan jiwa yang ampuh.
Agar iman semakin kukuh.
Dan pegangan padaNya semakin teguh, bukan merapuh.


Allahu ya Azim.
Segala puji dan puja hanya untukMu.
Peganglah hatiku, agar sentiasa menjadi milikMu…


*p/s: untuk semua jiwa yang merasa tidak sempurna di hadapanNya, daku juga sama seperti kalian.
Teruslah bertasbih, bertahmid kepadaNya, moga-moga DIA sudi untuk menerima segala amal kita. Moga ramadhan ini bukan yang terakhir…

*salam aidilfitri, maaf zahir dan batin buat semua teman tersayang di fb, kenalan blog, follower, sahabat-sahabat yang setia di sisi, maka diriku yang hina ini memohon seribu kemaafan.
Sungguh, ‘kemaafan’ kalian sangat mahal, maka ku pinta berikan sedikit padaku agar kita bisa berbagi senyuman.

*Untuk teman teristimewa yang akan bernikah pada hari lebaran ini, ku doakan moga syurga cinta akan termiliki untuk dibawa kepada cintaNya yang hakiki. Sungguh,, ku akan bahagia melihat dikau bahagia…
(Untuk diri sendiri? Allah lebih mengetahui. Semoga ada kelak yang sudi Allah beri. Namun jika bukan di sini, moga-moga di syurga Firdausi...)

Wassalam wbr.





: hikmatul islam
: 30 ramadhan 1434H
: 0730 am


No comments:

Post a Comment